Berita

DAP pertahan raja, bersatu hati bersama Pakatan

SHAH ALAM, 5 DIS – DAP tidak pernah sama sekali mempersoalkan kedudukan istimewa Melayu dan Islam sebagai agama persekutuan sejak penubuhannya 45 tahun lalu.

Sebaliknya, UMNO dan Barisan Nasional bukan sahaja gagal menjaga kebajikan orang Melayu miskin, malah menjadikan Malaysia antara negara yang kian korup, yang memalukan imej Islam.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang memberi jaminan orang Melayu tidak akan hilang kuasa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa kerajaan pusat, malah martabat Melayu dan Islam akan diangkat seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, siapa sebenarnya yang akan hilang kuasa? Adakah Melayu akan hilang kuasa?” soalnya disambut teriakan “Tidak!” oleh lebih 10,000 rakyat yang hadir dalam program Rapat Rakyat di Stadium Melawati di sini malam tadi.

“Sebenarnya UMNO yang akan hilang kuasa, bukan orang Melayu,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau telah dengan tegasnya dalam sidang Parlimen pada 1971 menyatakan bahawa DAP menyokong dan sentiasa mempertahankan sepenuhnya sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Muhyiddin perlu buktikan tuduhan

Justeru, beliau juga mencabar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan tuduhannya sewaktu berucap di perhimpunan agung UMNO minggu lalu bahawa kononnya DAP pernah mencadang pemilihan Perdana Menteri diadakan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, Muhyiddin juga mesti buktikan tuduhan kononnya DAP mahu menubuhkan republik, iaitu mahu menghapuskan sistem yang ada sekarang.

“Bila? Mana? Siapa? Kalau kita berikan bukti, Muhyiddinlah patut mohon maaf secara terbuka.

“Dan kalau tidak (mohon maaf), inilah bukti bahawa dia pembohong nombor satu Malaysia,” katanya, menambah bahawa melalui twitter pun boleh dilihat bahawa rakyat sudah jelik dengan UMNO.

Rasuah makin teruk

Kit Siang berkata, Malaysia sekarang adalah lebih korup di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbanding  dua Perdana Menteri Malaysia terdahulu.

“Program Transformasi Najib melawan korupsi terbukti hanyalah sandiwara sahaja apabila Transparency International (TI) menunjukkan bahawa dalam dua tahun setengah Najib memerintah, Malaysia lebih korup berbanding lima tahun di bawah pemerintahan Tun Abdullah Badawi dan 22 tahun di bawah pemerintahan Tun Mahathir Mohamad,” katanya.

Mengikut laporan TI pada 1995, Malaysia berada di tangga 23 dalam indeks rasuah antarabangsa manakala laporan terbaru TI 2011, Malaysia jauh menurun ke tangga 60.

Menurut Kit Siang, perhimpunan agung UMNO langsung tidak berani menyebut tentang kejatuhan Malaysia mengikut indeks persepsi rasuah ini.

Katanya, ia adalah bukti bahawa rakyat tidak boleh mengharapkan UMNO-BN untuk membuka lembaran baru bagi amalan intergriti, akauntabiliti dan ketelusan atau untuk member kemakmuran kepada semua.

“Bolehkah UMNO berubah? Untuk ubahkan UMNO, rakyat perlu beri Najib peluang jadi ketua pembangkang selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Dengan kerajaan baru Pakatan, kita boleh selamatkan Malaysia supaya kita boleh buka lembaran baru, satu bab baru Malaysia di mana ada kebebasan, keadilan, kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia,” tambahnya.

Siapa perkuda siapa?

Menurutnya, apabila para pemimpin BN cuba memburukkan Pakatan, mereka sebenarnya tidak mempunyai satu titik pertemuan dan kesepakatan menyuarakan pendapat.

“Muhyiddin Yassin berkata bahawa DAP memperkudakan PAS sementara Presiden MCA Chua Soi Lek pula kata PAS memperkuda DAP. Siapa bohong? Tidak mungkin kedua-dua mereka bohong! Inilah apa yang kita boleh lihat dalam Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

Kit Siang menambah, dalam tahun 1980-an dan 1990-an juga terdapat beberapa pemimpin UMNO melancarkan serangan terhadap raja-raja Melayu sedangkan DAP berjuang mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Adakah DAP yang memperkudakan PAS dan PKR?” soalnya, yang sekali lagi disambut jeritan “Tidak” oleh para hadirin yang sanggup dibasahi hujan.

Siapa diperlembukan?

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyindir pimpinan UMNO yang sering membuat tohmahan ‘siapa diperkudakan’ dengan menyifatkan UMNO sebagai parti yang ‘diperlembukan’.

“Lebih baik diperkuda dari diperlembu kerana kuda diguna untuk perjuangan tetapi lembu untuk disembelih.

“Sudah tiba masanya buat perubahan, jangan peduli dengan tohmahan PAS diperkuda DAP atau DAP diperkuda PAS,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kerjasama Pakatan Rakyat adalah berdasarkan usaha membawa keadilan dan menentang kezaliman yang dipersetujui dalam dasar bersama.

Tambahnya, Pakatan juga mahu membina hubungan antara kaum yang lebih kukuh kerana UMNO-BN telah terbukti gagal dalam usaha memupuk sikap toleransi dan faham-memahami antara satu sama lain.

UMNO-BN pertahankan rakus, rasuah

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ucapan ‘mempertahankan’ Melayu oleh beberapa pemimpin UMNO hanya bertujuan mempertahankan segelintir Melayu rakus, pembohong dan perasuah, berbanding menyelamatkan Melayu dan kaum-kaum lain yang hidup melarat di bawah pimpinan UMNO-BN.

“Apakah benar wacana dalam perhimpunan agung UMNO itu benar-benar mahu mempertahankan raja-raja Melayu, apakah benar Islam itu nak dimartabatkan? Apakah benar mereka nak martabatkan bahasa Melayu?” soalnya disambut teriakan rakyat menafikan.

Menurutnya, rakyat malu apabila Malaysia sebagai satu bangsa negara yang sudah merdeka lebih setengah abad masih kucar-kacir dari sudut bahasa, budaya dan ekonomi yang lintang pukang.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat agar berhijrah, iaitu melakukan perubahan dengan menolak perangai jahiliah UMNO-BN yang perkauman kepada fahaman persaudaraan universal yang tinggi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, tindakan mengkritik dan mengutuk UMNO-BN sahaja tidak cukup jika usaha tidak dilaksanakan untuk membantu rakyat.

Beliau menjelaskan, rakyat telah merasai sendiri perubahan besar yang dibawakan oleh Pakatan Rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, walau pun media massa kawalan UMNO-BN tidak menyiarkan gambaran sebenar.

“Rakyat masih memilih pemimpin Pakatan sebab rakyat tahu pemimpinnya tidak mencuri hasil negeri, tidak merompak harta rakyat,” katanya. – Roketkini.com