Rencana

Deklarasi Shah Alam

KAMI, para perwakilan kebangsaan Parti Tindakan Demokratik, yang berhimpun dalam Persidangan Kebangsaan di Shah Alam, Selangor, pada 8hb Januari 2012, dengan ini mengesahkan semula prinsip-prinsip DAP dan seterusnya beriltizam untuk memimpin usaha menjayakan perubahan yang amat diperlukan dalam bentuk pendemokrasian dan kemaslahatan ekonomi bagi mencapai Impian Bangsa Malaysia untuk Malaysia yang lebih makmur, demokratik dan bermaruah.

Kami merafak sembah dan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah atas pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 Persekutuan Malaysia. Semoga pemerintahan Baginda di atas singgahsana Istana Negara akan menyemarakkan semangat demokrasi dan hak asasi di kalangan rakyat jelata. Daulat Tuanku!

Di Ambang Perubahan

Di seluruh dunia, perubahan sedang berlaku dengan pantas yang belum pernah disaksikan sejak berakhirnya Perang Dingin. Rakyat jelata di setiap pelusuk dunia, dari Dataran Tahrir ke Wall Street, sedang bangkit dengan hebatnya. Masyarakat-masyarakat yang sebelum ini bersikap pasif tiba-tiba telah menemui semangat berani yang baru untuk berdiri menuntut hak dan martabat diri.

Martabat adalah kosa kata baru yang telah merintis gerakan global yang menuntut perubahan. Ketidakadilan sosial dan ekonomi, hutang yang meningkat dan pengangguran, kumpulan-kumpulan elit mengkayakan diri sendiri atas titik peluh rakyat jelata, semua ini gambaran lazim yang dilihat di serata dunia hari ini.

Malaysia mengalami titik perubahannya apabila pada 9 Julai 2011, rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan hidup telah bangun serentak untuk menuntut hak bagi pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Yang tua dan muda, dari pelbagai pelusuk negara, berpuluh ribu rakyat Malaysia telah membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur walau pun berhadapan dengan taktik ganas pihak berkuasa.

Seperti rakan-rakan seperjuangan di Timur Tengah, Afrika Utara, Amerika dan Eropah, rakyat Malaysia bangkit kerana mereka tidak lagi rela martabat mereka dirompak siang dan malam oleh para pemimpin yang hanya mahu memperkayakan diri sendiri.

Sebagai negara yang dikurniakan dengan sumber alam semula jadi, infrastruktur yang mencukupi, populasi yang agak muda dan tahap celik huruf serta pendidikan yang baik, Malaysia mempunyai potensi yang besar. Malangnya kita dukacita setiap hari mendengar kisah-kisah korupsi, pengaliran keluar wang haram, ekonomi yang terbantut dan mutu hidup yang merudum.

Hari ini Malaysia berada di ambang perubahan. Bersama rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat, DAP dengan rasa rendah diri menawarkan diri sebagai ejen perubahan kepada semua rakyat Malaysia dalam satu agenda yang akan meletakkan kita di atas landasan untuk mencapai Impian Bangsa Malaysia.

Solidariti Ekonomi

Dalam keadaan dunia yang sedang mengalami kenaikan inflasi, kadar pengangguran tinggi dan hutang yang kian melambung, situasi di Malaysia juga tidak kurang teruknya. 60 peratus golongan bawahan dalam masyarakat kita mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan  manakala 40 peratus yang terbawah terpaksa hidup dengan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Yang lagi merunsingkan, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang. Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran hutang melebihi satu pertiga pendapatan. Dengan kata lain,  Malaysia kian menjadi negara penghutang.

Rakyat Malaysia seolah-olah terperangkap dengan kadar kenaikan pendapatan yang terbantut selama 10 tahun yang lepas. Ini telah mengakibatkan jurang pendapatan yang luas di mana jumlah pendapatan 40 peratus golongan bahawan masyarakat kita hanya merangkumi 14.3 peratus daripada jumlah pendapatan negara manakala golongan 20 peratus atasan pula mengaut 50 peratus daripada jumlah pendapatan.

Lagi teruk lagi, hutang persekutuan sudah mencecah RM456 bilion pada akhir tahun lepas, sementara nisbah hutang-kepada-KDNK pula sudah hampir menyentuh siling hutang negara iaitu 55%.

Dalam konteks ini, kita harus mencari paradigma baru. Percubaan Kerajaan Barisan Nasional untuk menangani kepincangan ekonomi melalui kaedah “pump-priming” dan program-program penuh singkatan seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan sebagainya malangnya tidak membawa apa-apa perubahan yang ketara.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk memperkenalkan konsep “solidariti ekonomi”. Konsep ini bermaksud solidariti antara yang kaya dengan yang miskin, antara bandar dengan luar bandar, antara yang kuat dengan yang lemah. Hasrat yang ingin dicapai adalah satu masyarakat yang memperkasakan rakyatnya, terutama sekali 50 peratus golongan bawahan yang memerlukan pertolongan.

