Berita

Empat agenda rangka manifesto Pakatan Rakyat

PETALING JAYA, 11 JAN: Empat agenda penting, termasuk masalah kakitangan awam dan peneroka Felda, akan dijadikan asas manifesto Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Semua agenda berkenaan  akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Tawaran Jingga pada konvensyen Pakatan Rakyat yang ketuga di Alor Setar, Kedah pada Sabtu ini.

Empat bidang besar yang akan menjadi tonggak manifesto Pakatan itu adalah:

1. Isu penjawat awam dan perkhidmatan awam yang bertujuan mengangkat martabat kakitangan kerajaan supaya menjadi antara yang terbaik di dunia. Kertas kerja menegnai akan dibentangkan oleh Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

2. Isu dan erti federalisme (persekutuan) yang akan memperjelaskan kuasa pusat dan negeri untuk memastikan tiada rakyat dipinggirkan di mana-mana peringkat sekali pun. Kertas kerja tentang isu itu akan dibentangkan oleh Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke.

3. Isu anti-monopoli yang bakal memperjelaskan keadaan ekonomi yang sepatutnya member rahmat dan kemakmuran kepada rakyat, dan bukannya dimiliki oleh segelintir elit pemerintah dan kroni-kroni mereka. Kertas kerja mengenainya akan dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

4. Isu Felda dan penyenaraian Felda Global Ventures yang menimbulkan masalah kepada peneroka tanah rancangan itu serta kesannya kepada ekonomi negara, khususnya tekanan ekonomi yang dihadapi oleh orang Melayu. Kertas kerja tentang isu tersebut akan dibentangkan oleh Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal PKR Pusat Suhaimi Said.

Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata, konvensyen Pakatan kali ini yang paling penting kerana ia lebih berfokus dan bertepatan masanya dengan PRU13 yang menjelang tiba.

“Ia akan memfokuskan strategi, menguatkan lagi usaha sama dan kuasa Pakatan dalam merangka perjalanan membentuk Malaysia baru, Malaysia milik semua kaum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad merangkap Pengerusi Jingga berkata, empat agenda penting bernama “Tawaran Jingga” itu akan dibentang dan menjadi tonggak bagi mendepani krisis negara yang tidak berkesudahan.

“(Justeru) Jingga akan menawarkan penyelesaian dengan membentangkan empat jawapan dan penyelesaian ini. Dalam membersihkan negara, kita juga mahu satu gagasan baru, dalam nafas baru Impian Bangsa Malaysia,” katanya.

Tema konvensyen Pakatan di Alor Setar itu adalah “Bersihkan Malaysia”.

Turut hadir dalam sidang akhbar hari ini adalah Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar dan Naib Presiden PKR N Surendran. – Roketkini.com