Berita

Lagi banyak wang diberi kepada SPRM, lagi banyak rasuah dirasakan berlaku…

KUALA LUMPUR, 9 DIS – Apabila lebih besar peruntukan dan lebih ramai kakitangan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, nampaknya negara menjadi lebih korup.

Di mana perginya peruntukan berbilion ringgit yang diberikan oleh kerajaan, hasil kutipan wang cukai rakyat dan hasil sumber negara, kepada SPRM, dan sebelum itu Badan Pencegah Rasuah, sejak 1994?

Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sempena Hari Anti-Rasuah Antarbangsa pada hari ini.

Peruntukan kewangan tahunan untuk BPR/SPRM (RM)

1994     28.6 juta

1995     29.9 juta

1996     29.5 juta

1997     32.4 juta

1998     32.2 juta

1999     38.2 juta

2000     41.8 juta

2002     63.8 juta

2003     67.7 juta

2004     70.4 juta

2005     76.4 juta

2006     99.1 juta

2007    148.1 juta

2008    146.7 juta

2009    162.1 juta

2010    156.8 juta

2011    202.2 juta

2012    211.2 juta

Menurut Kit Siang, apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri pada April 2009, beliau mengumumkan Pelan Transformasi 1Malaysia, termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang mahu memberi keutamaan kepada usaha membasmi rasuah sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Beliau menjelaskan bahawa ‘kejayaan besar’ pentadbiran Najib amat mengecewakan rakyat kerana:

  • Menduduki tangga paling buruk dalam sejarah kedudukan Indeks Persepsi Korupsi (CPI) yang dianjurkan oleh Transparency International (TI) dalam tempoh 17 tahun, iaitu di tangga ke-60 daripada 183 negara dengan markah 4.3 daripada 10 mata penuh;
  • Kegagalan teruk SPRM, yang menggantikan BPA pada 2009, dalam usaha membasmi rasuah walau pun telah diberi peruntukan tahunan yang besar;
  • Terhakisnya imej wibawa SPRM dengan dua kematian misteri di premis SPRM – Teoh Beng Hock pada Julai 2009 dan Ahmad Sarbaini Mohamed pada April 2011;
  • Hanya empat ahli politik ditahan atas tuduhan rasuah pada 2010 berbanding 23 orang pada 2009.

“Apa yang telah terjadi kepada Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan pada 2004 yang bermatlamat mahu meletakkan Malaysia menduduki sekurang-kurangnya di tangga ke-30 dalam CPI T dengan markah 6.5 menjelang 2008?

“Parlimen telah meluluskan peruntukan RM202.2 juta kepada SPRM pada 2011 dan apa yang mampu ditunjukkannya? Kedudukan negara paling teruk dalam CPI TI,” kata Kit Siang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mahu Najib menjelaskan kepada rakyat tentang fenomena ganjil ini yang menyebabkan kerajaan beliau dilihat sebagai yang paling korup dalam sejarah Malaysia berbanding zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Najib masih berdiam diri dengan pendedahan CPI TI itu kerana sudah diketahui umum jika kedudukan Malaysia lebih baik, tentu Perdana Menteri akan berkokok berderai-derai melalui media massa yang dikuasai kerajaan Barisan Nasional.

Katanya Najib dan kabinetnya serta SPRM perlu menjelaskan kepada rakyat, mengapa selepas mendapat peruntukan yang begitu besar termasuk untuk tahun 2021 dengan RM211.2  juta, tidak ada hasil yang boleh dibanggakan sama sekali.

Malah, menurutnya, kedudukan Malaysia dalam menangani rasuah kini sedang disaingi oleh negara-negara yang sebelum ini turut bermasalah dalam korupsi seperti negara-negara Asia yang lain, negara-negara Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) dan negara-negara benua Afrika.

Semua ini menunjukkan usaha membanteras rasuah melalui NKRA Najib sejak 32 bulan lalu telah gagal dan rakyat perlu membuat perubahan untuk mengatasi masalah itu, tambahnya. – Roketkini.com