Rencana

Manifestasi untuk berubah – Oleh Mazir Ibrahim

10 JANUARI – Tuduhan telah dibuat, kes telah diadili dan keputusan telah dijatuhkan. Dalam rentetan peristiwa kes tuduhan liwat membabitkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat yang berakhir semalam, rakyat Malaysia telah dipertontonkan dengan satu persembahan adaptasi dari kes terdahulu yang sama.

Keputusannya juga sama. Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sekali lagi didapati tidak bersalah. Namun ada sesuatu yang berbeza kali ini. Begitu juga dengan manifestasi yang dilihat, yang amat jarang berlaku.

Sehari selepas berlangsungnya Persidangan Kebangsaan DAP di Shah Alam, Selangor, termetera satu deklarasi yang disebut sebagai Deklarasi Shah Alam. Antara agenda yang paling signifikan berkaitan kes DSAI ini ialah asas yang ingin diletakan oleh DAP dalam mendepani politik massa, iaitu reformasi terhadap sistem dan perundangan badan kehakiman negara kita.

Jelas sekali pada tema ‘Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia’ membawa pengertian yang cukup kristal, iaitu ubah sistem.

Asas untuk reformasi sistem

Saya masih ingat perbualan dengan Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo sewaktu persidangan kebangsaan DAP Ahad lalu di mana beliau menekankan beberapa faktor penting bagi mereformasikan sistem perundangan negara. Selain dari faktor sistem itu sendiri, kuasa sang hakim juga merupakan satu elemen penting dalam merombak keseluruhan sistem.

Jelasnya, ada dua senario yang boleh berlaku sebelum kita benar-benar dapat menjayakan sesuatu dengan berkesan.

Pertama, keadaan di mana sistem telah pulih tetapi tidak diisi dengan hakim yang berkualiti, maka hasilnya tidak akan kemana.

Kedua, sistem masih dalam kerangka lama, rabak dan korup, tetapi memiliki segelintir hakim yang bersih dan adil, ini juga tidak akan mampu menghasilkan reformasi yang total.

Jelasnya di sini ialah, selain sistem yang baik, adil dan telus, entiti manusia seperti hakim, pegawai dan kakitangannya juga mesti baik dan bagus. Maka inilah pakej lengkap untuk reformasi sebenar.

Melihat kepada kes DSAI ini, respon-respon mengenai kejutan pada keputusan itu pastinya datang dari perasaan sangsi yang sudah lama bersarang dalam pemikiran berdasarkan pengalaman lalu. Kita menerima sebagai suatu realiti.

Senario dan manifestasi

Nah, sekarang apa yang tidak disangka telah berlaku. Kegembiraan bercampur-baur dengan rasa sangsi yang masih menebal. Sememangnya kita perlu sangsi kerana yang jelas ada dua perkara yang telah berlaku di sini:

Pertama, keputusan ini masih tidak menggambarkan, malah tiada kaitan dengan ketulenan sistem perundangan yang semakin pulih. Tidak sama sekali.

Kedua, ini menunjukkan dalam satu sistem yang masih dibelenggu masalah kredibiliti institusi itu sendiri – seorang hakim telah tampil dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya untuk bertindak bebas dan membuat keputusan berdasarkan objektif dan fakta kes.

Ini tiada kaitan sama sekali dengan sistem itu. Sebaliknya ini adalah keinginan tuan hakim berdasarkan kepakaran dan ilmu pengetahuan beliau itu sendiri.

Dengan kata lain, sungguh pun sistem ini masih tidak bebas, mujurlah di dalam sistem yang masih korup ini wujud segelintir manusia yang masih setia dan berkeinginan tinggi untuk berubah, bertindak dan bersikap adil.

Pujian kepada Yang Arif Tuan Hakim, bukan kepada kerajaan Barisan Nasional dan bukan kepada sistem.

Masanya telah tiba

Kegembiraan kerana pembebasan Anwar itu sewajarnya dirai, namun kejayaan sebenar ialah pada manifestasi yang ditunjukan oleh hakim bahawa golongan professional dalam kerajaan mahu berubah dan mahukan perubahan.

Ini isyarat jelas yang ditunjukkan oleh hakim dan ahli professional yang lain. Inilah kegembiraan sebenar kita. Dan inilah manifestasi yang sedang berlaku.

Parti-parti Pakatan Rakyat khususnya DAP, melihat peristiwa ini sebagai satu detik penting kerana ‘amaran’ awal oleh warga kehakiman dan perundangan di Malaysia, menunjukkan bahawa perubahan tidak akan dapat ditahan-tahan lagi.

Seperti kata Lim Guan Eng, “hari ini Anwar dibebaskan, kita harap esok Malaysia pula dibebaskan”. Maka kita perlu ubah sekarang untuk bersihkan dan selamatkan Malaysia. – Roketkini.com