Budaya

Erah IV – Oleh Mazir Ibrahim

Cerpen

Wang Chu duduk termenung di rumah agamnya, petang itu hujan masih turun mencurah-curah. Bot-botnya sudah seminggu tersadai di pangkalan, tiada seorang pun nelayan, penyewa bot-botnya tidak turun ke laut menangkap ikan. Musim hujan tidaklah terlalu teruk tetapi minat nelayan semakin kurang mahu menyewa botnya turun ke laut.

Entah kenapa, dia sendiri tidak dapat mencari jawapannya. Barangkali kerana anak lelakinya sudah tiada lagi di kampung. Hanya Wang San sahaja satu-satunya yang boleh membaiki bot nelayan jika rosak. Kini dia tiada, sudah tentu kos membaiki bot akan menjadi lebih mahal jika menghantar ke mekanik lain, malah lokasinya lebih jauh dari pangkalan kampong Sungai Kelah.

Dalam bermenung inilah ingatannya kepada anak lelaki tunggalnya Wang San kembali menghentam langit ingatannya. Sebagai ayah, dia sendiri sukar hendak mempercayai bahawa Wang San sanggup lari menghilangkan diri setelah bertahun-tahun memendam perasaan pada Erah.

Jika Wan Milah, ibu Erah, masih hidup, dia tidak dapat membayangkan apa akan jadi kepada wanita itu apabila berhadapan dengan perkara ini. Satu kampung sudah tahu Erah dan Wang San lari bersama. Manalah hendak disorokkan mukanya, seluruh keluarga menangggung malu. Ladang Wang Chu juga menerima kesannya, kadangkala bertoreh, kadangkala tidak. Penoreh-penoreh pun sudah bersilih-ganti. Tiada orang yang dapat membantunya, dia sendiri pun sudah hilang tumpuan.

Ketika ini juga kenangan lalu ketika bersama-sama dengan bapa Erah, arwah Ahmad Jalil meneroka hutan Kampung Sungai Kelah, datang kembali. Tersenyum seorang diri apabila terkenang kesungguhan Ahmad Jalil.

Pernah suatu ketika, tanpa rasa bimbang Ahmad Jalil menghayunkan kapak menebang pokok yang kononnya begitu ditakuti oleh orang Melayu kerana didakwa pohon itu berpenunggu. Sampai pada Ahmad Jalil, mudah sahaja. Katanya, “nah, mata kapak aku saja ubatnya.” Begitulah cekalnya hati Ahmad Jalil dalam berusaha menyara keluarganya. Wang Chu sekadar menyiapkan kapak, parang, tali dan minuman untuk membantu Amad Jalil membuat kerja-kerjanya, dia sekadar menebas belukar yang merimbun.

Ketika itu Wang San masih kecil, bermain-main dengan Erah ketika keluarga Wang Chu dan keluarga Ahmad Jalil sama-sama bergotong-royong menerangkan hutan. Kelopak mata Wang San tidaklah sesepet seperti mata kakak-kakaknya, pernah Ahmad Jalil mengelek Wang San dan Erah bersama, Wang San memang tidak nampak seperti anak Cina. Tersengih-sengih Wang Chu mengenang kenangan ini.

Wang San belajar membaca

Ketika Wang San di zaman persekolahan, Wang Chu tidak begitu memberi tumpuan kepada anak lelaki tunggalnya itu. Dia sendiri tidak sedar sehinggalah guru sekolah anaknya itu memberi tahu bahawa Wang San selalu ponteng sekolah. Ketika itu Wang San sudah darjah lima. Wang Chu cukup marah tetapi kemarahan itu tidak lama kerana beliau terus lupa kerana sibuk bersama Ahmad Jalil menguruskan ladang dan bot-botnya.

Sehinggalah suatu petang Ahmad Jalil berbisik kepadanya. “Kau memang rajin Chu tapi janganlah sampai lupa anak isteri. Aku kesian pada San, dia selalu ponteng sekolah sebab tak buat kerja sekolah, dia tak tahu membaca dan menulis. Tapi kau jangan bimbanglah. Erah boleh tolong ajar dia menulis, membaca.”

Terkejut Wang Chu mendengar kata-kata Ahmad Jalil. Dia tidak sangka bahawa sudah darjah lima Wang San tidak tahu membaca dan menulis. Namun kebimbangan ini reda setelah Ahmad Jalil meyakinkannya Erah sedang mengajar Wang San. Lega rasa hatinya, kini bolehlah dia menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaannya bersama Ahmad Jalil.

Tersengih-sengih Wang Chu mendengar pesanan Ahmad Jalil, terasa juga sengan dengan teguran rakan baiknya itu.

“Kalau gua tak kerja keras, apa kita nak makan Mad?  Lu tahu kan, kalau gua seorang saja yang kerja, bila kita mau siap? Kalau lu seorang saja kerja, gua seorang duduk, tak baik ma,” Wang Chu cuba menerangkan keadaannya.

