Budaya

Korporat gergasi rosakkan nama baik pasaran bebas – Oleh Fairuz Azhan

21 DISEMBER – Stop Online Piracy Act (SOPA) merupakan satu rang undang-undang yang boleh memusnahkan dunia internet kita sedang nikmati. Ia diperkenalkan dalam Dewan Pewakilan Amerika Syarikat pada 26 Oktober 2011 bertujuan untuk mengembangkan bidang kuasa dan kuasa penguatkuasaan terhadap pelanggaran hak cipta dan hak milik intelektual. Selain SOPA, Protect Internet Protocol Act (PIPA) juga mempunyai tujuan yang sama.

Jika kita di Malaysia mengganggap bahawa kita tidak terkena kesan undang-undang Amerika, fikir sekali lagi. Ini adalah kerana kebanyakan laman web, portal dan syarikat berasal daripada Amerika, dan secara realitinya, merekalah pemain dan penggerak terbesar di dalam dunia rangkaian internet.

SOPA bukan sekadar mengharamkan laman-laman web yang katagorikan sebagai ‘lanun’ atau pun ‘perompak’, ia bakal menjadi penapis kepada alam maya. Dunia bebas dan percuma untuk warga global mahu dikekang oleh gergasi korporat yang kononnya bertindak atas nama pasaran bebas.

Kezaliman korporat gergasi

Justeru, artis-artis antarabangsa seperti Snoop Dogg, P Diddy dan Kanye West telah menerbitkan sebuah lagu untuk menyatakan sokongan mereka terhadap ‘Megaupload’ yang telah diharamkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang apa yang sedang berlaku.

Namun demikian, YouTube terpaksa menurunkan klip video terbabit setelah menerima notis daripada Universal Music atas alasan kononnya ia melanggar hak cipta. Tetapi jelas bahawa tiada sebarang hak cipta yang telah dilanggar walau pun daripada mana-mana segi pun dan Universal Music tiada sebarang urusan dalam video tersebut. Inilah contoh terbaik ‘penapisan korporat’.

Mereka tidak mahu rakyat menyedari apa yang sedang berlaku dan terus tidak sedar meski pun hak mereka sedang dirompak satu per satu. Seperti mana segelintir pemimpin kuku besi menggunakan ideologi sosialis untuk mencengkam rakyat, gergasi korporat pula bergerak atas nama pasaran bebas untuk mengekang hak rakyat.

Yang paling menakutkan, Universal Music tidak memerlukan hak cipta untuk mengarahkan penurunan harta intelek, dan bebas daripada dakwaan pelanggaran hak cipta.

Bagaimanakah sebuah badan korporat boleh mengarahkan penapisan kepada enjin pencarian kedua terbesar di dunia, iaitu YouTube? SOPA dan PIPA boleh mengarahkan penurunan mana-mana laman web melalui penghadangan Sistem Nama Domain (DNS) yang ‘berkemungkinan’ berlakunya pelanggaran hak cipta.

Di Amerika Syarikat, terdapat ‘Safe Habour Rule’, iaitu peraturan undang-undang bahawa laman-laman web tidak bersalah jika pengguna yang memuatnaik bahan-bahan yang melanggar hak cipta. Ia adalah tanggungjawab si pemuatnaik, bukannya YouTube.

Dahulu, jika seseorang memuatnaik bahan yang melanggar hak cipta, beliau akan diberi amaran, dan diarahkan menurunkan video tersebut. Jika tidak, YouTube akan menurunkan video tersebut dan mengharamkan orang tersebut daripada menggunakan YouTube. Cara ini lebih mudah untuk menangani kanak-kanak yang memuat naik kartun daripada membuang wang dan tenaga mengambil tindakan undang-undang ke atas kanak-kanak tersebut.

Ibaratnya, jika pemandu sebuah kereta Proton melanggar kereta anda, siapakah yang sepatutnya bersalah? Undang-undang SOPA dan PIPA memberi ruang kepada anda untuk menyaman Proton, bukannya pemandu kereta yang melanggar anda.

YouTube dan Facebook bakal ditutup?

Untuk contoh yang lebih ekstrem, dan ini bukannya penokoktambahan, di bawah undang-undang itu, YouTube boleh diharamkan dan ditutup jika terdapat orang yang memuatnaik bahan yang melanggar hak cipta.

Bukan sahaja YouTube yang membenarkan ‘streaming’ video yang kononnya melanggar hak cipta. Facebook juga boleh diharamkan dan ditutup jika ada pengguna yang memuatnaik bahan yang melanggar hak cipta dan pelbagai lagi laman-laman web lain seperti PhotoBucket, YFrog dan sebagainya.

Malah, blog-blog persendirian juga boleh dikenakan tindakan yang sama jika seseorang telah mengambil sesuatu artikel daripada laman web. Impak dan kesannya cukup besar.

Apa yang menakutkan ialah tiada sebarang proses atau pun prosedur dalam penurun DNS laman web tersebut. Ibarat jika terdapat orang yang disyaki menyimpan barang curi di dalam peti simpanan di bank, polis boleh mengarahkan bank tersebut dan cawangannya ditutup serta-merta tanpa sebarang siasatan mahu pun proses.

Masalah di Amerika Syarikat sekarang ialah rata-rata ahli politik yang membahaskan rang undang-undang itu tidak tahu banyak tentang internet. Mereka kebanyakannya adalah golongan politikus yang sudah berumur dan jarang menyentuh papan kekunci (semuanya dilakukan oleh pembantu mereka).

Namun mereka sedang membahaskan satu undang-undang yang boleh mengubah inovasi ciptaan sains dan teknologi yang paling hebat di dunia yang membuka ruang kebebasan. Hanya mereka yang sedar tentang makna kebebasan dan tahu menggunakan internet menolak 100 peratus rang undang-undang itu.

Korporat anti-pasaran bebas

Kerajaan Malaysia sudah pun mengharamkan laman-laman web berbentuk ‘file sharing’ walau pun ia ditentang oleh segenap pihak. Walau mengaku berkhidmat untuk rakyat dan kononnya wira dunia ketiga, kerajaan Malaysia telah tunduk kepada gergasi korporat. Kesan yang tidak diduga adalah rakyat Malaysia yang ingin memuat turun fail-fail berkaitan kerja dan tugas turut terjejas apabila fail-fail diharamkan.

Internet adalah ciptaan kreativiti lambang kebebasan yang unggul. Kebebasan ini lahir dalam dunia pasaran bebas yang tidak mahu disekat oleh paksanaan mana-mana kerajaan atau pihak berkuasa.

Ironinya, gergasi korporat yang lahir dari alam pasaran bebas itu sendiri kini menjadi musuh kepada kebebasan. Kezaliman gergasi korporat ini telah membenarkan propaganda komunis dan sosialis bahawa pasaran bebas memang mengekang kebebasan.

Inikah hasil globalisasi yang diidamkan oleh warga dunia? – Roketkini.com