Rencana

Anwar sudah bebas – Sekarang apa? – Oleh Izmil Amri

11 JANUARI – Kira-kira lapan jam sebelum mahkamah memutuskan untuk membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, diadakan kempen Rapat Rakyat Bebaskan Anwar bertempat di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur malam itu.

Malam itu…

Najwan merangkul bahu aku. Terdiam dia di situ dan air matanya mengalir. Ada kerisauan besar jauh di dalam hatinya. Risau akan keputusan yang bakal diberi oleh mahkamah terhadap Anwar. Meraung ‘saksi misteri’ itu, bagai anak mau kehilangan bapa layaknya.

Koordinator media Anwar pula bersumpah sejak awal untuk tidak menitiskan air mata. Malang bagi Eekmal, sebaknya tiada tertahan lalu berkacalah matanya yang cuba dilindung topeng Anwar Ibrahim yang diedar kepada ribuan manusia yang melaut di Pandan.

Malam itu rakyat yang hadir melihat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu berseloroh seolah tidak ada apa yang perlu dirisaukan esok pagi. Anwar, kalau bukan kerana dia itu politisi dan pejuang bangsa, pastinya boleh popular sebagai seorang ‘stand up comedian’.

Lautan manusia yang membanjiri padang itu ikut ketawa sakan dengan Anwar pada setiap lelucon yang beliau sebutkan. Barangkali memang misi beliau malam itu, supaya tidak ada yang menangis dan bersedih andainya malam itu jadi kali terakhir bagi Anwar berpidato di khalayak umum untuk suatu masa yang panjang.

Usaha itu ternyata gagal pada saat-saat akhir. Ramai yang menangis dan menahan rasa sayu. Sambil perlahan-lahan mereka bergerak menuju Mahkamah Jalan Duta dan berkumpul di sana. Garis masa Twitter penuh kicauan sayu ‘orang-orang Anwar’ yang tidak boleh lena menanti matahari naik.

Pagi itu…

Pagi 9 Januari, penyokong Anwar dan rakyat jelata berhimpun di mahkamah. Pedulikan segala peraturan tidak adil yang cuba dipaksakan oleh pihak keselamatan, mereka berhimpun penuh aman. Sekadar bawa diri, semangat, topeng wajah Anwar dan sebotol air. Garam sebungkus tidak dilupa. Pengalaman sejak 1998 mengajar bahawa polis ini tidak boleh dipercayakan sangat.

Dalam episod pertama kisah konspirasi tingkat tertinggi ini 14 tahun lalu, musuh-musuh politik Anwar telah berusaha untuk membunuh karakter si pemimpin dengan tuduhan keji bahawa si pendiri Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini sebenarnya adalah seorang yang menggemari lelaki.

September 1998 memperlihatkan rakyat turun ke jalanraya menuntut Dr Mahathir Mohamad mengosongkan Sri Perdana dan melingkup dari pejabat Perdana Menteri kerana merelakan konspirasi tersebut dilakukan terhadap bakal penggantinya.

Jun 2008, jalan cerita yang sama diulang kembali. Pastinya dalam rangka besar untuk membunuh peribadi Anwar yang waktu itu baru sahaja kembali ke persada politik tanah air. Dengan licik, si Saiful Bukhari diatur masuk ke pejabat Anwar dan menjadi tukang buat kopi yang akhirnya telah mengaku kononnya merelakan diri diliwat Anwar sebanyak lapan kali tanpa sekali pun melawan atau berusaha melarikan diri.

Rakyat Malaysia sekali lagi ketawa besar dalam marah dengan gelagat UMNO yang begitu berusaha keras untuk menghalang kemaraan Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri yang satu masa dahulu dijulang mereka sendiri.

Dari tingkat lima Kompleks Mahkamah Jalan Duta, aku melihat berbondong-bondong penyokong Anwar membanjiri kawasan tempat letak kereta. Peguam-peguam pro-Barisan Nasional hanya mampu berjalan tunduk dan memaki hamun di dalam hati.

Anggota keselamatan turut teruja melihat gelagat para demonstran. Dari celah-celah ramai ada kelihatan karakter berpakaian seperti Hakim Bao Zheng (Bao Qiangtian, sila google), lengkap dengan wajah berkulit gelap dan tanda lahir berbentuk bulan sabit di dahi.

Apabila Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Jenayah 3 dengan isyarat bagus dan menyebut kata ‘bebas’ berkali-kali, ramai yang berada di luar tidak dapat menerima hakikat itu.

