Budaya

Mencari makna diri dalam berTuhan – Oleh Muhd Nazreen

31 DISEMBER – Sememangnya, tafsiran atau cara pandang manusia melihat sesuatu sangat terpencar-pencar. Jadi, dalam proses kemenjadian pasti manusia akan ada pertentangan cara pandang antara satu sama lain.

Jadi, pengalaman merasakan diri-Tuhan-alam kemungkinan juga diterjemahkan menerusi Tabula Rasa – di mana ia melihat manusia dilahirkan tanpa ada pengisian mental, dijadikan sedia putih dan kosong.

Lantas, pengalaman dan persepsilah yang membina alamiah minda manusia. Lantaran itu, ada sahaja yang menilik ranah diri-masyarakat-Tuhan di dalam identiti penaakulan yang terbelah-belah.

Ya, kalau manusia itu boleh bersatu sekali pun, mereka tidak akan mungkin mempunyai waras yang sama. Itu pasti bukan.

Terus, pengalaman intelektual  lampau pada abad ke-16 yang memulai era pencerahan bernama Emmanuel Kant merumuskan bahawa manusia merupakan makhluk yang terbit dengan fikrah.

Hasil pertemuan naluri-identiti diri ini dapat menjanjikan keadaan sedar yang dikonsepkan sebagai Perpetual Peace (Aman-Kekal). Rasa ini mesti dilatari dengan keadaan mental yang tercerah atau pernah juga dikemukakan oleh Kant sebagai pembebasan pemikiran manusia; slogan Sapare Aude yang bermaksud ‘Berani untuk menggunakan kefahaman sendiri!’.

Pemahaman dan pengalaman manusia

Jadi, pemahaman dan pengalaman manusia tentu sahaja akan dihinggapi dengan nilai yang tidak statik dan larut dalam semangat zaman Zeitgeist asing-masing. Seperti mana Weltanschauung (Pandangan Dunia) itu dipisahkan secara terpencar-pencar, apatah lagi interpretasi manusia.

Jadi, di sini, mestinya proses mencari makna keberadaan diri-nilai-Tuhan ini dirujuk menerusi pegangan yang sangat melebihi akal yang tercapai.

Slogan lumayan Cogito Ergo Sum yang membawa maksud ‘Aku Berfikir Maka Aku Ada’ yang dibentangkan oleh pemikir bernama Rene Descartes juga memiliki pandangan bahawa kembara mencari diri manusia ini adalah secara objektif.

Bahawasanya, nilai pemahaman satu manusia dengan manusia yang lain sememangnya ditindih antara satu tingkat ke tingkat yang lain.

Dalam mencari Tuhan juga, bukan semuanya terbit dalam pencerahan. Dalam diam, akan ada sisi nihil dan kecewa dengan dunia. Jadi, keputusan akhir yang disimpulkan — Dunia ini gelap, pesimis dan tidak berTuhan.

Tentu sahaja rujukan boleh diperoleh dengan pemahaman anti-pencerahan yang diusulkan Nieszcthe menerusi Thus Spake Zarathustra. Tapi, ianya tidak semudah itu. Pengalaman Niesztche bertindan dengan pengalaman asingnya mencari kemutlakan yang menyantuni dualisme — moral dan kuasa.

Jadi, perlawanan ini pasti akan ada kalah-menangnya tapi janganlah kita membuat keputusan akhir bahawa itu adalah matlamat kita yang paling akhir kerana beban ini ada dinamika yang tersendiri.

Mencari Tuhan juga bermakna mencari diri. Ini hal yang saya setuju ~  pergi mampuslah jika ada yang menyanggahnya.

Diri berTuhan

Mungkin idea saya ini salah atau benar. Terpulanglah kepada para pembaca memberi nilai masing-masing. Manusia secara lumrahnya akan merasakan diri mereka berTuhan  dalam mencari pemaknaan terhadap diri. Ini pilihan dan fahaman masing-masing.

Ada kelompok yang anti-agama mahu pun pro-agama punya definisi tersendiri tentang Tuhan. Tapi akhirnya, mereka percaya ada garisan himbau sangat ‘transenden’ tersaling di antara latar Tuhan-agama atau agama-Tuhan.

Ini persepsi alamiah manusia, mungkin kita pernah terfikir bagaimana itu Tuhan, apa bentuknya atau siapa dia. Inilah naluri seorang manusia. Jalan mencari Tuhan terpencar-pencar tetapi  akan ada satu ikatan atau matlamat akhir yang ditemukan yakni Tuhan.

Memetik kepada tulisan Amaluddin Zhafir dalam ‘Mencari Diri’ (http://roketkini.com/2011/12/29/mencari-diri-oleh-amaluddin-zhafir/) dan Firdaus Zolkifli ‘Mencari Tuhan’ (http://roketkini.com/2011/12/15/mencari-Tuhan-bah-i-oleh-firdaus-zolkifli/ dan http://roketkini.com/2011/12/19/mencari-Tuhan-ii-oleh-firdaus-zolkifli/), saya percaya mereka masing-masing cuba membelakangkan satu sama lain, sama ada memperlihatkan siapa lebih benar atau pun menampakkan mahalnya gaya fikir mereka.

Tapi, tidak salah untuk saya mengakui akal budi masing-masing. Bagi Firdaus, lingkaran Hegel-Feurbach-Marx yang membenarkan idealisme Hegel dalam dialektika, Feurbach yang mengkehadapan masalah sisi-sisi agama mahu pun praxis (praktis) Marx yang melihat masyarakat sebagai realiti juga merupakan jalan-jalan menuju Tuhan.

Namun, hal ini disanggah Amaluddin Zhafir menerusi ‘Mencari  Diri’ kerana mereka (lingkaran Hegel-Feurbach-Marx)  semuanya menterbalikkan hal-hal mudah menjadi payah untuk larut di dalam ranah masyarakat.

Ahh, perihal kebanalan juga dapat dikesan dalam pendekatan semudah bahasa rojak mahu pun falsafah yang melontarkan manusia ke dalam kegilaan — Ini peringatan untuk Zhafir supaya jangan mudah membentes yang lainnya.

Kenapa sibuk mencari Tuhan?

Charles Horton Cooley, seorang ahli psikologi terkemuka di Amerika sekitar 2006 pernah bingkas dengan teori bagaimana manusia membesar di dalam masyarakat mempengaruhi cara pandang yang berbeza – ‘Looking Self Glass’ adalah suatu konsep psikologi-sosiologi yang membenarkan bahawa setiap deria (logos) dimanipulasi dalam keadaan sekeliling mereka.

Jadi menghimbau kembali pemaknaan diri dan Tuhan ini sebenarnya berkait rapat dengan status geografi  dan skop komuniti yang berinteraksi dengan mereka. Jadi, pertentangan Zhafir terhadap Firdaus yang dilihat tidak boleh tidak berkait dengan sisi kehidupan mereka, bukan makna salah atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing.

Akhirnya kita percaya Tuhan-manusia-diri-identiti adalah nilai-nilai yang tersemat dalam rata-rata pengalaman mencari Tuhan. Kerana mencari Tuhan juga bererti mencari diri.

Hidup ini untuk apa? Kenapa kita sibuk berbicara mencari Tuhan? Kerana akhirnya kita sedar bahawa dalam mencari Tuhan kita pasti menemui diri kita sendiri.

Jadi, janganlah dangkal muntuk cuba memisahkan hubungan lanjut antara diri dan Tuhan. Sememangnya Tuhan ada di dalam diri setiap manusia dalam sedar mahu pun tidak. – Roketkini.com