Rencana

2012 : Kalau tak ubah, gelap masa depan kita di bawah UMNO-Barisan Nasional – Oleh Nujum Pak Atan

6 JANUARI – Mengikut kalendar kaum Maya di Amerika Selatan, mereka percaya bahawa tahun 2012 merupakan tahun dunia yang kita ketahui bakal kiamat. Apakah ‘dunia’ pemerintahan kerajaan paling lama di dunia juga akan mengalami nasib yang sama?

Semakin lama di bawah UMNO-Barisan Nasional, semakin parah dan teruk negara yang kita cintai ini. Amanah rakyat dianggap sebagai hak mereka, penindasan dan kezaliman terus berleluasa, dan rakyat diporakperandakan dengan perkauman melampau agar mereka terus dapat mencengkam kuku mereka menggenggam kuasa.

Apakah yang menanti rakyat untuk tahun 2012 di bawah UMNO-BN? Ini adalah antara  ramalan Nujum Pak Atan. Walau pun Pak Atan tak sekolah tinggi, Pak Atan belajar sendiri tentang ekonomi dan isu semasa dari internet. Maklumlah semua maklumat yang ada dalam surat khabar hanya omong kosong BN saja.

1. Ketirisan Wang Perbendaharaan Negara terus didedahkan Laporan Ketua Audit Negara dan peningkatan hutang negara.

Tahun demi tahun, bajet belanjawan negara sentiasa berada dalam defisit sehinggakan ia dianggap normal. Mana tidaknya, apabila jabatan kerajaan membeli teropong lebih mahal daripada kereta Myvi dan banyak lagi contoh lain telah didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 dan ia bukanlah suatu pekara yang baru. Ketirisan dan kebocoran seperti inilah yang menyebabkan kerugian wang rakyat. Belum lagi dikira berapa banyak wang negara telah hilang akibat rasuah.

Malah negara telah mencapai kedudukan nombor 4 dunia tahun ini dalam carta pengaliran wang haram ke luar negara untuk tahun 2011. Malahan, jika dikira jumlah pengaliran wang haram ke luar negara dalam dekad ini sahaja ia sudah melebihi RM1 trilion (iaitu RM1,000,000,000,000.00).

Kesan langsung daripada ketirisan, kebocoran, rasuah, dan penyelewengan oleh sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab ialah peningkatan kadar hutang negara.

Tahun demi tahun kadar hutang negara terus meningkat. Pada tahun 2006, hutang negara ialah RM242 bilion, dan ia kian melonjak setiap tahun. Kini pada tahun 2011, jumlah hutang kerajaan pusat ialah RM456 bilion. Tahun demi tahun ia meningkat dan ini tidak akan berubah untuk 2012. Sejarah telah membuktikan ramalan ini.

Pasal apa hutang ini penting untuk kita tahu? Sebab hutang kerajaan itu duit rakyat. Jadi kita sebagai rakyat yang kena tanggung dan kena bayar. Tengoklah nanti, macam-macam jenis cukai, bayaran perkhidmatan dan entah apa lagi kita dipaksa bayar.

Ramalan Pak Atan: Laporan Ketua Audit Negara 20112 akan menjumpai perbelanjaan yang tidak masuk akal oleh jabatan awam, orang yang berkaitan perbelanjaan itu hanya akan diberi ‘surat amaran’. Defisit bajet sudah pasti, dan hutang awam negara turut meningkat.

2. Pemotongan subsidi, peningkatan harga barangan, pengenalan cukai-cukai baru

Apabila sebuah kerajaan bersikap boros dan tidak bertanggungjawab, maka hanya terpaksa menanggung ialah rakyat. Untuk menambah hasil, maka subsidi harus dikurangkan dan cukai akan ditambah atau cukai baru terpaksa diperkenalkan.

Ini sudah terlihat dengan pelbagai pengenalan cukai baru yang akan dilaksanakan pada tahun ini seperti cukai 6% untuk perkhidmatan telefon bimbit pra-bayar dan goods and services tax (GST).

GST ini dianggap satu sistem pencukaian yang amat tidak adil dan akan menyusahkan rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah. Jika ingin tahu tentang GST ini, sila lihat kembali berita dan rencana tentangnya di roketkini.com mahu pun di internet.

Sama ada kita rakyat biasa atau pakar ekonomi Harvard, terdapat dua jaminan yang tidak boleh disangkal dengan wujudnya GST ini.

Yang pertama, lagi miskin seseorang itu, maka lagi banyak cukai dia terpaksa bayar atas prinsip ekonomi yang mudah.

Yang kedua, pelaksanaan GST menjanjikan inflasi sekurang-kurangnya sekali, dan kesannya amat buruk. Manakan tidak, setiap benda pun akan dicukaikan. Jika sebab harga petrol meningkat maka harga makanan meningkat.

Cuba bayangkan apa akan jadi jika semua benda meningkat harganya kerana GST? Sudah pasti pihak pengeluar tidak akan menyerap, malah memindahkan beban tersebut kepada pengguna.

