Rencana

Mulakan 2012 dengan secangkir darah – Oleh Izmil Amri

5 JANUARI – Aku ini penggemar kopi. Aroma kopi awal pagi (atau lewat petang, bergantung pukul berapa bangun tidur) adalah cara mudah untuk buka luas kelopak mata. Ada mazhab lain yang lebih cenderung ke bilik mandi dan basuh muka, atau yang lebih gemar minuman coklat; tetapi tidak aku. Kopi, itu yang aku mahu. Itu ritual piawai bila bangun tidur. Ritual bila ada kemampuan untuk beli kopi.

Awal pagi 1 Januari, tidak ada kopi. Jam 3.30 pagi, Eekmal talipon. “Hilman kena tangkap,” kata Eekmal. Lima minit sebelumnya aku sudah baca di garis masa Twitter. “Safwan Anang nazak dibelasah polis.” Demikian propaganda mahasiswa meraih simpati Twitterjaya supaya datang berhimpun di Tanjung Malim awal pagi buta kerana katanya polis sudah menggila sepak terajang anak mahasiswa.

Safwan, ketika aku sampai tidak berada di sekitar UPSI. Sudah dibawa ke hospital katanya dengan ambulan. Dipanggil ambulan itu kerana polis yang baik hati telah mencabut kunci kereta yang mahu digunakan untuk menghantar mahasiswa malang itu ke hospital. Kereta anak mahasiswa malang yang itu pula diserang dan cermin depannya cuba dipecahkan. Bukti bergambar menunjukkan demikian.

Safwan, peneraju BEBAS, organisasi mahasiswa yang akhir-akhir ini mendesak hebat pemansuhan AUKU dan kebebasan akademik, tidak sedar diri untuk waktu yang panjang akibat usaha polis untuk menahan beliau. Giginya patah, mata kirinya terkatup dek kerana mukanya ditumbuk, punya kesukaran bernafas kerana didakwa telah diinjak oleh sepatu pihak keselamatan. Safwan tidak melawan. Tiada daya, pastinya. Dia hanya anak mahasiswa yang kecil molek. Suaranya juga lembut dan punya peribadi menjaga tutur kata.

Safwan, ketika akhirnya membuka mata dan mampu bersuara bertanya lembut kepada yang dikeliling katil hospital, “Kawan-kawan yang lain di mana? Mereka okay?” Hek eleh, kau tu mata pun tak boleh bukak. Gigi pun patah, kau risau diri kau lah. “Tak apa, saya okay. Kawan-kawan macam mana?”

Si Hilman yang popular dengan kes UKM4-nya tenang-tenang di Balai Polis Tanjung Malim. Uniknya balai ini, letaknya hanya sepelaung dari pintu utama UPSI, bersebelahan dengan masjid. Hilman disumbat masuk ke lokap banjir, bau mengalahkan longkang. Selayaknya mungkin bagi seorang pejuang hak asasi mahasiswa, biarpun kini sudah graduasi.

Hakikatnya mudah, polis telah berkasar dengan mahasiswa, dan ada antaranya yang cedera teruk. Awal pagi 1 Januari 2012 disambut dengan secangkir darah anak muda mahasiswa.

Jadi kenapa harus sampai disepak terajang dan dilayan macam haiwan? Keselamatan siapa yang mahu dijaga sampai perlu pijak henyak mahasiswa?

Tak cukupkah yang kerajaan bagi?

Soal kebebasan akademik adalah soal nasional. Ini bukan soal sentimen atau soal romantisme pasca syarah umum Fahmi Reza. Sungguh, syarah-syarah itu telah memberi inspirasi tentang kehidupan sebelum ada AUKU; kehidupan kampus yang lebih terbuka, kritis dan berani.

AUKU, sebagai suatu aparat menambat mahasiswa di meja studi adalah kezaliman yang membodohkan. Justeru lahirlah sekelompok besar graduan universiti yang selesa dan redha membayar hutang pengajian sambil tersenyum tanpa rasa bersalah apabila dengar cerita suami menteri serta anak pinaknya kaya raya dapat pinjaman mudah kerajaan untuk ternak lembu. Bagi kelompok ini, dengan langkah begitu, orang Melayu akan tambah maju.