Lebih daripada itu, kita harus memastikan solidariti ekonomi akan dicapai melalui:

  1. Pelaksanakan gaji minima.
  2. Menghubungkan terus kadar kenaikan gaji minima dengan kadar inflasi.
  3. Memupuk penyertaan tenaga kerja wanita.
  4. Mengurangkan pergantungan kepada buruh asing.
  5. Melonjakkan ekonomi melalui teknologi dan automasi.
  6. Membanteras korupsi, rasuah dan ketirisan melalui pentadbiran berteraskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus).
  7. Meluhurkan undang-undang.
  8. Mempertahankan hak-hak sah pekerja.

Kita juga harus menangani kelemahan-kelemahan dalam sistem sedia ada seperti rasuah, kapitalisme kroni dan monopoli. Sebagaimana keadaannya sekarang, Malaysia merupakan satu-satunya negara pengeluar beras yang telah menswastakan pengeluaran beras, dan lebih teruk lagi telah mewujudkan monopoli di bawah hanya satu syarikat kapitalis kroni. Ekoran daripada itu, Thailand dan Indonesia merupakan negara mampu diri manakala kita bergantung kepada beras import untuk satu petiga penggunaan kita. Dan akibat monopoli beras yang wujud, kita terpaksa membayar lebih untuk beras import berbanding dengan Singapura.

Satu lagi contoh kapitalisme kroni adalah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang cukup berat sebelah di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan syarikat-syarikat Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) yang mempunyai pengaruh politik. Akibatnya, kita sudah mengumpulkan rizab tenaga elektrik yang banyak kerana TNB dipaksa membeli elektrik yang tidak diperlukannya. Beban tambahan ini kemudian dipindahkan kepada rakyat dalam bentuk kenaikan tarif elektrik.

Corak yang konsisten dalam ekonomi kroni di negara kita adalah hakikat bahawa para kroni yang berpengaruh sedang mengaut kekayaan sementara rakyat biasa menderita. Ini juga jelas dalam perjanjian konsesi tol di antara Kerajaan dengan syarikat-syarikat pengendali tol yang mempunyai pengaruh politik, yang membolehkan kenaikan tol secara berkala sepanjang tempoh masa konsesi yang panjang meski pun kebanyakan daripada mereka sudah pun mendapat keuntungan yang jauh melebihi pelaburan asal.

Sudah tiba masanya kita menggantikan ekonomi kapitalisme kroni dengan “Ekonomi Berjiwa Rakyat” yang akan menumpu kepada peningkatan pendapatan boleh guna dan meningkatkan perkara-perkara asas seperti kemahiran, teknologi dan produktiviti.

Kemakmuran Ekonomi

Lebih 40 tahun dahulu, Malaysia dianggap sebagai negara yang kaya, apatah lagi dengan limpah kurnia dalam bentuk sumber-sumber asli. Pada masa itu, KDNK per kapita kita adalah USD350 sementara Korea Selatan hanya di tahap USD130. Hari ini, KDNK per kapita Korea Selatan sudah mencecah USD20,000 manakala kita jauh ketinggalan di tahap USD7,000. 40 tahun dahulu, rakyat Malaysia tiga kali ganda lebih kaya daripada rakyat Korea Selatan. Hari ini, mereka tiga kali ganda lebih kaya daripada kita.

Apa yang telah berlaku dalam tempoh 4 dekad yang lalu? Mengapa kita tidak berkembang sementara negara-negara yang dahulunya kurang maju sudah pun mengatasi dan jauh melebihi kita? Ini telah berlaku kerana modal insan kita tidak dihargai dan digunakan dengan maksima, kebebasan peluang tidak digalakkan dan suatu sistem telah diwujudkan di mana ganjaran diberi berdasarkan kenalan dan bukan pengetahuan. Daya usaha dan kecemerlangan telah digantikan oleh pengaruh politik.

Justeru, kita harus membina semula ekonomi kita untuk mencapai kemakmuran berdasarkan inovasi dan keupayaan untuk membentuk dan menyesuaikan diri dengan ekosistem yang baru dan relevan. Sebagai contoh, kita sekarang hidup dalam zaman internet. Untuk mencapai kemakmuran ekonomi, kita haruslah membina industri-industri yang berkaitan dengan internet dan juga kemahiran yang relevan kepada industri-industri ini.

Kita harus juga memupuk generasi usahawan yang disemai dengan semangat dan kepakaran. Namun begitu, keusahawanan mestilah dipacu oleh inovasi, kreativiti dan dorongan sektor swasta. Dalam ini, kita percaya bahawa tugas kerajaan adalah untuk mengurangkan penglibatan dalam sektor perniagaan. Cukup sekadar menyemai benih asas, perkembangan seterusnya haruslah diambil alih oleh sektor swasta.

