Budaya

Erah – Bahagian Kelima – Oleh Mazir Ibrahim

Cerpen

Bah. V

Setelah Erah berkahwin dengan Jamian, jejaka pilihan hatinya, Wang San masih lagi meneruskan perniagaannya. Dia terus tekun bekerja membaiki bot-bot nelayan walau pun kadang kala pendapatan sebagai mekanik bot tidaklah seberapa.

Sungguh pun bengkel botnya itu adalah hasil titik peluh bapanya Wang Chu, kini ia sudah bertukar tangan kepada Wang San, dialah yang menguruskan segalanya termasuk untung dan ruginya.

Wang San dan Jamian

Tidak seorang pun termasuk Erah sendiri, mengetahui cintanya pada gadis itu. Sungguh pun Erah telah menjadi milik Jamian, Wang San tetap tenang. Malah tatkala Jamian kemalangan semasa menjadi tunangan kepada buah hatinya itu, Wang San tetap teguh menolong Erah. Dalam hatinya tidak pernah menyimpan rasa cemburu, baik kepada Erah mahu pun Jamian.

Dia tahu Jamian seorang lelaki yang baik walau pun dia tidak berkawan rapat dengan lelaki itu. Pernah juga Jamian menegurnya semasa singgah dibengkelnya.

“San, banyak bot masuk hari ni?”

“Tak ada la, sudah dua hari,” keluh Wang San.

Biasanya jika agak lama nelayan tidak turun ke laut, bot-bot tidak banyak yang masuk ke bengkelnya. Jika tidak, pasti ada saja tekong-tekong bot yang akan singgah di bengkelnya, ada yang nak membetulkan kipas bot, menukar kemudi dan menampal dinding bot dengan damar. Wang San sudah cukup mahir dengan semua kerja-kerja ini.

Pernah juga dia menaikkan bot yang sudah tenggelam di muara sungai, nelayan lain tidak berani menyelam ketika arus muara sedang berkocak kuat, tetapi Wang San yang masih muda mudah saja terjun menyelam untuk mengikat tali ke pangkal bot itu, dengan bantuan beberapa orang temannya, mudah saja dia menebok dinding bot dan memasukkan pam. Selang empat jam, bot mula timbul dipermukaan air. Begitu mahir sekali anak muda ini.

“Kalau tak ada, lu tolong tengok-tengokkan lori gua, susah mau start la pagi-pagi,” kata Jamian.

“Haiya, lori awak rosak hantar la ke bengkel. Aku mana tau hal lori,” jawab Wang San, agak fasih bahasanya berbanding bapanya.

“Lu buat saja lah, enjin sama saja, lu tak buat pun bukan ada kerja,” kata Jamian mengusik Wang San.

“OK, nanti aku bikin lori awak jalan atas air”. Begitulah adanya, walau tidak begitu rapat, kedua-dua lelaki ini saling memahami dan masih boleh bergurau sama.

Ada ketika, Wang San pula meminta bantuan Jamian untuk mengirim beberapa alat ganti sewaktu Jamian keluar ke bandar menghantar getah. Jamian pula tidak keberatan, kelompok kecil kampung Sungai Kelah ini, pergi ke mana pun akan bertembung dengan muka yang sama juga, jadi walau tidak bersahabat baik, urusan kerja tetap tidak menjadi halangan untuk bekerjasama.

Wang San mengenal dunia

Ketika di sekolah rendah lagi, Wang San memang seorang yang agak pemalas. Bukan malas kerja tetapi manja. Dalam keluarga Wang Chu, dia satu-satunya anak lelaki yang bongsu. Kakak-kakaknya yang lain sibuk menolong Wang Chu berladang dan berniaga. Jadi Wang San yang masih terlalu muda hanya duduk di rumah menemani ibunya yang sakit lumpuh sambil menonton TV. Lebihan waktunya hanya untuk bersekolah.

Wang San tidak begitu menonjol ketika di sekolah, kebanyakan murid-murid Melayu tidak begitu melayannya. Dia pula tidak belajar. Akibat dari itu, pelajarannya juga tidak baik, kerja sekolah selalu gagal disiapkan malah keputusan peperiksannya pun jarang sekali dia lulus.

Erah sebaya dengan Wang San, dia mengenalinya kerana bapa Wang San adalah sahabat baik ayahnya. Erah akan memberitahu ayahnya jika Wang San gagal dalam peperiksaan, entah kenapa, Erah sendiri tidak tahu mengapa dia agak mengambil berat ada Wang San yang pendiam itu.

Lama-kelamaan, Ahmad Jalil juga berasa prihatin dengan Wang San. Dia bimbang anak sahabat baiknya itu akan tercicir dalam pelajaran. Bagi Ahmad Jalil, biarlah hidup susah asalkan mempunyai pendidikan. Zamannya telah berlalu, beliau tidak mahu zaman anak-anaknya juga dicicirkan oleh sebab kesusahan dan kesibukannya.