Persefahaman antara dua rakan ini memang jelas. Wang Chu memang rajin tetapi keras kepala juga. Bila Ahmad Jalil menasihatnya tentang masa bersama keluarga, ada sahaja alasan yang diberikan. Kadangkala Amad Jalil mengusik Wang Chu, “Lu tidur sajalah dalam itu bot, tak payah balik rumah. Wang San gua bikin anak angkat”. Ketawa Wang Chu dibuatnya.

Memburu bersama Ahmad Jalil

Dalam kesibukan kedua rakan ini mengurus ladang dan bot nelayan, mereka tetap akan mencari peluang untuk menghabiskan masa bersama. Ahmad Jalil yang memulakan tradisi ini. Dia memang dikenali kerana pandai dengan selok-belok di hutan berbanding ilmu tentang laut. Sejak kejadian bot pecah di tengah laut, Ahmad Jalil sudah menukar hobinya dengan berburu.

“ Chu, Rabu ni kita berburu, mau?” tanya Ahmad Jalil.

“Apa mau cari? Ayam ikan sudah ada, masuk hutan tak gunalah, nyamuk banyak,” keluh Wang Chu.

“Lu ikut sajalah. Gua ada satu senapang, nanti gua ajar lu menembak. Lu boleh tembak babi hutan, boleh buat makan,” tersengih-sengih Ahmad Jalil menyakinkan Wang Chu. Terjegil mata Wang Chu mendengar kata-kata Ahmad Jalil.

“Wah, boleh, boleh. Bila mau pergi?” terus sahaja Wang Chu bersetuju setelah mendengar boleh memburu babi hutan. Memang sudah lama dia dan keluarganya tidak meratah daging babi hutan. Selalu sangat makan daging babi timbang, mahu juga sesekali menjamu keluarganya dengan daging babi liar, kecur air liur Wang Chu.

“Boleh bawa Wang San sekali, duduk teperap saja dalam rumah buat apa, jadi la lelaki,” saran Ahmad Jalil. Wang Chu tidak membantah dan hanya terenyum mengangguk-angguk kepalanya.

Begitulah bagaimana hobi kedua sahabat ini bermula, setiap bulan mereka akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya satu malam untuk masuk ke hutan berburu. Ahmad Jalil pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong, paling tidak seekor ayam hutan akan dibawanya pulang.

Bagi Wang Chu, inilah masanya dia dapat meluang masa dengan anak lelaki tunggalnya itu, paling tidak dapat dia merapatkan hubungannya dengan Wang San, malah berburu bersama ini juga dia dapat menjamu keluarganya dengan lauk yang lebih enak. Dia sedar niat murni Ahmad Jalil.

Kini Wang Chu sudah mempunyai selaras senapang sendiri. Jika tidak kerana dorongan Ahmad Jalil, sudah pasti kehidupan Wang Chu dan keluarganya amat membosankan, masanya hanya dipenuhi dengan kerja. Kini bukan sahaja masanya terisi, malah dengan bantuan Erah, anaknya Wang San juga sudah boleh membaca dan menulis dengan baik. Hutang budinya pada Ahmad Jalil dan keluarganya amat besar.

Ikatan yang kukuh

Keakraban ini lahir dari kepercayaan antara satu sama lain, hanya dengan hidup bersama sahaja maka keyakinan antara mereka dapat dibentuk. Hasil perniagaan juga mereka tidak pernah berkira, pernah juga Wang Chu sengaja buat-buat lupa hendak memungut hasil jualan getah tapi Ahmad Jalil tidak pernah culas menghantar wang jualan getah kepadanya, tidak pernah sesen pun wang itu terkurang dari jumlahnya. Inilah yang membuatkan Wang Chu sangat mempercayai Ahmad Jalil.

Sungguh pun Ahmad Jalil tidak bersekolah tinggi dan tidak pandai berniaga tetapi kerja keras dan pengetahuannya dalam mengurus ladang begitu dikaguminya. Budi bahasa Ahmad Jalil juga tidak ada yang kurang, jika ada peraih getah atau ikan yang tidak berpuas hati padanya dan ingin mencari gaduh, akan dikirimkan saja Ahmad Jalil untuk membantu menyelesaikan masalah itu, nescaya ianya akan berakhir dengan baik tanpa apa-apa pergaduhan, begitulah budi bahasa Ahmad Jalil yang dapat menawan hati-hati manusia yang sedang marah.

Sungguh pun semua ini telah berlalu, ikatan yang telah terbina itu masih kekal bersamanya. Kini Ahmad Jalil sudah tiada, Wan Milah juga tiada, malah Erah dan Wang San juga telah meninggalkan kampung.

Hatinya cukup sayu, ladangnya besar, botnya banyak tetapi hati Wang Chu semakin sepi, hanya isteri dan kakak-kakak Wang San sahaja yang masih menemaninya tetapi perasaan Wang Chu terus gundah. – Roketkini.com