Berita

DAP kutuk keganasan polis terhadap mahasiswa UPSI

GEORGE TOWN, 1 JAN – Pemuda DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis yang mengganas terhadap sekumpulan mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim malam tadi dan awal pagi ini.

Keganasan itu telah menyebabkan beberapa mahasiswa berdarah teruk akibat dibelasah oleh pihak polis manakala 20 mahasiswa lagi telah ditangkap.

Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Ng Wei Aik berkata, pihak polis telah menggunakan kekerasan yang melampau terhadap aktivis-aktivis mahasiswa tersebut walau pun mereka hanya berkumpul secara aman untuk menuntut kebebasan akademik serta mendesak UPSI menggugurkan kes terhadap mahasiswa Adam Adli yang menurunkan bendera wajah Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur bulan lalu.

Katanya, tuntutan mahasiswa-mahasiswi terhadap kebebasan akademik melalui himpunan aman merupakan sesuatu yang suci dan tulen.

Menurutnya, tindakan polis yang mengganas seolah-olah campur tangan terhadap autonomi kampus dan seterusnya mencemarkan kesucian UPSI sebagai salah sebuah institusi akademik di tanah air kita.

Ng yang juga Adun Komtar berkata, beliau membaca laporan bahawa polis termasuk mereka dari  “Cawangan Khas” telah memukul Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) Muhammad Safwan Anang sehingga menyebabkannya mengalami patah tulang di bahagian kiri pipi setelah pihak polis meluru ke arah kumpulan mahasiswa terbabit.

“Ini tidak bermakna pihak polis berkuasa untuk menggunakan kekerasan yang melampau terhadap seorang mahasiswa yang tidak bersenjata. Mengapa seorang mahasiswa perlu dilayan dengan cara polis yang biasanya membelasah seorang penjenayah?

“Tidakkah tindakan polis sedemikian telah melampaui batasan undang-undang dan anggota-anggota polis yang terbabit perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya?” soal beliau.

Katanya, Pemuda DAP menuntut supaya pihak polis bertanggungjawab penuh terhadap kekerasan melampau yang digunakan terhadap kumpulan mahasiswa yang terbabit serta membawa anggota-anggota polis yang melampaui batasan undang-undang ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, beliau berkata, UPSI harus menggugurkan kesemua tindakan terhadap Adam Adli serta-merta supaya pihak pengurusan serta barisan akademik dapat menyertai golongan mahasiswa untuk sama-sama menuntut kebebasan akademik.

Pada 19 Disember lalu, sekumpulan ahli dan penyokong UMNO telah berdemonstrasi di UPSI untuk memaksa pihak universiti mengambil tindakan tegas terhadap Adam (kerana menurunkan dan kemudian menaikkan kembali bendera wajah Najib di PTWC KL sebelum itu).

Pihak polis tidak berbuat apa-apa terhadap kumpulan UMNO yang mengadakan tunjuk perasaaan di UPSI itu. – Roketkini.com