Berita

Berhimpun kerana hak, bukan untuk pengaruhi mahkamah

KUALA LUMPUR, 5 JAN – Perhimpunan aman Bebas Anwar 9 Januari ini sama sekali tidak bermaksud untuk mempengaruhi keputusan mahkamah, kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Sebaliknya, beliau berkata, selain tanda sokongan rakyat terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia juga dijamin akan diadakan secara aman dan bersurai sebaik keputusan mahkamah diumumkan.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, adalah hak rakyat untuk berhimpun untuk mendengar sendiri keputusan mahkamah dan kebebasan berhimpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mengapa harus berhimpun? Persoalannya mengapa tidak boleh berhimpun? Kerana perhimpunan aman adalah merupakan sesuatu yang dijamin dalam Perlembagaan.

“Selesai keputusan, walau apa pun keputusan yang dibuat (mahkamah) kita akan bersurai secara aman,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kesediaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk berbincang dengan PKR dan Pakatan Rakyat bagi menjamin kelancaran perhimpunan aman Isnin ini yang dikenali dengan singkatan perhimpunan 901.

Menurutnya, Pakatan Rakyat akan menghormati sebarang keputusan mahkamah, sama ada yang baik mahu pun yang buruk.

“Begitu pun, kita tunggu perbicaraan sehingga selesai dahulu dan dalam masa sama sudah tentu rakyat Malaysia akan berhimpun (Isnin) atas dasar kebebasan berhimpun dan mendengar (keputusan) itu.

“Adalah hak mahkamah untuk membuat keputusan, tetapi hak rakyat juga harus dihormati untuk menuntut satu keadilan diberikan kepada Anwar,” katanya.

Azmin turut menjelaskan bahawa Anwar tetap relevan bukan sahaja kerana beliau sebagai Ketua Pembangkang yang berjaya menggabungkan tiga parti pembangkang terbesar iaitu DAP, PAS dan PKR dalam sebuah pakatan, tetapi juga simbol perpaduan kaum. – Roketkini.com