Berita

Tragedi UPSI: Bukti UMNO-BN pinggirkan mahasiswa

PETALING JAYA, 4 JAN – Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang bertindak zalim terhadap mahasiswa dan menuntut agar Datuk Seri Najib Razak campur tangan segera terhadap tragedi UPSI untuk membuktikan ketelusan Perdana Menteri dalam Program Transformasi Negara.

Ketua Parlimen DAP Lim Kita Siang berkata, apa yang berlaku terhadap pelajar adalah akibat keganasan pihak polis dan ia tidak patut berlaku kerana cara terbaik menanganinya ialah melalui pentadbiran universiti.

“Kejadian pada ambang tahun baru itu sangat dikesali, malah Perdana Menteri sendiri patut menunjukkan keperihatinannya supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menjelaskan, mahasiswa sekarang mahukan  kebebasan akademik dan kebebasan berfikir dengan mansuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Dalam masa sama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Pimpinan Pakatan kesal dan mengutuk sikap keras kerajaan Barisan Nasional terhadap tragedi tersebut.

“(Malah, menyesal) dengan sikap beberapa universiti yang mengongkong pemikiran, yang menghalang wacana bebas bertentangan dengan semangat pendidikan dan tradisi akliah dan ilmu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR, isu yang menyentuh kedudukan mahasiswa dan anak muda adalah antara yang akan dibincangkan selain beberapa penambahan isu pokok bagi manifesto Pakatan untuk pilihan raya ke-13.

Konvensyen Pakatan Rakyat ketiga yang bertemakan “Bersihkan Malaysia” akan diadakan di Alor Setar pada 14 dan 15 Januari ini. – Roketkini.com