Budaya

Mencari diri – Oleh Amaluddin Zhafir

29 DISEMBER – Jika diletakkan Schopenhauer, Hegel, Marx, dan Feuerbach bersama dalam satu wacana, saya percaya setiap seorang dari mereka akan diludah oleh Schopenhauer – ahli falsafah jalang dari kumpulannya yang terbuang.

Malah, belum pun sempat air ludah itu sampai di muka ahli-ahli falsafah tersebut, akan disusuli pula dengan herdik-cerca yang sangat kurang ajar, biadab dan dalam masa sama sangat mudah difahami – seperti mana tulisan-tulisan beliau sendiri.

Schopenhauer, bukan seperti Marx dan Feuerbach yang “tidak berkelip matanya melihat falsafah Hegel”, menyampah dengan falsafah Hegel yang tidak ubah seperti kata-kata abstrak berbunyi gah sedangkan tidak terkandung sebarang isi yang boleh ditentusahkan.

“Jika aku berkata bahawa kononnya falsafah Hegel ini adalah hasil dari sepotong pengalaman yang bakal membingungkan generasi akan datang yang juga merupakan jenaka buat zaman kita, maka ia hanyalah sebuah falsafah palsu yang melumpuhkan segala kekuatan mental, menyesakkan pemikiran sebenar, dan, dengan penyalahgunaan bahasa yang paling menyakitkan hati, diletakkan pula dalam ‘lembah-lembah berhantu’ paling tidak masuk akal, tanpa berfikir sedalamnya, dan, seperti yang boleh diperhatikan melalui hasil kerjanya yang terlampau berjela-jela… Aku, nampaknya sangat benar dalam hal ini.” – Arthur Schopenhauer, On the Basis of Morality. Terjemahan rawak penulis dari terjemahan Inggeris oleh E F J Payne.

Kenapa sampai nak ludah-ludah ni?

Idea Schopenhauer berhubung will-to-live (daya/kehendak untuk hidup) ialah, apabila kita sebagai makhluk cuba berfikir mengenai tujuan kehidupan, kita akan berakhir dengan kesimpulan bahawa tiada sebarang tujuan dalam kehidupan ini, yang juga bermaksud tiada sebarang undang-undang dan objektif dalam alam ini.

Maka apabila kita menolak objektiviti alam, kita menolak alam dan ini membawa kepada kesimpulan bahawa apa yang kita terima sebagai realiti adalah tidak berguna dan kosong.

Tetapi, apabila wujudnya ketakutan kita terhadap kekosongan, bermaksud yang kita masih ada will to live – kehendak kita untuk terus hidup.

Kacau bilau. Begitulah saya agak yang terjadi kepada sebahagian besar rakyat Malaysia yang membaca rencana Mencari Tuhan oleh saudara Firdaus Zolkifli. (http://roketkini.com/2011/12/15/mencari-tuhan-bah-i-oleh-firdaus-zolkifli/ dan http://roketkini.com/2011/12/19/mencari-tuhan-ii-oleh-firdaus-zolkifli/)

Membaca rencananya dari konteks bahasa, sangat melemaskan. Gaya bahasanya, setakat pemahaman cetek saya, agak terlampau tinggi untuk dicapai oleh rakyat umum Malaysia. Bukanlah niat saya bermaksud merendahkan kebolehan masyarakat umum, tetapi lebih kepada ‘kuasa bahasa’ beliau – tidak lebih dari itu.

Entah, mungkin kerana tajuknya Mencari Tuhan, maka pengucapan bahasanya juga perlulah setinggi-tinggi alam.

Macam mana nak faham?

Secara ringkas, tulisan itu tidak lain hanyalah “pengulangan abadi” seperti mana ahli-falsafah-berbuku yang mengulas tulisan ahli akademik terdahulu yang mengulas ahli falsafah terdahulu yang mengulas mengenai ahli akademik lain yang mengulas mengenai ulasan kepada ulasan kepada ulasan orang lain.

Jika seseorang pengarang itu sejujurnya meluahkan ideanya semudah mungkin, tidak akan jadi masalah kepada masyarakat untuk memahami, menghadam dan mungkin mempersoalkan idea sang pengarang tersebut.

