Rencana

Apabila Melayu menerima DAP… – Oleh Mazir Ibrahim

22 DISEMBER – Hakikat bahawa orang-orang Melayu telah mula memahami perjuangan DAP tidak dapat disangkal lagi. Maksudnya Melayu tidak lagi takut atau benci dengan DAP walau pun jentera propaganda UMNO membuat tohmahan kononnya DAP mahu memusnahkan bangsa Melayu, mahu menghancurkan Islam dan pelbagai fitnah lain.

Tidak dinafikan ada segelintir orang Melayu yang menjadi ahli DAP kerana mahu kedudukan dalam parti, mahu menjadi calon pilihan raya atau kerana kecewa kepada parti lawan (mungkin parti asalnya).

Namun ini bukan hanya berlaku kepada orang Melayu sahaja, ia meliputi semua kaum. Masalah ini juga bukan tertumpu kepada DAP sahaja, ia turut berlaku pada parti-parti lain.

Lumrah berpolitik seperti itu memang tidak dapat dielak, mana mungkin kita dapat mengenal pasti insan-insan yang sekadar mahu mengambil kesempatan. Apabila telah dapat, dia berubah, jika tidak dapat, dia melompat.

Tiada mekanisme sempurna untuk mengelakkan keadaan ini kecuali dinamika politik kita telah berubah.

Minda parti kaum

Kewujudan minda ‘parti ini untuk kaum ini, parti itu untuk kaum itu’ masih membekas dalam semua lapisan masyarakat, tua atau muda, Muslim atau agama lain, kaya atau miskin, yang berpelajaran atau pun tidak. Seolah-olah semua pengetahuan yang kita miliki hari ini tidak boleh menjamin kita untuk tidak berminda assabiyah – rasis.

Dogma yang telah ditanam di dalam benak bangsa Malaysia sejak separuh abad yang lalu oleh UMNO, MCA dan MIC cukup dalam dan lama sekali kesannya.

Ia bukan hanya berlaku dalam Barisan Nasional sahaja tetapi turut menjangkiti segelintir golongan dalam Pakatan Rakyat, iaitu PKR, PAS dan termasuk DAP sendiri. Ini kenyataan yang cukup pahit untuk ditelan.

Malah, bukan hanya Melayu dalam UMNO, PKR atau PAS sahaja yang berfikiran ‘parti berasaskan kaum’, ada juga kaum Cina dan India dalam MCA, MIC, GERAKAN, PKR dan DAP yang berkongsi pandangan assabiyah itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Malah bagi kaum-kaum etnik peribumi Sabah dan Sarawak juga wujud mentaliti sedemikian. Ia menggambarkan seolah-olah sifat bangsa Asia yang berkabilah menjadi asas bagaimana dimensi politik hari ini dimanipulasi dan dicorakkan.

Jadi, demografi masyarakat apakah yang akan kita lahirkan jika Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir negara?

Apakah bentuk sistem pendidikan terhadap kepelbagaian, hak asasi, peluang saksama, prinsip dan amalan demokrasi serta keadilan yang mahu dibawakan jika usaha itu tidak tekun dilaksanakan dengan gigih pada masa ini?

Assibiyah dalaman

Yang paling menakutkan ialah, apabila kita bercakap tentang prinsip-prinsip di atas platform DAP misalnya (platform yang digambarkan sebagai bukan Melayu), masih ada orang Melayu Islam yang mendakwa kita yang bercakap tentang prinsip itu sudah menerima ajaran lain dari Islam, menyimpang dan sesat, serta kemaruk dengan ‘agama baru’ seperti yang didakwa oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor baru-baru ini.

Lihatlah bagaimana prinsip paling asas sebegini pun mudah sekali dipesongkan makna dan konteksnya. Mereka yang mendakwa itu seolah-olah memahami Islam itu hanya datang dalam bahasa dan budaya Arab sahaja, atau ilmu pengetahauan itu hanya dikembangkan oleh tamadun Islam dan Melayu semata-mata.

Seolah-olah kaum dan bangsa dari tamadun lain tidak pernah menyumbang apa-apa pun kepada manusia dan kehidupan kita.

Contohnya, apabila DAP sebagai parti bukan kaum yang menerima pelbagai kaum mengalu-alukan penyertaan orang Melayu ke dalam partinya, maka reaksi orang Melayu, termasuk segelintir manusia dari PKR dan PAS sudah mula menjeling-jeling dan berkenyit mata tanda sinis dan curiga.

Adakah mereka bimbang DAP akan jadi lebih ‘menawan’? Atau pengaruh politik mereka akan terhakis? Atau mereka juga terperap dalam tempurung yang dicipta kepimpinan UMNO sejak sekian lamanya?

Itu rasa hati segelintir Melayu di luar DAP. Bagaimana pula perasaan kaum Cina, sama ada di luar atau di dalam DAP sendiri?

Ada juga segelintir orang Cina dalam DAP yang dahi mereka mula berkerut bimbang. Adakah golongan ini khuatir jika orang Melayu suatu hari kelak menjadi dominan dalam DAP?  Atau takut jika ada orang Melayu akan mejadi Setiausaha Agung parti?

Yang pasti semua kebimbangan itu tidak berasas. Tetapi inilah realiti di luar dan di dalamnya.

Mentaliti assaabiyah ini menyepit manusia-manusia yang ingin mempraktiskan apa yang mereka faham dan yakini. Ruang untuk membina dinamika baru dalam mana-mana arena terlalu mudah disalahtafsirkan.

Jalan tengah jalan keluar

Jika perasaan ini tersemat dalam hati, akhirnya, slogan ‘Reformasi’, ‘Keadilan Untuk Semua’, ‘PAS Untuk Semua’, ‘Jalan Tengah Malaysia’, ‘Selamatkan Malaysia’ atau ‘Harapan Baru’ hanyalah omongan kosong yang tidak ada beza dengan slogan 1Malaysia.

Dengan maksud lain, manusia-manusia yang demokrat, berhaluan sederhana dan moderat wujud terpencar-pencar dalam semua parti politik. Mereka ada dalam Pakatan, malah ada segelintir manusia seperti itu dalam BN walau pun suara mereka disenyapkan pucuk pimpinan.

Insan-insan moderat ini terperangkap dalam dinamika dan persepsi assaabiyah parti politik mereka. Ini akan menjadi satu tragedi demokrasi dalam negara kita jika ia tidak ditangani segera.

Kejahilan ini ubatnya hanya satu, iaitu beristiqamah mencelikkan hati dan akal kita serta berkongsi pandangan dengan para sahabat dan kawan.

Dalam politik, ‘kompromi’ dan ‘tolak ansur’ bukan kata-kata yang kotor. Ia titik permulaan ke arah persaudaraan yang sebenar. Ia adalah jalan tengah yang menwarkan jalan keluar dari kemelut perkauman. Hanya semangat itu dapat mematikan saki-baki minda assabiyah dalam Pakatan.

Mujur majoriti ahli dan pemimpin Pakatan sudah terbuka minda dan menerima kepelbagaian kaum. Namun yang segelintir itu masih perlu dicerahkan minda, jiwa dan hati mereka agar Pakatan Rakyat tidak menjadi BN 2.0. – Roketkini.com