Berita

Pembebasan Anwar: Kejayaan kepada keadilan, bukannya sistem perundangan

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat merupakan satu kemenangan kepada keadilan, dan bukannya kejayaan untuk institusi kehakiman negara kita.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, jika hanya sekuntum bunga telah mekar, ini tidak bermakna musim panas yang berpanjangan.

Katanya, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh institusi kehakiman negara untuk menyakinkan rakyat dan masyarakat antarabangsa tentang keberkesanan, kebebasan dan integritinya.

Menurut beliau, dalam membebaskan Anwar, Hakim Mohd Zabidin Diah telah membayangkan kemungkinan sampel-sampel DNA telah dikompromi dan kekurangan bukti nyata.

“Atas sebab-sebab ini sahaja, Anwar tidak sepatutnya dihadapkan ke mahkamah sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengulangi lagu yang sama seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Rais Yatim kononnya keputusan kes Anwar membuktikan mahkamah Malaysia bersih, adil dan bebas.

“Pertama, kita tidak akan mudah lupa krisis kebebasan badan kehakiman dan kelunasan undang-undang telah mencapai tahap paling maksima di bawah pentadbiran Najib apabila beliau telah melancarkan rampasan kuasa secara tidak berpelembagaan di Perak yang diberikan status sah oleh badan kehakiman yang telah tunduk dengan kerajaan.

“Kedua, dakwaan bahawa badan kehakiman itu bebas akan musnah jika Anwar dikenakan tuduhan baru atau pun pihak pendakwaraya masih mahu merayu atas keputusan tidak bersalah tersebut,” tambah beliau.

Beliau menyeru Najib supaya menghentikan segala bentuk politik longkang, busuk dan jijik, pembunuhan watak terhadap seteru politik, dan politik penipuan dan kebencian yang telah meracuni arena politik Malaysia dan proses pembinaan tamadun negara.

Politik keji sedemikian termasuk tindakan jahat yang cuba menggambarkan DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja, yang jelas tidak benar dan fitnah semata-mata.

Menurut Kit Siang, pembebasan Anwar daripada segala tuduhan memberikan harapan bahawa kemerosotan institusi-institusi penting negara belum sampai ke tahap tiada harapan.

Namun, jelasnya, cara yang terbaik untuk menjamin reformasi segala institusi yang penting ini adalah perubahan kepada kerajaan pusat di Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga menjangkakan bahawa keputusan kes Anwar menjejaskan rancangan Najib untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 sebaik sahaja berakhir Tahun Baru Cina akhir bulan ini.

Beliau meramalkan PRU13 mungkin diadakan selepas Mac tetapi sebelum Julai tahun ini, bagi membolehkan Najib ‘mempromosikan’ Bajet 2012 yang telah diluluskan akhir tahun lalu.

Yang di-Pertuan Agong dijadualkan merasmikan sidang Parlimen tahun ini pada 12 Mac depan.  – Roketkini.com