Peranan kerajaan dalam merangsangkan kemakmuran ekonomi adalah untuk melabur dalam masa depan dengan tumpuan khas kepada dasar-dasar sosial seperti penyediaan prasarana awam, perumahan, pendidikan, pengangkutan awam dan perubatan. Sebagai contoh, pengangkutan awam yang lebih efisyen akan mengurangkan keperluan untuk membeli kereta dan dengan itu wang pinjaman kereta itu akan menjadi tambahan kepada pendapatan boleh guna. Hasilnya serupa jika kerajaan memainkan peranan yang positif dalam penyediaan perumahan mampu milik, subsidi pendidikan dan juga dalam perubatan.

Di Pulau Pinang, kita telah memulakan program-program sosial yang telah mengurangkan beban rakyat. Selain daripada bantuan kewangan kepada golongan-golongan tertentu, kita juga memberi subsidi dalam dialysis buah pinggang dan perkhidmata bas percuma dalam di laluan-laluan tertentu. Kita juga telah membasmi kemiskinan tegar setahun selepas mengambil alih pucuk pimpinan. Sekarang, kita berhasrat untuk membasi kemiskinan menjelang 2015. Jika kita dapat melakukannya di Pulau Pinang, kita juga boleh melakukannya untuk seluruh Malaysia.

Pendemokrasian

Selain daripada membetulkan ketidakadilan ekonomi, kita juga harus memulihkan demokrasi. Pokok kepada demokrasi adalah kebebasan, dan oleh itu kita harus mengembalikan martabat dan kebebasan rakyat melalui:

  1. Reformasi institusi-institusi negara.
  2. Pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
  3. Pengagihan kuasa pusat (desentralisasi).
  4. Kebebasan untuk berucap, bersuara dan berhimpun.

Kejayaan sebuah negara itu bergantung kepada institusi-institusi asasnya. Di Malaysia, kepercayaan kepada institusi-instusi asas sudah terhakis. DAP berjanji untuk menjadikan reformasi pentadbiran dan institusi sebagai keutamaan, bermula dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malasysia, Polis, Badan Kehakiman dan juga Parlimen.

Reformasi pentadbiran juga merangkumi Perkhidmatan Awam kita yang pernah menjadi kebanggaan ramai. Kita akan melaksanakan dasar untuk mengembalikan profesionalisme dan kecekapan penjawat awam melalui peningkatan kemahiran dan produktiviti. Kita juga akan memastikan gaji penjawat awam mencukupi dan berdaya saing, terutamanya mereka di tangga sokongan dan pentadbiran dan bukan hanya mereka yang berada di tangga profesional dan pengurusan atas.

Perkhidmatan Awam perlu diperhalusi dan dihormati dan bukan dikurangkan.

Kita juga mengiktiraf pengorbanan anggota-anggota polis dan tentera yang berkhidmat setiap hari untuk memastikan keamanan negara kita. Oleh itu, kita berasa terpanggil untuk melindungi mereka daripada pemangsa kapitalis yang menyalahgunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk memperkayakan diri sendiri.

Rakyat Malaysia juga menuntut hak untuk pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Untuk sebab ini, rakyat telah berhimpun pada 9 Julai 2011. Hak mengundi merupakan hak yang keramat dan pencabulan hak itu hendaklah ditangani dengan segera.

Pendemokrasian juga melibatkan pengagihan kuasa pusat. Ia merupakan salah satu aspek yang penting dalam proses pendemokrasian yang telah berlaku dalam negara-negara seperti Indonesia, Taiwan dan Korean Selatan. Tetapi di Malaysia, walau pun dinamakan sebagai Persekutuan, kuasa semakin berpusat di peringkat kebangsaan. Sebagai contoh, pada tahun 1990 jumlah belanjawan semua negeri merangkumi 25 peratus daripada belanjawan persekutuan. Hari ini, jumlahnya kurang daripada 9 peratus. Adalah amat jelas bahawa pengagihan kuasa pusat, terutamanya dalam hal-ehwal kewangan, diperlukan untuk memperkasakan pembangunan tempatan.

Zaman kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan sudah berakhir. Perumahan, pengangkutan awam, pungutan sampah, pembetungan dan perkhidmatan pendidikan haruslah diagihkan kepada kuasa kerajaan negeri. Bagaimana boleh seseorang pegawai yang berada di Putrajaya membuat keputusan tentang pengangkutan awam atau pungutan sampah di Taiping atau pun Johor Bahru? Bagaimana boleh Kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah perumahan awam apabila tanah itu perkara kerajaan negeri?