Perlu konfirmasi hampir lima enam kali barulah aku kicaukan berita kebebasan Anwar, yang disambut rakyat di lapangan letak kereta dengan sorak sorai gembira. Timbalan Presiden PKR Azmin Ali keluar dari kamar mahkamah dengan mata yang berkaca-kaca, lantas diserbu wartawan dengan soalan-soalan. Tangan aku masih mengeletar tekan kekunci pada telefon, masih tidak percaya, walau pun jantung sudah mau meletup-letup gembira.

Apa maknanya semua itu…

Jadi apa sebenarnya natijah daripada keputusan yang tak diduga ramai ini? Apa kesan dan perubahan yang kita bakal lihat kepada fabrik dan lanskap politik Malaysia? Apa maknanya apabila Hakim Datuk Zabidin Md Diah menyatakan bahawa beliau menolak bukti DNA dan menyatakan bahawa pihak pendakwa gagal membuktikan penetrasi terjadi melampaui sebarang keraguan munasabah?

Yang Arif Hakim telah membebaskan Anwar daripada pertuduhan liwat berasaskan dua tiang seri penting yang gagal dibuktikan dengan baik oleh pihak pendakwa. Pertama DNA, kedua penetrasi. Dua persoalan fakta ini ditolak beliau kerana wujud keraguan munasabah terhadap kenyataan pihak pendakwa berkait kedua-dua keterangan ini.

Yang Arif Hakim hanya boleh bergantung kepada kenyataan saksi pendakwa, si Saiful. Keterangannya pula tidak disokong oleh mana-mana saksi lain. Menambah malu ialah pihak pendakwa juga gagal memanggil Doktor Mohamad Osman Abdul Hamid, pegawai perubatan Pusrawi yang memeriksa Saiful buat pertama kali dan memutuskan bahawa tidak ada kesan tusukan terhadap ‘ekzos’ si Saiful.

Pihak pendakwa tidak akan mungkin merayu terhadap keputusan Hakim Zabidin kerana persoalan-persoalan fakta sudah jelas. Untuk merayu ertinya pihak pendakwa harus kemuka bukti baru dan saksi-saksi baru yang secara langsung akan tambah merosakkan kredibiliti kesnya sejak dari awal.

Kes Liwat II secara sekali pandang adalah suatu pendakwaan yang tidak layak dibawa ke mahkamah pun. Belum ada sebarang penerangan kepada fakta keterangan yang menunjukkan bahawa terdapat seakan suatu ‘cocktail‘ DNA dan air mani di dalam lubang dubur Saiful, termasuk air maninya sendiri. Membawa kes sebegini ke mahkamah rayuan hanyalah akan dipandang sebagai ‘stunt‘ politik dan akan ditertawakan sampai kiamat.

Siapa yang bohong…

Maka apakah ini bermaksud bahawa Saiful Bukhari Azlan telah berbohong? Pembohongan si Saiful ini kemudiannya, apa kesannya terhadap masa depan politik musuh-musuh Anwar?

Kemenangan dan pembebasan Anwar ini, apa akibatnya terhadap UMNO yang sekian lama ‘memperjuangkan’ slogan-slogan menentang Anwar atas kerana kes liwatnya? Apakah rakyat Malaysia akan beralih arah daripada perkumpulan penipu ini yang sejak tengah hari 9 Januari seakan cari kerusi nak duduk tak jumpa, nak berdiri tak selesa?

Penyudahnya, pembohongan-pembohongan konspirasi UMNO ditelanjangkan dalam mahkamah, dan rakyat yang menyokongnya terpaksa menggapai angin untuk respon setiap gelak tawa dan sindiran yang dilemparkan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Pokok ceritanya, Anwar sang peneraju pakatan politik PAS-PKR-DAP telah dibersihkan oleh mahkamah. Anwar tidak akan dihalang untuk bertanding dalam pilihan raya umum. Anwar tidak akan dihalang undang-undang daripada berkempen memenangkan Pakatan Rakyat dalam rangka agung menawan Putrajaya dan mengusir UMNO dari takhta yang ia pegang lebih setengah abad.

DAP dalam persidangan kebangsaannya di Shah Alam sehari sebelum mahkamah membebaskan Anwar telah berikrar bahawa ia komited untuk menawan Putrajaya bersama Pakatan Rakyat dan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Rakyat telah melihat kegagalan satu konspirasi politik gergasi. Masih mahu meletakkan kepercayaan kepada UMNO-BN? – Roketkini.com