Berita

Mansuhkan AUKU, gantikan dengan rang undang-undang kebebasan mahasiswa

KUALA LUMPUR, 19 DIS – Gabungan mahasiswa mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menerima cadangan kebebasan akademik, autonomi universiti dan rang undang-undang Magna Carta Hak Mahasiswa 2008 sebagai ganti kepada undang-undang zalim Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Abdul Razak berkata, apa yang perlu dimejabulatkan bukanlah AUKU tetapi hak mahasiswa.

“Selain itu, ia juga berkaitan bagaimana kerajaan merangka autonomi universiti brdasarkan dua aspek besar, iaitu pentadbiran (universiti) dan (kebebasan) akademik,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua perkara ini perlu diserahkan kepada universiti secara total agar dapat memperkasa mahasiswa yang telah dilesukan oleh AUKU, berpartipasi dengan politik, mampu mengurus persatuan dan aktiviti, dan menjadkan mahasiswa kritikal terhadap dasar-dasar negara.

Penyelaras Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) Teh Yee Keong berkata, Kementerian Pengajian Tinggi perlu mendesak kerajaan agar memansuhkan AUKU untuk digantikan dengan Magna Carta Hak Mahasiswa 2008.

“Akta ini sangat penting dan menjamin hak mahasiswa dari aspek kebebasan politik, hak bersuara, mengurus pilihanraya sendiri dan sebagainya.

“Ia adalah satu inisiatif penting, dan tindakan pertama mahasiswa Malaysia mendraf akta ini tanpa bantuan orang lain, setelah mengadakan rundingan meja bulat bersama para profesional dan ahli akademik,” katanya.

Magna Carta atau Piagam cadangan itu selaras dengan demokrasi dan hak asasi manusi sebagai mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Para mahasiswa itu menjelaskan pendirian mereka di sini hari ini sebagai respon tambahan selepas demonstrasi menuntut kebebasan berakedemik pada 17 Disember lalu.

Mereka bersepakat untuk tidak melanjutkan ‘kontroversi tidak beradab’ oleh Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara di laman Youtube yang mengecam untuk beberapa mahasiswa yang menurunkan bendera yang ada gambar Najib di PWTC.

Jelas Ahmad Syukri, apa yang dilakukan oleh mahasiswa tersebut adalah bersifat simbolik dan respon spontan terhadap retorik-retorik transformasi Najib selama ini.

“Sifat melenting Pemuda UMNO ini cuma nak mengalih isu sebenar. Apa yang perlu dibahaskan ialah mesej yang hendak disampaikan mahasiswa iaitu kebebasan akademik,” katanya, menambah mahasiswa tidak perlu terjebak dan perlu fokus kepada hak menunut kebebasan akademik.

Beliau turut menjelaskan bahawa mahasiswa bukanlah ‘suara pembangkang’ dan justeru, gabungan mahasiswa SMM akan cuba mengadakan pidato antara Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pada 29 Disember ini.

“Pidato ini kita nak tunjukkan bahawa kita tidak bersikap memilih parti politik dan terbuka selain hendak memecahkan tembok bahawa mahasiswa bersedia membuang politik sempit dan melihat politik secara matang,” katanya. – Roketkini.com