Budaya

Erah – Bahagian Kedua – Oleh Mazir Ibrahim

Cerpen

Pada umur dua puluh tahun, Munirah atau lebih mesra dengan panggilan Erah, gadis desa yang masih sunti menjadi haruman bunga kembang sekampung. Perawan muda ini memiliki wajah yang sangat manis. Kerana itu juga semenjak dari zaman persekolahan lagi pada sekitar 19/6070-an namanya cukup mewangi di kampung Sungai Kelah.

Namun, ketika di sekolah, dia bukanlah gadis yang cemerlang sangat pelajarannya. Sijil MCE atau sekarang dikenali sebagai SPM, Erah hanya mendapat pangkat tiga sahaja. Itu pun keputusan nyawa-nyawa ikan. Kemudian, dia terus bekerja di pekan Sungai Kelah sebagai kerani pejabat estet ladang getah.

Masa itu gajinya cuma sekitar 200 ringgit. Namun, bagi Wan Milah, itu sudah cukup membanggakannya kerana anak daranya itu sudah bekerja sebagai kerani dan mampu berdikari.

Berbanding adik-beradiknya yang lain, memang Erah ini tidak tertanding. Abang-abang dan kakak-kakaknya berkelulusan maktab dan kolej. Mereka punya kerja yang lebih baik dari Erah. Yang sulung hingga yang nombor tiga duduk di Kota Bharu, dua lagi menetap di Bandar Kuchai sebagai guru. Hanya Erah anak bongsunya sahaja yang tinggal di kampung. Oleh sebab tiada harapan tinggi diletakkan pada Erah, maka pekerjaan kerani itu sudah dianggap bagus buatnya.

Erah bertemu Jamian

Ketika melepasi usia muda remaja inilah Erah mengenali Jamian. Ketika itu umur Jamian sudah 28 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori getah. Sudah menjadi rutin bagi setiap pemandu lori getah akan singgah di pejabat untuk mendapatkan cop kelulusan membawa keluar getah ke kilang. Dan cop itu hanya dipegang oleh Erah, kerani pejabat estet getah. Dari situlah bermulanya perkenalan Erah dan Jamian.

Sesekali bertembung, Jamian menegurnya.

“Erah dah makan?”

“Kenapa? Nak belanja kita ke? ” begitulah Erah membalas sambil mengusik Jamian. Lama kelamaan, hubungan ini semakin mesra

Jalinan cinta Erah dan Jamian berjalan dengan begitu pantas. Tunas-tunas cinta begitu cepat tumbuh dan subur membina akar dan dahan kasih yang kukuh. Erah yang kembang sekampung sedang melalui satu proses pendebungaan yang begitu subur. Keharumannya menembusi segenap hati penduduk kampung Sungai Kelah.

Bagi pasangan kekasih ini, dunia cinta mereka adalah dunia cinta di kampung Sungai Kelah. Bukit-bukit di sekitar kampung, lantai-lantai hutan dan bibir-bibir pantai menjadi saksi atas kasih mereka berdua.

Setiap minggu, Jamian dengan lori getahnya akan bertandang di rumah Erah. Perlahan-lahan Wan Milah mengenali dan menerima Jamian sebagai bakal tunangan Erah. Wan Milah akan sentiasa berdoa agar hajatnya itu dikabulkan.

“Jamian nak bawa lori tu jangan lupa baca doa naik kenderaan,” pesan Wan Milah setiap kali Jamian datang bertandang ke rumahnya.

Sejak itu, Jamian sudah semakin berani meminta izin dari Wan Milah untuk membawa Erah bersiar-siar di sekitar pantai kampung. Dan kadangkala Wan Milah sengaja membenarkan Jamian membawa Erah ke bandar menonton wayang. Dengan lori getah itulah hubungan ini bertambah erat seperti belangkas dan kasihnya mengalir sederas susu getah yang baru ditoreh.

“Erah tak kisah berkawan dengan abang?” suatu petang di tepi pantai Jamian bertanya kepada Erah.

“Kenapa, apa maksud abang tu?” tanya Erah.

“Abang cuma bawa lori getah, gaji tak seberapa pun, badan pula hari-hari berbau getah sekerap,” kata Jamian ikhlas. Direnungnya mata Erah, gadis yang amat dikasihinya itu. Dalam matanya tersimpan seribu satu keresahan.

Dia sedar siapa diri dia jika dibandingkan dengan kecantikan Erah. Keayuan Erah meniti di setiap bibir anak-anak muda di seluruh kampungnya. Mungkin dengan kecantikan Erah, dia seharusnya di samping pemuda yang lebih berada, bukan sepertinya.

“Abang bawa la lori baik-baik, jangan berlanggar. Ada duit untuk makan pakai cukuplah, kalau badan abang berbau getah sekerap, mesti mandi, sabun wangi-wangi sebelum jumpa Erah. Kalau tak, Erah jumpa abang pakai penutup hidung.”

Tersengih-sengih Jamian mendengar jawapan Erah yang penuh dengan gurauan. Tetapi dia yakin, gurauan Erah ada tersimpan keikhlasan kepadanya. Tenang sungguh perasaan Jamian ketika itu.

Erah menolak Azam

Seperti sudah dikhuatiri Wan Milah, keharuman kembang sekampungnya tidak kekal lama. Orang-orang kampung yang melihat tingkah laku pasangan ini sudah mula menjadikannya sebagai bahan bualan. Dari satu warung ke satu warung dan dari satu majlis ke satu majlis.

