Berita

UMNO fitnah DAP mahu republik, kesannya pada istana

KUALA LUMPUR, 12 DIS – UMNO perlu bertanggungjawab apabila memfitnah DAP kononnya mahu menjadikan Malaysia sebuah republik kerana ia memberi kesan kepada pihak istana.

Wartawan veteran Subky Abdul Latif berkata, fitnah itu oleh Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya satu usaha terdesak untuk menakutkan orang Melayu daripada membuat perubahan besar.

“Apabila Muhyiddin timbulkan isu yang sepatutnya bukan isu langsung, ianya akan memberi kesan bahaya kepada pihak istana, dan bukannya DAP.

“Sebab DAP diserang cuma kerana pemimpin UMNO nak pastikan majoriti kaum Melayu mengundi Barisan Nasional, walau pun fitnah mereka boleh menjejaskan Malaysia,” katanya kepada Roketkini.

DAP telah mengulangi pendirian Perlembagaan Persekutuan yang mendaulatkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, walau pun sering menjadi mangsa fitnah para pemimpin UMNO dan pecacai mereka.

Subky yang juga salah seorang pengasas Harakah ditemui selepas majlis pelancaran memoir beliau bertajuk “Anak Apak: Memoir Politik Kewartawanan” di pusat membeli belah Midvalley Megamall di sini hari ini.

Memoir itu mengisahkan pahit getir kehidupan beliau sebelum dan ketika memasuki dunia kewartanan, dan ianya adalah memoir pertama dari trilogi yang bakal diterbitkan tidak lama lagi. Ia dilancarkan oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Menceritakan lebih lanjut mengenai kerjasama PAS dan DAP, Subky berkata pada 1973 di sebuah forum di Universiti Malaya, beliau pernah mencadangkan agar PAS dan DAP tidak mengikut rentak BN yang menggunakan perkauman tebal.

“Bila DAP berkawan dengan PAS, orang tak nampak lagi sebagai ia parti kaum Cina, begitu juga PAS apabila membuka keahlian kepada kaum Cina.

“Lim Kit Siang yang waktu itu salah seorang panelis memberi respon dengan berkata, ‘it is a good assumption’,”katanya mengingatkan kembali situasi forum itu hampir 40  tahun dahulu.

Tambah Subky, apabila dua parti itu bekerjasama dalam Pakatan Rakyat bersama dengan PKR, ia dapat menyubur dan mengembangkan lagi politik dan demokrasi. – Roketkini.com