Rencana

Adam dapat cuti panjang – Oleh Izmil Amri

12 JANUARI – Demonstrasi, perihalnya simbolik dan penuh perlambangan. Justeru kita dapati ada aksi-aksi protes seperti bakar patung, rantai diri, meniarap di jalan raya dan segala yang sewaktu dengannya mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk menarik perhatian dan menyatakan protes kepada anasir yang bertingkah dengan demonstrasi itu.

Hatta kalau ditelanjangkan konsep flash mob yang begitu digilai sekarang pun, manhajnya tetap serupa: tarik perhatian, tingkatkan kesedaran dan sampaikan mesej. Wujudnya kelompok sosial yang berhimpun untuk menyatakan sesuatu pendirian adalah akar prinsip demokrasi.

Memahami makna demonstrasi

Hanya masalahnya hari ini kita dikelirukan dengan soal adab dan adat. Tidak kurang juga dikelirukan dengan agenda-agenda politik. Maka perjuangan dan jalan perjuangan sering dicemuh tanpa usaha untuk menggali falsafah di sebalik aksi para demonstran. Lebih malang apabila usaha demonstran cuba difahami mereka yang tidak lazim turun ke jalan.

Mari kita mengimbau kenangan Oktober 1973, sewaktu pertempuran  tentera Syria dan Mesir dengan Israel tercetus di Bukit Golan. Israel ini, pada waktu itu punya sokongan kuat Amerika.

Di Malaysia, pada 12 Oktober 1973, mahasiswa dan rakyat yang peduli telah berarak di jalan Chow Kit dengan membawa sepanduk-sepanduk anti Amerika. Perarakan berakhir dengan pancutan pemedih mata oleh polis, seperti yang biasa dilakukannya.

Namun tindakan pihak polis menyemarak semangat anak mahasiswa dengan mengadakan demonstrasi lanjutan pada 13 Oktober 1973 bersama 15 gabungan pertubuhan mahasiswa antara lain termasuk Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Persatuan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (PMUSM) dan Kesatuan Siswa-Siswi Institut Teknologi MARA (KSITM).

Di depan bangunan AIA Jalan Ampang, para demonstran melaungkan slogan anti-Amerika dan Israel. Para demonstran membakar patung Menteri Pertahanan Israel, Moshe Dayan yang memakai baju bendera Amerika.

Pada 16 Oktober 1973, para mahasiswa telah merempuh kedutaan Amerika dan membakar bendera Amerika.

Demonstrasi, kalau dalam media arus perdana, ada banyak nama-nama lain. Kalau demonstrasi itu milik pemerintah, jadilah dia perhimpunan aman. Kalau milik pihak sebaliknya, dipanggil pula perhimpunan haram. Kalau berkait Palestin, terus jadi tunjuk perasaan.

Definisi terakhir ini selalunya tidak dijadikan tafsir utama. Demonstrasi, secara rohnya memang emosional, kerana ia adalah aksi tunjuk perasaan. Perasaan inilah yang menjadi mesej utama mana-mana demonstrasi.

Maka adalah wajib untuk fahami apa sebenarnya mesej yang mahu disampaikan dalam mana-mana aksi oleh mana-mana demonstran. Perjuangan boleh diperjuangkan melampaui metod demonstrasi, namun mesej di sebalik setiap aksi itu tidak selalunya sama, justeru pelbagai aksi-aksi simbolik yang dipentaskan dengan mesej tersendiri.

Melatah tanpa memahami mesej

Jadi apabila sekaliannya kecoh dengan tindak berani mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli, pada 17 Disember 2011 yang bingkas menurunkan bendera berwajah Najib Razak, entah kenapa pakat melatah dan mengutuk tindakan anak muda itu tanpa sedikit pun memberi perhatian kepada mesej yang cuba ia sampaikan.

Berdebat pula sekaliannya soal adab sopan dan menuduh tindakan Adam merosakkan imej gerakan. Ini kelakar yang amat.

Maka kalau dalam rangka reformasi total dan perobahan sistem pun mahu beradab sopan segala, baiklah buat kenduri kahwin. Siap dengan pantun berkias, bunga manggar, kenduri nasi minyak dan ritual menepung tawar.

Pastilah tidak relevan ini semua apabila mesej yang mahu disampaikan begitu jelas berlawan dengan kepentingan Perdana Menteri. Adam Adli tolak kepimpinan Perdana Menteri. Mahasiswa tolak kebijakan dan janji-janji Najib Razak.

Najib Razak pula bukan sekadar pemimpin negara yang neutral, beliau juga Presiden sebuah parti bernama United Malays Naional Organisation dan pengerusi Barisan Nasional. Jadi ada kepentingan politiknya yang tersendiri.

Dan pemerintah Malaysia bukan sebuah kerajaan demokrasi yang matang. Pernah dicatatkan bahawa ia sekadar pentadbiran demokrasi cacat. Yang masih boleh dipulihkan dengan ubat-ubatan demokrasi tulen, kebebasan, peluang saksama, hak asasi dan sebagainya.

Mahasiswa tidak iktiraf Najib

Mahasiswa sedikit pun tidak iktiraf kepemimpinan Najib Razak, selagi mana tidak diberinya kebebasan dari cengkaman Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan mengembalikan autonomi universiti bersekalian dengan kebebasan akademik.

Sehinggakan Solidariti Mahasiswa Malaysia menambah bahawa bukan sahaja bendera gambar Najib itu akan diturunkan, malah seluruh kabinet dan kepimpinan tadbiran Najib Razak akan diturunkan oleh mahasiswa.

Cakap besar? Bukankah mahasiswa-siswi Indonesia menjadi picu kejatuhan regim Suharto pada 1998 yang membawa kepada demokrasi, kebebasan, kebersihan pemerintahan dan kemakmuran yang semakin dikecapi rakyat repulik itu sekarang ini?

Adam Adli telah tonjolkan keberanian memecah hegemoni UMNO itu dengan aksi turun bendera. Ia telah ekspresikan emosi rakyat terbanyak yang hakikatnya harus kita terima bahawa kalau boleh, kita pun rasa macam nak cubit-cubit para menteri bodoh-sombong itu.

Untuk aksi berani ini, Adam telah dihukum gantung pengajian selama tiga semester. Dia tidak kisah sangat, kerana baginya ini cuti panjang yang tidak pernah dia impikan.

Masa terluang ini mungkin penting baginya untuk berkongsi pengalaman dengan orang-orang muda yang dahagakan kebebasan. Bagi Adam sendiri, mungkin masa luang ini juga berguna untuk menambah pengetahuan di luar menara ilmu yang kini kaku beku dengan mempelajari sesuatu yang lebih luas maknanya dari sekadar menurunkan bendera wajah seorang politikus.

Persoalannya bagi kita, apa yang kita faham dari semua ini? – Roketkini.com