Berita

Pengundi hantu, golongan muda, Sabah dan Sarawak penentu PRU ke-13

SHAH ALAM, 14 DIS – Faktor pengundi hantu, golongan muda dan gelombang kebangkitan penduduk Sabah dan Sarawak akan menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya umum ke-13.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, isu paling besar yang perlu difahami oleh rakyat adalah kewujudan banyak pengundi hantu yang bakal menghantui PRU ke-13 yang mana ia tidak akan mencerminkan realiti dan hasrat rakyat.

“Janganlah kelak kita dipimpin oleh kerajaan hantu,” katanya dalam satu wacana ‘PRU13: Undi Siapa Jadi Penentu’ anjuran Sinar Harian di sini semalam.

Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, semangat pengundi di Sabah dan Sarawak yang mahukan perubahan akan menentukan sama ada Pakatan Rakyat dapat menghampiri jumlah ajaib kerusi Dewan Rakyat, iaitu 112 kerusi, untuk membentuk kerajaan pusat yang baru.

“Sebenarnya, tidak perlu menang sampai separuh (kerusi Sabah dan Sarawak) kerana dalam PRU lepas kita cuma menang dua kerusi sahaja.

“Kalau kita boleh menang satu pertiga pun, ini sudah mengancam Barisan Nasional,” katanya, menambah bahawa penduduk Sabah dan Sarawak perlu melihat kejayaan negeri-negeri Pakatan sebagai perbandingan dengan 54 tahun di bawah kerajaan BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, lebih setengah abad di bawah BN melihatkan pelbagai skandal dan ketidaktelusan serta tiadanya akauntabiliti yang menyebabkan ratusan bilion ringgit khazanah negara dirompak.

Jelasnya lagi, PRU13 juga sangat berkait rapat dengan masa hadapan golongan muda terutamanya berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan kebebasan bersuara serta perasaan bebas dari ketakutan.

“(Pelaksanaan) indah khabar dari rupa. Lihat AUKU, apabila mahkamah telah buat keputusan bersejarah bahawa ianya haram di sisi Perlembagaan, sepatutnya kerajaan mendengar tetapi sebaliknya kerajaan mahu merayu (supaya dikekalkan akta zalim menindas itu).

“Jangan pula jadi macam Akta Perhimpunan Aman… Yang aman jadi haram,” katanya, menambah bahawa Pakatan sedang menunggu mengenai janji Najib sama ada akan memansuhkan sepenuhnya Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) atau pun digantikan dengan dua lagi akta yang hampir sama.

Justeru, Guan Eng yang juga Adun Air Putih mengajak Saifuddin dan semua parti politik mengadakan petisyen agar usaha jahat kerajaan persekutuan BN untuk mengekalkan AUKU tidak terlaksana.

“Janganlah kita cuma bercakap di sini sahaja, marilah kita buat satu petisyen bi-partisan (gabungan kedua-dua pemerintah dan pembangkang) meminta kerajaan persekutuan berhenti dari merayu pengharaman (Seksyen 15) AUKU di mahkamah,” katanya.

Menggulung hujahnya di wacana tersebut, Guan Eng memetik kata-kata tokoh kemerdekaan Amerika Thomas Jefferson yang menyebut, “apabila rakyat takut kepada kerajaan ia bermaksud pimpinan kuku besi, dan apabila kerajaan takut kepada rakyat, itulah kebebasan dan demokrasi.” – Roketkini.com