Rakyat Malaysia ingin bersuara dan didengar. Masyarakat yang mengongkong pemikiran bebas akan menindas daya kreativiti rakyatnya. Ruang demokrasi diperlukan untuk mencapai kemajuan dan daya saingan.

Budaya kebebasan haruslah diwujudkan, dan tiada penanda aras yang lebih baik daripada “Empat Kebebasan Mutlak” yang dibentangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Franklin D Roosevelt dalam perutusan “State of the Union” tahun 1941, iaitu:

  1. Kebebasan untuk bersuara.
  2. Kebebasan untuk beragama.
  3. Kebebasan daripada kemelaratan.
  4. Kebebasan daripada ketakutan.

Malaysia tidak akan melonjak kepada ekonomi pendapatan tinggi dan status negara maju selagi kita tidak menyediakan institusi-institusi awam yang mampan, memulihkan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, memperkasakan rakyat dengan pengagihan kuasa pusat dan menyediakan suasana yang menghormati dan menggalakkan budaya kebebasan.

Impian Bangsa Malaysia

Sudah jatuh kepada kita untuk membina masa depan Malaysia yang bersifat kemalaysiaan, di mana tiada cita-cita yang terlalu tinggi, di mana semua boleh menyuarakan nukilan hati dengan aman, di mana keadilan dan keselamatan dijamin dan di mana rakyat dimartabatkan.

Inilah Impian Bangsa Malaysia. Satu wadah kenegaraan baru yang berlunaskan teras Malaysia Untuk Rakyat Malaysia di mana Rakyat Malaysia Diutamakan dan di mana sifat kesederhanaan dan kerjasama dipacu melalui Jalan Tengah Malaysia yang menolak segala memungkaran yang bersifat melampau dan perkauman.

Kita menghasratkan Impian Bangsa Malaysia, dan dalam usaha untuk mengecapi impian ini, kita mengulangi komitmen untuk:

  1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
  2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
  3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel  3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
  4. Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.
  5. Memperjuangkan kebebasan rakyat yang terjamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, iaitu kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan menubuh persatuan.
  6. Menghormati Perjanjian Malaysia 1963 serta hak-hak yang dimiliki oleh rakyat Sabah dan Sarawak.
  7. Memartabatkan rakyat dengan membasmi kemiskinan dan memastikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, serta memperkasakan rakyat dengan peluang saksama tanpa mengira gender, warna kulit atau agama.
  8. Lahirkan masyarakat madani yang berlandaskan kecelikan minda dan kebebasan akademik dan intelek tanpa cengkaman Akta University dan Kolej Universiti (AUKU).
  9. Jaminan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil.

10.  Jaminan tiada kematian dan kecederaan dalam tahanan agensi-agensi keselamatan.

11.  Mewujudkan integriti dan kepimpinan serta membanteras rasuah melalui dasar tender terbuka, mengemukakan isi kandungan kontrak dan perjanjian kerajaan dan mengisytiharkan harta semua pemimpinan kerajaan.

12.  Mengkaji semula perjanjian-perjanjian berat sebelah dengan syarikat-syarikat kapitalis kroni seperti Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) dan konsesi-konsesi tol lebuhraya dengan syarikat-syarikat pengedali tol.

Kesimpulan

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan segala jenis sumber asli. Adalah tidak terduga bahawa, 55 tahun selepas Merdeka dan 49 tahun selepas pembentukan Malaysia, institusi-institusi sosial, politik dan ekonomi negara kita sudah pun kebobrokan akibat kerakusan, kronisme dan korupsi.

Negara kita bukan sahaja lumpuh dari segi politik dan ekonomi, tetapi akibat daripada perbuatan melampau Barisan Nasional yang berbaur perkauman dan ekstremis, masyarakat kita juga sudah rapuh. Masa depan negara akan terjejas jika kita tidak bertindak dengan segera.

Empat tahun dahulu, kita telah diamanahkan dengan peluang untuk membuktikan daya kita untuk melaksanakan perubahan. Dalam tempoh masa itu, kita telah menunjukkan kebolehan kita. Kita telah menunjukkan bahawa melalui agenda solidariti ekonomi, kemakmuran ekonomi dan pendemokrasian, kita boleh membawa perubahan yang ketara. Kini, kita ingin membawa agenda ini ke peringkat kebangsaan.

Tiada masa yang lebih sesuai daripada sekarang. Hari ini, peluang untuk mentransformasikan negara kita adalah nyata dan di hadapan kita. Hari ini, kemenangan akan berpihak kepada yang benar. Parti kita telah tabah menunggu 46 tahun untuk saat ini. Marilah kita berdiri bersama, bersatu dalam kepelbagaian dan komited kepada cita-cita bersama.

Hari ini, kita menghasratkan Impian Bangsa Malaysia.

Deklarasi ini diluluskan sebulat suara oleh Persidangan DAP 2012 di Shah Alam, Selangor pada 8 Januari 2012