Kampung Sungai Kelah ini tidaklah besar, pusing-pusing ke situ juga sampainya. Tidak sampai dua bulan, cerita-cerita ini sampai ke telinga keluarga Erah. Wan Milah hanya mampu mengeluh. Dia tahu, cerita-cerita ini pasti dimulakan oleh Azam Kundur. anak pemilik ladang getah di kampungnya.

Wan Milah tahu yang Azam ada menaruh hati pada Erah, dia pernah menawarkan Erah untuk bekerja sebagai kerani di pejabat ladang getah milik bapanya di pekan itu, tapi Erah menolak dan menerima kerja kerani di pejabat ladang getah kepunyaan Wang Chu.

Ladang getah tempat Erah bekerja itu milik oleh satu keluarga Cina, manakala keluarga Azam Kundur merupakan satu-satunya orang Melayu yang memiliki ladang getah di kawasan itu. Haji Kundur adalah orang kaya dan hartawan di kampung Sungai Kelah, semua penduduk di situ cukup segan dengan keluarganya.

Wan Milah masih ingat, Azam pernah beberapa kali datang ke rumahnya untuk menawarkan Erah bekerja di pejabat tetapi ketika itu Erah sudah memberitahunya yang dia telah menolak tawaran itu lebih awal. Erah beritahu ibunya yang perangai Azam tidak disenanginya. Siapa tidak kenal dengan Azam Kundur, kerjanya hanya tahu berhibur. Orang lain tidaklah semampu dia, anak pemilik ladang getah yang cukup mewah.

Jadi Erah merasa kurang senang dan lebih selesa untuk tidak dikaitkan dengan Azam Kundur. Namun Azam bukanlah pula jenis manusia yang tidak beradab. Ada gayanya tersendiri, kadang-kadang sopan santun pula. Cuma aura angkuh itu sentiasa mengiringinya. Tambah pula sifat berfoya-foyanya.

Tetapi bagi Wan Milah sendiri, dia dapat menangkap niat salah di sebalik tawaran Azam Kundur, lalu dia juga menolaknya. Azam tidak pula cepat mengalah.

“Makcik Milah jangan risau, kalau Erah kerja dengan bapa saya, senang saya jaga dia. Lagi pun kerja dengan ladang Wang Chu bukan besar sangat gajinya.” Itulah kata-kata Azam sewaktu memujuk Wan Milah agar mengizinkan Erah bekerja dengan syarikat bapanya.

“Bukan makcik tak bagi, tapi dah Erah tak mahu, makcik tak dapatlah nak pujuk. Lagi pun bukan kau tak tahu perangai anak makcik tu, kalau hitam kata dia hitamlah jawabnya,” Wan Milah menerangkan sejujurnya.

“Tak apalah makcik, orang dah tak sudi, tak kan saya nak melutut pulak,” sinis sekali jawapan Azam kepada Wan Milah sambil terus berlalu.

Mulai saat itu, Azam Kundur tidak pernah lagi muncul di pintu rumah Wan Milah.

Tetapi sejak Erah berkawan dengan Jamian, semakin lama semakin menjadi-jadi pula cerita yang bukan-bukan terhadap Erah yang sampai ke telinganya. Kadangkala Wan Milah hairan bagaimana cerita yang mengatakan Jamian membawa Erah bermalam di tepi pantai boleh berlaku sedangkan setahunya Erah sentiasa kembali ke rumah malam yang sama setiap kali selepas bertemu Jamian.

Lama-kelamaan hati Wan Milah menjadi sayu bila mengenangkan sikap orang-orang kampung kepada keluarganya. Seperti sejarah berulang, dia masih ingat bagaimana orang-orang kampung menuduh dan memulaukan arwah suaminya hinggakan menderita kecewa ke akhir hayat.

Ayah Erah

Pernah suatu ketika, sekitar pertengahan 1960-an, Ahmad Jalil suami Wan Milah berselisih dengan tiga empat orang kampung yang sedang berbasikal. Ketika itu Ahmad Jalil baru pulang dari berladang. Lalu disapanya mereka.

“Assalamualaikum, ramai-ramai ni nak ke mana, Bang Jusoh?” lembut suara Ahmad Jalil.

“Ha, Mad, kami nak ke kenduri Haji Lah, kau tak pergi ke?” jawab dan kemudian soal Abang Jusoh tenang.

“Eh, kenduri apa? Tak tahu pula saya. Biasanya Haji Lah kalau ada majlis mesti beritahu saya. Kenduri ni tak tahu pula saya bang,” terkejut Ahmad Jalil.

“Kalau macam tu, jom lah kita turut sama,” sambung Abang Jusoh sambil dia juga seakan terpinga-pinga.

“Eh, Bang Jusoh, kita kena cepat. Dah lambat ni, nanti bising pula Haji Lah,” tiba-tiba Lajim bersuara sambil keningnya memberi isyarat kepada yang lain.

Dengan tenang Ahmad Jalil dapat menghidu sesuatu. Dari air muka mereka, perangai orang kampung seperti ini memang ‘dalam poket’nya sahaja. Dia tahu mana yang senang dengannya, mana yang tidak.

“Tak apalah Bang Jusoh. Saya balik dulu, badan berminyak ni baru balik dari lading. Insya Allah nanti saya menyusul,” jawab Ahmad Jalil sambil bersalaman dan berlalu dari kumpulan itu.

Sambil berjalan hatinya pedih mengenang sikap orang kampung kepadanya. Keadaan ini berterusan hingga jika berselisih jalan dengannya ada yang langsung tidak bertegur sapa. Dia tahu orang kampung tohmah dia menjadi barua Cina semata-mata kerana bekerja dan  menolong satu  keluarga Cina yang datang membuka tanah di kampung itu. – Roketkini.com

BERSAMBUNG…