Berita

Prihatin pelbagai agama Pakatan Rakyat Selangor

SHAH ALAM, 6 JAN – Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang menghormati semua kaum dan agama telah menyerahkan cek sejumlah RM252,500 kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam di sekitar negeri ini.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, sumbangan yang sebenar bukanlah sekadar wang ringgit tetapi hasil kerjasama antara rakyat dan pentadbiran Pakatan Rakyat.

Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab pentadbiran Pakatan untuk memberi kemudahan kepada semua rakyat dari pelbagai anutan agama supaya bebas menjalankan ibadat masing-masing.

“Sudah tentu amalan beragama membentuk satu sifat dan watak yang murni buat masyarakat dan kemanusiaan.

“Saya (sebagai Menteri Besar) jaga duit. Kena jaga betul-betul. Bagaimana pun marilah kita kerja bersama… kalau kita dapat membangun lagi, dan kita dapat mengumpul dana lagi, maka kita dapat agihkan lagi,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Majlis penyerahan cek itu dijayakan bersama oleh Khalid dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Roonie Liu yang juga Adun Pandamaran dan Adun Kajang Lee Kim Sin kepada 28 buah rumah dan persatuan ibadat selain Islam di Selangor.

Dari tahun 2008 sehingga 2010, sejumlah RM4.56 juta telah diperuntukkan kepada 196 kuil Hindu dan gudwara Sikh manakala RM2.3 juta telah diberikan kepada 262 tokong Cina dan Buddha, sementara RM400,000 diperuntukkan kepada 68 buah gereja.

Liu yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP berkata, setiap tahun kerajaan negeri memberi dana RM3 juta tetapi ia digandakan menjadi RM6 juta pada tahun ini.

Katanya pemberian cek itu adalah sumbangan kerajaan Pakatan yang memahami keperluan penganut-penganut agama lain di negeri itu.

“Atas dasar ini, kita berikan dana agar mereka dapat memperbaiki atau membuka rumah ibadat masing-masing di kawasan yang lebih baik strategic supaya dapat hidup berharmoni antara kaum di negeri ini,” katanya. – Roketkini.com