Kenapa mahasiswa beriya mahu hapus AUKU? Apa tidak cukup ruang diberi kerajaan untuk belajar dan timba ilmu? Tidak cukup kemudahan infrastruktur di kampus? Tidak cukup kedai makan disubsidi untuk kenyangkan mahasiswa? Di mana yang anak mahasiswa ini semua pedih sangat dengan AUKU dan soal kebebasan akademik?

Mari aku tunjukkan di mana pedihnya anak mahasiswa sampai sanggup buat kerja gila baring atas jalan depan UPSI sampai perlu dileraikan dengan kekerasan polis. Sifir dalam cerita ini sangat mudah, segalanya bermula dengan masalah-masalah dalam negara yang berpokok pangkal kepada partai pemerintah, United Malays National Organisation. Di sinilah puncanya bagaimana pergulatan mahasiswa akhirnya terkait politik kepartaian.

Ramai yang tidak nampak, mari sini aku cerahkan

Kita mulakan dari Tanjung Malim, di bumi tumpahnya darah anak mahasiswa pada pagi tahun baru 2012, di depan pagar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Nama manja UPSI ini, ramai tidak tahu; termasuklah aku. Selain namanya yang berbunyi seolah baru tersedar melakukan kesalahan itu, UPSI dikenal sebagai ‘Suluh Budiman’.

Sekitar 1957, si Suluh Budiman inilah yang bertanggungjawab melahirkan segolongan intelek Melayu nasionalis guna mengisi ruang kemerdekaan. Antara lain, nama-nama besar yang lahir dari Tanjung Malim termasuklah Senu Abdul Rahman, Embong Yahya, Syed Nasir Ismail, Ibrahim Yaakob, Abdul Rahman Talib dan Abdul Ghafar Baba.

Nama-nama lain dalam bidang sastera budaya antara lain Haji Buyung Adil, Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Shahrom Hussein, Awang Had Salleh dan ramai lagi. UPSI adalah kilang tenaga pendidik anak bangsa, pengisi kemerdekaan.

Tidak perlu hairan kenapa mereka kritis dan responsif. Mahasiswa melihat masalah-masalah negara hasilan kebobrokan UMNO dan Barisan Nasional. Mahasiswa tahu bahawa masalah-masalah ini lahir daripada kebijakan UMNO yang gagal. Justeru membuaklah rasa di dada untuk menyuarakan kritik-kritik itu.

Malang bagi mahasiswa, ada pula satu malaon bernama AUKU yang menutup mulut mereka ini. AUKU ini tidak memberi izin untuk menyatakan simpati kepada idea puak-puak yang tidak bersetuju dengan pemerintah. Maka dilawanlah malaon yang satu ini di awal pagi Januari 2012.

Malang lagi bagi anak mahasiswa, AUKU ini kerja buat pemerintah yang mahu kekal kuasa, kerana katanya mahu kekalkan ketuanan dan kepemimpinan. Maka dikerahlah sekalian aparat keselamatan untuk menyelamatkan si pemerintah daripada desakan anak mahasiswa.

Tambah malang, aparat keselamatan ini pula tidak selalunya cerdik. Kita sudah digemparkan dengan pengakuan seorang pegawai FRU yang menyatakan bahawa dia tidak tahu bangunan yang sedang ditembaknya dengan meriam air pada 9 Julai tahun lalu ialah Hospital Tung Shin, padahal tembakan dihalakan tepat ke papan tanda yang tertulis besar ‘Hospital Tung Shin’.

Mahasiswa melawan akar masalah

Malang bertimpa-timpa. Maka disepak terajang sekalian mahasiswa, malah dituduh pula kemudiannya bahawa si mahasiswa cedera kerana perbuatan sendiri. Mungkin kerana dulu ada seorang perdana menteri yang menuduh lawannya yang juga mantan timbalannya menumbuk muka sendiri dalam penjara hingga pecah mata dan lebam teruk.

Maka apa nak dihairankan apabila mahasiswa akhirnya melawan akar masalah, yakni regim kerajaan pimpinan United Malays National Organisation, dan dilihat memihak kepada mana-mana kelompok yang turut sama menentang organisasi etnosentrik ini.

Rasa macam darah pukul kepala? Pening? Sakit dada? Itu sebabnya jangan mulakan hari dengan secangkir darah mahasiswa. Cari kopi panas, itu lebih baik.

Mana aku letak cawan kopi aku tadi? – Roketkini.com