Rencana

Masalah dan konflik kuasa Pegawai Daerah – Oleh V. Sivakumar

21 DISEMBER – Adakah pejabat-Pejabat Daerah kita berfungsi dengan cekap dan berkesan? Ini merupakan satu soalan yang mudah dan tidak perlu penelitian yang terperinci.  Tetapi ramai orang yang berkunjung ke Pejabat Daerah merungut bahawa mereka terpaksa berulang-alik untuk membuat sesuatu kerja.

Satu daripada punca ketidakcekapan Pejabat Daerah ialah Pegawai Daerah itu sendiri. Pegawai Daerah adalah orang yang bertanggungjawab untuk pentadbiran dan pengendalian sesebuah Pejabat Daerah. Tetapi, Pegawai Daerah sering kali tidak dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik.

Namun demikian, kita tidak boleh menyalahkan Pegawai Daerah itu sepenuhnya. Banyak kelemahan dalam sistem pentadbiran kita yang menjadi batu penghalang kepada seseorang Pegawai Daerah untuk menjalankan kewajibannya.

Beban tugas berat

Satu daripada halangan utama ialah beban yang terlalu berat harus dipikul oleh seseorang Pegawai Daerah. Jawatan ini adalah jawatan yang paling penting dalam sesebuah daerah. Oleh yang demikian, seseorang Pegawai Daerah terpaksa memegang beberapa jawatan dalam  pelbagai badan dan jawatankuasa di daerah tersebut.

Sebagai contoh beliau mempengerusikan Jawatankuasa Tindakan Daerah, Jawatankuasa Tanah dan bermacam-macam jawatan lain termasuk jawatankuasa ad hoc yang dibentuk dari semasa ke semasa. Beban kerja yang melampau ini telah meremukkan produktiviti Pejabat Daerah pada keseluruhannya.

Oleh kerana seseorang Pegawai Daerah memegang pelbagai portfolio, maka adalah sukar untuk orang ramai berjumpa dengan beliau kerana kesibukan kerja. Sering kali orang mengadu bahawa Pegawai Daerah tidak berada di pejabatnya kerana menghadiri kursus dan mesyuarat. Ini menyukarkan orang ramai untuk mendapatkan keputusan mengenai sesuatu hal yang memerlukan kelulusan Pegawai Daerah itu. Mereka terpaksa menunggu  satu tempoh  masa yang lama untuk mendapat temu janji dengan Pegawai Daerah.

Apabila Pegawai Daerah berada di pejabatnya, sering kali kita dapat lihat ramai yang datang menunggu untuk berjumpa dengannya. Ini juga menambahkan beban seseorang Pegawai Daerah dan mengganggu kerja-kerja pejabatnya.

Seseorang Pegawai Daerah juga dibebankan lagi dengan jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah. Jawatan ini merupakan satu jawatan yang sangat penting dalam sesebuah kerajaan tempatan.  Pegawai Daerah juga pada kebiasaanya mempunyai dua pejabat, iaitu Pejabat Tanah dan Daerah dan satu lagi di Majlis Daerah. Beliau perlu berada di kedua-dua pejabat itu untuk menjalankan tugasan yang berbeza.

Kedua-dua jawatan ini adalah cukup penting dan mempunyai tanggungjawap yang sangat berat.  Apabila dua jawatan yang penting ini dipegang oleh seorang individu, akibatnya rakyat terpaksa menanggung kesan produktiviti yang lembab.

Jawatan Pegawai Daerah  merupakan satu jawatan eksekutif  untuk melaksanakan polisi-polisi kerajaan di peringkat daerah. Manakala jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah pula lebih mirip kepada penggubal polisi di peringkat kerajaan tempatan.

Dua kuasa, konflik tugas

Adalah tidak rasional bagi seorang penggubal polisi juga menjadi  seorang  pelaksana polisi. Ini menyebabkan kuasa berpusat kepada seseorang Pegawai Daerah dan seterusnya boleh menyebabkan penyelewengan.  Perkara ini adalah juga bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi prinsip asas dalam amalan demokrasi.

Dalam keadaan ini, ahli-ahli politik pula mengambil kesempatan untuk mempengaruhi Pegawai Daerah bagi tujuan-tujuan politik mereka. Selain daripada itu, ada juga yang menyalahgunakan kuasa politik mereka untuk mendapatkan projek-projek di daerah itu daripada Pegawai Daerah yang berkuasa penuh. Ini melemahkan sistem pengurusan dan mengakibatkan pelbagai masalah dan penyelewengan dalam pentadbiran itu.

Kenapakah dua jawatan itu perlu dipegang oleh orang yang sama? Jika jawatan-jawatan itu diberikan kepada dua individu yang berlainan, maka ini akan melicinkan lagi perjalanan Pejabat Daerah dan juga Majlis Daerah.

Tambahan pula, ini akan mengelakkan pertindihan kuasa dan menjamin ‘semak dan imbang’ di peringkat daerah. Ini merupakan satu cadangan untuk memperbaiki ‘delivery system’ kita di peringkat mikro.

Kerajaan harus memikirkan jalan bagaimana melaksanakan pembahagian kerja ini supaya produktiviti di semua jabatan ini dapat ditingkatkan.  Selain daripada itu, meringankan beban kerja Pegawai Daerah akan meningkatkan mutu dan produktiviti di setiap daerah. – Roketkini.com

Penulis adalah Timbalan Pengerusi DAP Perak dan Adun Tronoh