Budaya

Siapa dia? – Oleh Asi Dani

Cerpen

“Asi..,” perlahan suara Razak menegur. Tiba-tiba saja dia sudah tercongok di depan pagar rumah aku.

“ Ha, Jak, apa cerita? Tiba-tiba je kau ni,” aku menyahut dan bertanya.

“Kopak aku bulan ni,” jawab Razak dengan nada kesal.

“Kenapa? Orang rumah kau borong sakan lagi?” soal aku meneka.

Biasanya Razak akan mengeluh setiap kali isterinya berbelanja dengan menggunakan kad kreditnya. Selang dua tiga bulan, memang itulah yang menjadi rungutannya. Aku sudah lali dengan masalah Razak ini.

“Bukan…kereta aku tu. Aku suspek ada yang tak puas hati dengan aku kat sekolah ni,” dia menyambung. Aku hanya diam, menunggu Razak menyudahkan kisahnya.

“Cermin kereta aku pecah depan belakang. Aduh, rabak poket aku,” dia mengeluh.

Razak seorang guru sekolah menengah di kawasan perumahan kami, sudah empat tahun dia bertukar ke sini dan sejak itu kami berkawan baik. Hal perangai budak-budak sekolah selalu saja menjadi tajuk perbualan aku dan dia.

“Mana kau tau budak-budak yang buat? Dah check?” soal aku.

“Aku tak kata  budak-budak yang buat, tapi ada la yang sengaja nak cari pasal ni, dia bantainya dua-dua cermin kereta aku,” keluh Razak.

Hal seperti ini sudah kerap sangat berlaku. Tapi inilah kali pertama Razak alami sendiri. Memang nampak sangat dia tidak selesa dengan apa yang sedang berlaku. Aku cuba menenangkannya.

“ Dah hantar bengkel?” soal aku.

“ Dah, tadi petang dah buat. Tak pasal-pasal terbang lapan ratus duit aku hari ni,” katanya sambil menghidupkan api rokok.

“Tak apalah, boleh buat alasan kat orang rumah kau. Kena cuti dari bershoping dua tiga bulan ni,” kata aku mengusik, tersengih-sengih saja Razak mendengarnya.

Siapa dia?

Asap rokok berkepul-kepul naik ke udara. Razak memang penghisap rokok tegar. Dia sanggup keluar dari kawasan sekolah untuk merokok walau terpaksa keluar masuk hingga dua tiga kali sehari.

“Aku tak risau pasal tu, pasal budak-budak tu pun aku tak risau,” kata Razak berhati-hati.

“ Dah tu? Duit? Kalau kau nak pinjam aku, cakap la. Boleh aku usahakan sikit, tapi tak banyak la,” aku menambah.

“Tak, tak,” Razak menggeleng kepalanya. “Yang pecahkan cermin kereta aku tu bukan-budak, tapi bapak budak, ” Razak mula menerangkan. “Guard sekolah yang bagi tahu aku, tapi dia tak berani nak tahan pakcik tu.”

“Dah tu, dia buat apa? Tengok aje?” aku menyoal Razak kembali.

“Ye lah, dia tengok je lah, nak cakap pun tak reti. Pasal guard ni pun aku nak komplen la. Dia ni orang Bangladesh,” berubah nada suara Razak.

Aku juga terkejut kerana aku menyangkakan guard sekolah Razak itu orang tempatan.

“Ada ke guard sekolah dari pekerja asing?” aku menyoal Razak kembali.

“ Entah la, aku pun baru dua tiga minggu ni perasan dia tu orang Bangladesh. Biasa yang aku nampak, orang kita, kalau tak Melayu, mesti India,” Razak cuba menjelaskan hakikat semasa.

“Eh, tak kan sekolah ambil pekerja asing jadi guard. Aku rasa tak kena tu sebab sekolah ni kawasan sensitif sikit. Mana boleh pekerja asing yang jaga, ni bukan kedai atau perumahan awam,” aku pula memberi pandangan.

“Itulah dia, lepas jadi tadi, aku terus jumpa guru besar tanya pasal mat Bangladesh ni, lupa terus pasal cermin kereta aku yang pecah tu, ” sambung Razak. “Guru besar pun baru perasan, dia terus call syarikat kawalan keselamatan tu.”

“Kau orang ni lawak la, siapa guard di tempat kerja pun tak perasan. Kalau penculik yang jadi guard, kalau ada budak yang dah kena culik baru kau orang nak sedar,” aku sengaja menyindirnya.

“Mana nak perasan, hari-hari keluar masuk tengok uniform je, bukan aku tegur pun guard ni, cuma angkat tangan je,” jelas Razak serba-salah.

“Habis tu, apa cerita bapak budak yang pecahkan cermin kereta kau tu?” soal aku mengingat kembali isu yang asal tadi.

Siapa yang bertanggungjawab?

“Ha, yang tu pun aku tak sempat nak check bapak pelajar mana, tapi kalau tak silap aku, rasanya macam pernah jumpa di mesyuarat PIBG sekolah,” Razak cuba mengingat kembali individu itu.

“Esok kau checklah cepat, bimbang juga sebab dia berani sangat masuk sekolah buat kerja siang-siang hari. Kau tanya juga saksi lain yang nampak orang tu buat kerja,” aku mencadangkan kepada Razak.

“Ye lah, esok aku check. Tapi pasal guard Bangladesh ni pun satu hal jugak. Aku ingat nak minta ganti-rugi, sama ada pada pakcik tu atau syarikat keselamatan guard tu,” Razak menerangkan rancangannya.

“Ni nasib baik kereta kau yang kena, mak bapak tak salahkan guard tu dan tak perasan pun. Cuba kalau jadi apa-apa hal pada budak, teruk sekolah kau nak menjawab hal guard ni, esok famous la sekolah kau dalam surat khabar.

“Lagi satu, sekolah ni, budak-budak termasuk kawasan sekolah tu dah kira macam aset negara jugak tau, tempat sensitif tu, mana boleh sebarang orang yang keluar masuk atau yang jaga.

“Kau nak biar macam kes kapal selam kita tu ke? Blogger sesat mana entah tiba-tiba diberi akses pada aset penting negara, macam kita ni dah tak ada etika, tak ada undang-undang,” perli aku sambil tersengih memandang Razak.

“ Hah, betul la!” tersentak Razak mendengar usikan aku. “Blogger ni pun macam mat Bangladesh dekat sekolah aku, dah la tak qualify, ada hati nak akses harta negara, harta rakyat tu. Patut campak je ke laut orang-orang ni.”

“Hahaha…jangan la cakap macam tu pulak Jak, dia orang ni pun cari makan macam kita jugak, kalau tak qualify tak kan bos dia ambil dia bekerja,” kata aku sambil cuba memancing Razak.

“Tak la, kalau fikir lojik memang tak kena pun hal mat Bangladesh ni dengan blogger tu, siapa dia orang ni, macam mana dia boleh ada akses ke situ. Semua ni macam ada yang tak kena dengan sistem kita,” Razak cuba memberi hujahnya dengan wajah yang serius.

“ Ye lah, tapi dalam kes kau ni, sekolah kau tu dulu patut kau Tanya,” jawab aku.

“ Habis tu, kes blogger tu macam mana?” Razak pula menyoal aku.

“Hal tu, kerajaan la kena jawab dengan rakyat,” jawab aku menyudahkan perbualan. – Roketkini.com