Berita

Kreativiti komputer, internet bukan hanya daripada mereka yang berijazah sahaja

KUALA LUMPUR, 12 DIS – Kerajaan Malaysia memilih langkah mundur dengan cadangan mahu ‘mengikat’ pakar-pakar komputer dengan Rang Undang-undang Lembaga Juru Komputer Profesional 2011 (CPB2011) yang akan mengawal mereka.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, rang undang-undang itu bertentangan dengan jJaminan kebebasan Multimedia Super Corridor (MSC).

Katanya, jaminan MSC telah menjanjikan peluang pekerjaan tanpa sekatan kepada sesiapa sahaja yang berkebolehan dan juga tiada sekatan internet.

Menurutnya, Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga menegaskan bahawa tiada satu peruntukan pun yang membenarkan sebarang penapisan maklumat berlaku.

“Sejak berdekad-dekad teknologi informasi dan industri perkomputeran telah beroperasi tanpa sebarang kontroversi, isu-isu atau pun rintangan.

“Adalah jelas bahawa CPB2011 yang digubal secara ‘cincai’ mempunyai sifat-sifat ‘big borther’ (gelaran dipopularkan oleh George Orwell dalam novelnya, ‘1984’) untuk mengawasi pergerakan setiap rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pua berkata, CPB2011 akan membantutkan hak dan pengetahuan pakar perkomputeran dengan memaksa mereka mendaftar diri dengan Infrastruktur Maklumat Negara Kritikal (CNII).

“CNII ditakrifkan sebagai ‘aset-aset, sistem-sistem dan fungsi-fungsi penting kepada negara yang mana kemusnahannya boleh menyebabkan kesan sangat buruk kepada kekuatan ekonomi, imej, pertahanan dan keselamatan, keupayaan kerajaan untuk berfungsi atau kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Apa yang lebih menakutkan ialah CPB2011 juga meliputi semua laman web, portal atau aplikasi teknologi yang berkemungkinan memburukkan ‘imej negara,’ dan yang dianggap mengganggu ‘keupayaan kerajaan untuk berfungsi’,” katanya dalam satu kenyataan.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling jaya Utara berkata demikian sebagai respon kepada draf CPB2011 yang disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI dalam satu kenyataan 9 Disember lalu menyatakan CPB2011 tidak bermatlamat untuk menyekat atau mengawal atur perkhidmatan perkomputeran dan ia cuma terhad kepada CNII.

Bagaimana pun, Pua berkata, CPB2011 bakal memberi kerosakan buruk yang berleluasa kerana wujudnya elemen memaksa melalui pendaftaran.

DAP menentang CPB2011 atas prinsip bahawa kejuruteraan perisian secara asas memerlukan kebebasan, kepintaran dan kreativiti yang tidak semestinya boleh diperolehi daripada mereka yang mempunyai ijazah.

Sewaktu merasmikan Konvensyen DAP Pulau Pinang semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan cadangan kerajaan yang cuba mengawal kebebasan kreativiti pakar teknologi maklumat.

“Adakah para pakar dan ikon dalam industri IT seperti Steve Jobs (Apple), Bill Gates (Microsoft) dan Mark Zuckerberg (Facebook) boleh berjaya jika terwujud undang-undang yang sebegini?

“Tindakan yang langsung tidak masuk akal dan bersifat mundur ini lantas menimbulkan soalan adakah kerajaan BN ingin mengawal maklumat dan penggunaan internet?” soal beliau. – Roketkini.com