Berita

Sebarkan kejayaan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan ke seluruh negara

SHAH ALAM, 5 DIS – Mencerca para UMNO-Barisan Nasional sahaja tidak akan membawa kemenangan dan ia tidak patut menjadi amalan politik Pakatan Rakyat, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau menjelaskan, apa yang perlu ditingkatkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat ialah menunjukkan dan memperjelaskankan lagi perkara-pekara baik yang telah dan bakal dilaksanakan oleh Pakatan demi kepentingan rakyat.

“Inilah reformasi, bukan sahaja reformasi politik tetapi juga reformasi ekonomi. Kita buat kerja kerana rakyat, kerana hendak bangunkan ekonomi rakyat.

“Di Selangor, kita mulakan dengan program merakyatkan ekonomi negeri, dan ini bermakna rakyat yang tentukan pengurusan ekonomi, saya cuma pengurus sahaja.

“Kalau rakyat tidak suka seseorang pengurus itu, rakyat berhak menukarnya kerana itulah kuasa rakyat,” katanya menjelaskan budaya politik baru yang perlu menjadi amalan semua pihak.

Menurutnya, kritikan terhadap kerajaan berbeza dengan mencerca pemimpin kerana cercaan tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.

Berucap di hadapan 10,000 hadirin dalam satu perhimpunan rakyat di sini malam tadi, Khalid yang juga Adun Ijok berkata bahawa pada zaman pemerintahan UMNO-BN di Selangor, tidak pernah ada program untuk merakyatkan ekonomi.

“Sebagai sedikit contoh, sebelum 2008, Selangor kelam kabut kerana tiada sistem teratur bagi khairat kematian, malah kebanyakan rakyat pun tidak tahu akan skim itu.

“Tetapi dengan skim Pakatan, kita terus keluarkan duit dari belanjawan negeri dan masukkan ke dalam bank warga emas,” katanya.

Di majlis yang sama, Exco Kanan kerajaan Selangor Teresa Kok berkata, sewaktu Pakatan mengambil alih Selangor selepas menerima mandat rakyat yang menolak UMNO-BN pada 2008, simpanan tunai kerajaan negeri cuma berjumlah RM637 juta.

“Sekarang selepas tiga tahun, hasil usaha pendtabiran bersih dan cekap Pakatan, simpanan kita sudah mencecah RM1.5 bilion.

“Inilah bukti kita pandai menjaga wang rakyat. Sebab itu UMNO takut dan jadikan DAP sasaran kerana mereka hendak goncang perpaduan Pakatan yang telah terbukti berjaya membantu rakyat,” katanya.

Jelas Teresa yang Pengerusi DAP Selangor, beliau agak malu kerana sebagai seorang pemimpin yang lantang menuntut hak wanita, masih ada pemimpin wanita yang korup.

“Saya selalu sebut, pilih calon wanita kerana lebih telus, jujur… Tetapi selepas skandal salah guna wang ternak lembu NFC yang melibat seorang Menteri Wanita, saya rasa sangat malu,” kata Adun Kinrara itu.

Beliau menjelaskan, segala kutukan pemimpin dan perwakilan UMNO dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini terhadap DAP hanya bertujuan menutup pekung dan masalah fidlot NFC keluarga menteri berkenaan. – Roketkini.com