Berita

Enam langkah integriti untuk selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 DIS – Parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan dan kesan buruknya ditanggung oleh rakyat.

Saranan itu adalah satu daripada enam langkah integiriti yang dicadangkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk mengatasi masalah rasuah dan penyelewangan yang berleluasa di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional.

Langkah-langkah integriti lain yang dicadangkan adalah:

* Mengharamkan percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni.

“Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana penjana tenaga bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan berlebihan yang luar biasa beratus bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan.

“Kerugian RM5 bilion dalam skandal Perwaja, skandal Port Klang Free Trade Zone (PKFZ) dan skandal saham bumiputra RM52 bilion kesemuanya berjumlah lebih daripada USD100 bilion, iaitu jangkaan kerugian rakyat Malaysia akibat daripada penyelewengan dan rasuah.”

* Hak untuk maklumat tidak sulit hendaklah dilindungi di bawah Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan.

* Semua penjawat awam yang memegang amanah awam hendaklah membuat pengisytiharan aset mereka.

* Sebanyak 125 cadangan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005 hendaklah dilaksanakan tanpa apa-apa syarat, terutama sekali penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

* Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dihukum atas kegagalannya untuk bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa ke atas rasuah pilihan raya, terutama sekali kegagalannya untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihan raya sebanyak RM200,000 untuk kawasan Parlimen dan RM100,000 untuk kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Pelanggaran peraturan ini berlaku secara terang-terangan sampai SPR sendiri telah mengaku bahawa RM110 juta telah dibelanjakan untuk poster pilihan raya sahaja dalam pilihan raya umum 2004.”

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Hari Anti-Rasuah Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari ini hanya boleh disambut dengan penuh bermakna jika enam langkah itu dilaksanakan demi membasmi rasuah dan penyelewengan yang telah membuatkan rakyat sengsara.

Katanya, prestasi Malaysia telah merosot dalam laporan terkini Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2011 di mana negara kita telah jatuh ke tangga ke-60 daripada 183 negara.

CPI 2011 Malaysia juga telah menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3 markah tahun ini di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, berbanding semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Perdana Menteri pada 2003.

“Malah, Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali telah menyatakan bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana ‘elemen-elemen kerajaan’ yang memudahkan ‘rasuah besar’ masih lagi berleluasa,” ujarnya.

Menurutnya, enam langkah integriti itu boleh memulakan proses pembersihan Malaysia daripada rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

“Langkah-langkah asas seperti menghukum mereka yang mengamalkan rasuah, mengurangkan peluang rasuah, melaksanakan sistem integriti kebangsaan melalui undang-undang dan institusi-institusi yang sesuai adalah antara langkah-langkah yang dapat mengembalikan kuasa kepada rakyat,” tambah beliau. – Roketkini.com