Berita

Sikap angkuh kerajaan BN semakin terserlah

KUALA LUMPUR, 6 DIS – Sikap amat angkuh Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menolak pandangan rakyat, termasuk cadangan dan kritikan Pakatan Rakyat, berhubung perbelanjaan pertahanan negara membuktikan betapa tidak adanya ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan Barisan Nasional.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, sikap Zahid membuktikan bahawa laporan Transparency International (TI) terhadap indeks persespi rasuah dan keterbukaan kerajaan adalah benar apabila ia meletakkan markah Malaysia hanya pada 4.5 mata daripada 12 mata, atau hanya 37.5 peratus jauh di bawah paras gagal,” katanya.

Markah tersebut dikeluarkan dalam “Laporan Ketelusan Belanjawan Pertahanan” yang dilancarkan pada 19 November 2011 lalu.

Ketika melancarkan laporan itu, Pengarah Pertahanan Antarabangsa dan Keselamatan Program TI di United Kingdom, Mark Pyman dilaporkan berkata, “Malaysia berada pada kedudukan jauh lebih rendah daripada negara-negara lain, di mana belanjawannya kekurangan butiran dan tiada audit telah diambil dalam program-program rahsia itu”.

Menurut Pua, Zahid telah menunjukkan betapa beiau tidak jujur dan ikhlas dengan usaha Program Transformasi Negara (GTP) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Penghinaan Menteri itu ke arah ketelusan dan akauntabiliti di jawab beliau terhadap soalan yang saya timbulkan dalam sesi Parlimen baru-baru ini.

“(Dalan soalan itu) saya telah meminta Menteri berkenaan menjelaskan jurang antara RM7.55 bilion yang dibayar kepada 257 kakitangan pembawa perisai untuk Deftech Sdn Bhd yang mana kemudiannya akan dibayar kepada FNSS Defences Systems – sebuah pengilang sistem pertahanan dari Turki dengan harga RM1.7 bilion untuk jenis barang yang sama.

“Walau pun begitu, Menteri itu mengakui mengenai perjanjian tersebut tetapi menjelaskan bahawa beliau ‘tidak tahu’ mengenai butir-butir transaksi antara Deftech dan FNSS,” katanya.

Menurutnya, Zahid turut tidak dapat menjelaskan secara terperinci urus niaga besar lain seperti pembelian bernilai RM6 bilion enam buah Kapal Peronda Generasi Kedua dan juga perolehan RM2.3 biliion 12 buah helikopter jenama Eurocopter EC725.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Zahid yang berkata beliau “yakin dengan keupayaan dan ketelusan jawatankuasa penilaian ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM)” dan tidak memerlukan pandangan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Justeru Pua menggesa kerajaan menghormati GTP yang mana Perdana Menteri telah menjanjikan ketelusan dan akauntabiliti dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen berhubung Pertahanan Negara.

“Jika tidak, sikap bongkak Zahid ke arah ketelusan dan kebertanggungjawaban itu menandakan bahawa kurangnya kejujuran dan keikhlasan terhadap GTP,” katanya. – Roketkini.com