Bukan itu sahaja, malah infrastruktur dan tenaga kerja untuk mengutip cukai GST yang dikenakan kepada setiap benda hidup atau mati pun pasti akan mengambil kos yang tinggi. Bersiap sedialah rakyat Malaysia untuk mengalami satu inflasi terbesar negara dengan pelaksaan GST.

Ramalan Pak Atan: GST dilaksanakan dalam setahun jika BN mengekalkan kuasa Putrajaya. Satu inflasi besar akan berlaku dan pemimpin BN akan menyuruh rakyat untuk mengubah gaya hidup.

3. Negara semakin bergolak dengan sentimen perkauman.

Sejak azali kita mengetahui BN tiada modal untuk mengekalkan kerelevanannya melainkan memisahkan setiap rakyat Malaysia berdasarkan kaum. Ini terutamanya diamalkan oleh parti UMNO. Agama dan penganut Kristian, kaum-kaum Cina dan India, Majlis Peguam, lembu, katak dan sebagainya dijadikan musuh dalam imaginasi liar mereka untuk mengajak manusia ke jalan kebencian dan bukannya kasih saying.

Sejak 2008, ada saja fitnah untuk mencipta imej bahawa semua orang di Malaysia adalah musuh orang Melayu. DAP dikatakan ejen Kristian, DAP dituduh nak menubuhkan republik, semua orang yang bersimpati, menyokong dan menjadi ahli DAP ditohmah sebagai ‘bangsat’.

Malah skandal barangan tidak selamat dimakan di Kedai Rakyat 1Malaysia pun dijadikan isu perkauman. Sehingga skandal wang rakyat untuk ternak lembu yang digunakan oleh keluarga seorang menteri untuk membeli kondo mewah dikatakan usaha menghancurkan Melayu.

Tanpa penciptaan benci ini, maka UMNO-BN dilihat sebagai tidak relevan lagi. Selain perkauman, apa yang mereka boleh sumbangkan kepada rakyat di negara kita? Ekonomi teruk, rasuah teruk, kesemuanya teruk belaka.

Inilah apa yang rakyat perlu fikirkan. Siapakah yang mencipta pergolakan kaum? Siapa yang akan memperoleh keberuntungan dengan pergolakan kaum? Tanpa kebencian, tanpa perkauman, UMNO-BN tidak mungkin relevan.

Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu harus mengorak langkah ke hadapan dan jangan terperangkap ke kancah perkauman dan kebencian yang diciptakan oleh UMNO-BN untuk melemahkan orang Melayu supaya kononnya orang Melayu boleh berlindung di bawah payung UMNO-BN.

Ramalan Pak Atan: Penganut agama Hindu dan Kristian sudah menjadi mangsa para pemimpin UMNO, selepas ini penganut-penganut agama lain yang berani menuntut hak akan menjadi sasaran pula. Pertubuhan-pertubuhan perkauman yang seangkatan dengan UMNO akan semakin menjadi-jadi dalam mengeluarkan kenyataan perkauman.

4. Undang-Undang baru lebih bebas dan adil? Tunggulah kucing bertanduk…

Dengar ceritanya, pada tahun 2012 ini kerajaan UMNO-BN nak ‘menukar ‘undang-undang yang dianggap sebagai zalim atau menghapuskannya terus! Baik sungguh UMNO-BN. Terima kasih UMNO-BN…selepas ini ramailah pemimpin pembangkang, pelajar dan aktivis menjadi mangsa undang-undang baru.

Jika dilihat dengan janji-janji yang terdahulu, Datuk Seri Najib Razak belum pernah menunaikan janji yang tidak menyokong kepentingan beliau. Daripada janji nak beri Stadium Merdeka untuk perhimpunan aman Bersih 2.0 kepada pembelasahan peserta Bersih 2.0, dan kini kepada serangan ganas polis terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), inilah wajah sebenar Perdana Menteri.

Jika PM telah menjanjikan undang-undang yang lebih bebas untuk orang ramai berhimpun, kita ucapkan tahniah kerana ia adalah perubahan yang baik ke arah kematangan demokrasi. Namun jika undang-undang tersebut lebih teruk daripada undang-undang perhimpunan di Myanmar yang dipimpin oleh rejim tentera, kita pun amat marah bagaikan panglima perang ludah UMNO Petaling Jaya kerana rakyat cuba diperbodohkan dan diperlekehkan.

Ramalan Pak Atan: Undang-undang yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) akan lebih teruk dari rejim-rejim diktator di dunia. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan terus kekal, atau sedikit dipinda, kerana kerajaan UMNO-BN amat takut jika pelajar dan mahasiswa bangkit menuntut perubahan.

Jelas, semakin lama di bawah UMNO-BN, lebih parah keadaannya di negara yang kita cintai ini. Kalau kita cinta orang yang disayangi, kasih kepada anak-anak dan cucu-cucu kita, dan  tidak mahu ibu bapa serta generasi akan datang menjadi bangsa yang hina di bumi sendiri, maka kita perlu ubah sekarang untuk selamatkan Malaysia. – Roketkini.com