Malangnya, tiada apa-apa idea yang cuba disampaikan oleh penulis rencana tersebut. Ianya berselirat umpama sarang labah-labah yang akhirnya hanya akan menjerat pembaca ke dalam kancah pemikiran yang membingungkan.

Beliau berborak panjang mengenai asal usul kritik atas kritik antara Marx dan Feuerbach berkaitan agama, umpama pemberita, dan di akhiran rencananya, saya percaya seperti mana-mana rencana, adalah “punch line” beliau.

Malangnya, punch line beliau juga tidak menampak sebarang idea atau kritikan dari beliau sendiri terhadap ahli falsafah tersebut. Atau mungkin sengaja meninggalkan secara anti-klimaks agar rakyat yang punya masa membaca berulang kali dapat mempersoalkan tulisan beliau, atau mungkin idea beliau, jika saya tertinggal.

Saya hanya mahu mendengar ideanya dan agaknya saya fikir, kesimpulan atau idea yang cuba disampaikan adalah manusia umpama haiwan, sentiasa melakukan “pengulangan abadi.”

Jika begitu, maka saya bersetujulah bahawa manusia dan haiwan adalah bersahabat dan sentiasa melakukan pengulangan abadi.

Jadi, apa maksudnya?

Dalam bahasa mudah, untuk warga Malaysia yang susah dan tidak terpesona dengan bahasa akademik yang berselirat bertujuan untuk meletupkan kepala pembaca, tulisan itu umpama kritik Schopenhauer terhadap Hegel yang di atas – penuh dengan kata-kata abstrak yang memeningkan kepala pembaca umum rakyat Malaysia.

Setiap tulisan mencerminkan sikap penulis itu sendiri. Sama ada bertopeng, naif (naif itu juga mempersonakan!), adalah tugas pembaca untuk menilainya.

Penulis yang menulis dengan gaya bahasa bombastik, berselirat dengan perkataan-perkataan yang tidak hampir kepada masyarakat, seolah seorang penulis bertopeng, atau angkuh, untuk menunjukkan betapa hebat terpelajarnya seseorang pengarang itu sehingga mengabaikan tanggungjawab seseorang pengarang itu kepada masyarakat – sebagai penghubung dan sebagai pemangkin pencelikan.

Pendek cerita, tulisan itu tidak jauh hanyalah sebuah berita mengenai apa yang berlaku lebih seratus tahun lepas. Langsung tidak memberi makna kepada pembaca awam yang datang dari pelbagai latar untuk memahami apa kejadahnya yang cuba disampaikan.

Gaya penulisan adalah luahan minda. Untuk meniru gaya orang lain seperti memakai topeng. Bagaimana cantik pun topeng itu, ia akan menjadi hambar kerana ianya tidak bernyawa, jadi wajah yang paling buruk di dunia ini adalah lebih baik berbanding mereka yang bertopeng.

Tiada tragedi, tiada humor. Banal n.a.k m.a.m.p.u.s.

Mencari Tuhan?

Siapa yang berkehendakkan Tuhan apabila kesemua manusia moden sedar bahawa Tuhan itu ada di mana-mana. Pun begitu, bukanlah tugas manusia untuk mencari Tuhan, tetapi tugas manusia ialah untuk mencari manusia itu sendiri, selain duit, kuasa mahu pun pasangan hidup. Malah, ramai orang menjadikan kerja dan duit sebagai sebagai Tuhan.

Membincangkan perihal agama dan Tuhan dalam konteks lebih seratus tahun lampau tanpa mengembangkannya kepada konsep ketuhanan yang lebih luas dalam kerangka pemikiran masyarakat yang lebih terbuka untuk zaman sekarang, seumpama membaca Red Riding Hood dengan bahasa yang terlampau harfiah sehinggakan tidak tahu atau sedar bahawa cerita kanak-kanak paling popular itu mempunyai konotasi seks yang tinggi.

Apa yang penting di sini ialah kepentingan bahasa kebangsaan, dan bagaimana – setakat kemampuan saya – untuk mengetepikan kejahilan kita sebagai pengguna bahasa Malaysia dan mengangkat kembali keindahan bahasa kebangsaan sendiri. – Roketkini.com