Oleh itu, dia tidak mahu mana-mana anak yang dikenalinya, lebih-lebih lagi Wang San, anak sahabat baiknya itu tercicir. Sedangkan dia tahu Wang Chu bekerja keras, siang dan malam untuk kesenangan keluarganya. Ahmad Jalil tahu bahawa Wang San agak terabai kerana kesibukan bapanya itu, ini ditambah pula dengan isteri Wang Chu yang sudah lama menderita lumpuh. Memang tiada siapa yang dapat memberi perhatian kepada Wang San.

Ini telah mendorong Ahmad Jalil untuk menggunakan kebolehan Erah demi membantu Wang San. Mulai saat itu, Ahmad Jalil membawa Wang San bertandang ke rumahnya untuk belajar membaca bersama Erah.

“Erah, abah nak Erah tolong San boleh? Ajar dia menulis dan membaca.”

“Boleh abah, tapi abah kena upah Erah 10 sen,” sambil tersenyum Erah menjawab. Memang Erah sebagai anak yang bongsu begitu manja dengan Ahmad Jalil.

“Ye lah, tapi kena pastikan San pandai baca dan menulis, kalau takat ajar je tapi San tak pandai-pandai, abah tak bagi,” tersengih-sengih Ahmad Jalil membalas usikan anaknya itu.

“Abah, kalau San ni degil, Erah nak pakai rotan boleh tak? Nak bagi dia cepat sikit, macam abah buat kat Erah tu.”

Ahmad Jalil terbahak-bahak ketawa melihat telatah anaknya itu. Wang San yang mendengar ketika itu juga tersipu-sipu malu.

Wang San mahu berdikari

Semasa peperiksaan penilaian darjah lima, Wang San telah lulus, walau pun tidak cemerlang. Namun yang paling membanggakan Ahmad Jalil dan Wang Chu adalah tidak ada mata pelajaran yang Wang San gagal. Inilah kali pertama dia dapat melihat wajah Wang San cukup ceria, dari budak yang pendiam kini Wang San sudah ramah bercakap dengan bapanya dan Ahmad Jalil.

Ahmad Jalil lebih terasa kegembiraan kerana dengan bantuan Erah, budak yang pendiam, buta huruf dan tidak tahu apa yang diajar di sekolah, kini sudah bertukar wajah. Dia bangga Erah mampu menolong Wang San. Petanda masa depan Erah juga sangat baik.

Namun, selepas masuk ke sekolah menengah, Peperiksaan SRP pun dia lulus tapi masih tidak cemerlang.Wang San sudah tidak berminat dengan pelajaran. Tidak sampai ke tingkatan empat, Wang San telah berhenti sekolah, ini benar-benar merunsingkan Wang Chu. Ahmad Jalil hanya mampu menenangkan sahabatnya itu.

“Gua susah hati la ini macam, susah-susah lu sama Erah ajar ini budak, sekarang dia sudah berhenti sekolah, tak mau belajar, wa malu sama lu Amad,” keluh Wang Chu kepada Ahmad Jalil ketika duduk minum kopi di warung.

“Sabarlah Chu, anak kau tu anak lelaki, janganlah bimbang sangat, boleh jadi dia ada keinginan lain, lu bawa la dia kerja sama kita,” jawab Ahmad Jalil menyabarkan sahabatnya itu.

“Gua sudah ajak dia kerja sama gua, tapi dia tak mau, dia mau pergi Singapura sana cari kerja,” Wang Chu cuba menjelaskan. “Dia cakap, sekarang dia tak takut mau pergi luar, sudah tau baca sudah tau tulis, sekarang dia mau berdikari.”

Tergelak besar Ahmad Jalil mendengar penjelasan sahabtnya itu.

“Wah, baguslah. Dia sudah berani mau berdikari, lu patut bangga la,” usik Ahmad Jalil.

“Bangga apa bangga? Tau tulis tau baca saja mana cukup, gila la ini budak,” mendengus sekali Wang Chu dengan usikan sahabatnya itu.

“Tak apa lah, lu kena percaya sama dia. San bole buat, lu jangan risau, macam dia cakap, dia sudah tau tulis, tau baca, takkan sesat la..hahaha,” sambil ketawa Ahmad Jalil cuba keyakinkan Wang Chu.

Tidak berapa lama selepas perbualan di kedai kopi itu, Wang Chu memberitahunya yang Wang San sudah ke Singapura mencari kerja.

“Nanti dia sudah jemu di sana, dia baliklah sini, lu jangan susah hati la Chu,” pujuk Ahmad Jalil.

“Gua harap itu macam la, siapa nanti mahu jaga gua punya bengkel bot, pinggang sudah tak larat oh,” jawab Wang Chu dengan penuh harapan. – Roketkini.com