Berita

Kapal peronda: Bocor RM3 bilion lagi

KUALA LUMPUR, 19 DIS – Mengapa enam kapal peronda dibeli dengan harga RM9 bilion sedangkan peruntukan yang diluluskan untuk pembelian itu oleh Parlimen hanya RM6 bilion? Mengapa kerajaan Barisan Nasional terlebih belanja RM3 bilion?

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri yang telah menjanjikan keterbukaan dan ketelusan dalam urusan perolehan kerajaan, menjelaskan secara terperinci mengapa berbilion wang rakyat dibelanjakan dengan begitu membazir.

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dilaporkan telah menerima Surat Anugerah bertarikh 16 Disember 2011 daripada Kementerian Pertahanan Malaysia untuk kontrak merekabentuk, membina, melengkapkan, memasang, mengintegrasi, menguji, dan menyampaikan enam unit Generasi Kedua Kapal Kapal Pentempuran Pesisir (Kelas Frigate).

Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) berkata dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia:

“Kontrak tersebut membawa siling sebanyak RM9 bilion, yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga Rancangan Malaysia, 10, 11 dan 12. Penghantaran kapal Kelas Pertama adalah dianggarkan pada tahun 2017 dengan diikuti kapal-kapal lain setiap enam bulan selepas itu.”

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didesak menjelaskan kenapa berlaku peningkatan kos yang melampau tinggi iaitu sebanyak 50 peratus untuk pembelian enam kapal peronda laut.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, beliau tekejut apabila Boustead Naval Shipyards mengumumkan dalam Bursa Malaysia kontrak yang dimeterai minggu lepas melambung daripada kos yang disebut Zahid di Parlimen Februari lalu.

“Dengan peningkatan sebanyak RM3 bilion sebelum pembinaan kapal bermula, adakah Menteri Pertahanan dapat meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kapal-kapal ini tidak akan mengalami nasib sama yang memalukan seperti kapal-kapal dahulu?

“Sementara perbelanjaan sistem pertahanan di Malaysia masih kabur, dengan Malaysia diletakkan pada kedudukan ‘sederhana rendah’ oleh Transparency International, kami mendesak supaya Jawatankuasa Pemantauan Parlimen mengkaji semula dan meluluskan perbelanjaan pertahanan seperti mana diamalkan oleh semua negara-negara maju,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata demikian mengulas mengenai perjanjian dan peningkatan kos melampau antara Kementerian Pertahanan dan Boustead.

Pada sesi Parlimen Februari lalu, Zahid mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan RM6 bilion kepada Kementerian beliau untuk membeli enam kapal peronda yang akan dibina oleh Boustead.

Mac lalu Zahid mendakwa enam kapal tersebut adalah kapal perang canggih dikenali sebagai “kapal tempur pesisir pantai” (LCS) yang “besar dan pantas” dan “ia juga dilengkapi dengan peralatan perang tiga-dimensi seperti meriam, perlu berpandu dan torpedo.”

Justeru Pua berkata, Malaysia yang hendak membeli sebanyak enam kapal jenis LCS tersebut agak melampau sedangkan Amerika Syarikat hanya mempunyai dua buah sahaja iaitu USS Independence dan USS Freedom.

“Perbelanjaan ini melibatkan berbilion ringgit setiap tahun, oleh itu kekurangan ketelusan hanya membawa kepada kelemahan akauntabiliti, kebocoran wang melampau dan lebihan perbelanjaan.

“Ketirisan ini mesti dipulihkan agar dapat memastikan negara tidak bankrup pada 2019, seperti yang diramalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala,” katanya.

Pengerusi parti KITA, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata bahawa ia amat pelik bahawa dalam sebuah kontrak wujud siling harga RM9 bilion.

“Bagaimana anda boleh mempunyai kontrak sehingga kepada RM9 bilion? Apakah yang akan berlaku jika mereka melebihi jumlah itu?”

“Itu bukan kontrak di sisi undang-undang. Ia hanya surat tunjuk minat. Di dalam kontrak, anda perlu menyatakan ciri-ciri dan spesifikasi. Tetapi di sini, nampaknya peralatan tersebut telah tidak dinilai dan sistem ini adalah tidak muktamad. Ini bermakna mereka tidak pasti apa yang mereka beli.” – Roketkini.com