Rencana

Dilema orang UMNO – Oleh Fairuz Azhan

Gambar ehsan http://www.facebook.com/buletinmutiara

13 JANUARI – Meski pun UMNO terpalit dengan berbagai kontroversi dan skandal dari dahulu hingga sekarang, sokongan sebahagian masyarakat Melayu terhadap parti itu masih tidak terjejas.

Mengapa hal ini terjadi?

Golongan bersyukur

Yang pertama, ada golongan teras UMNO yang mempunyai nostalgia terhadap parti mereka. Golongan ini tidak dapat membezakan di antara kewajipan mana-mana kerajaan terhadap rakyat dan parti sebagai jentera untuk menjadi kerajaan.

Contohnya, mereka berterima kasih kepada UMNO apabila kerajaan – yang menggunakan wang rakyat yang dipungut melalui cukai dan hasil sumber negara – menghantar mereka atau anak mereka belajar ke luar negeri atas biasiswa dan pinjaman.

Mereka juga percaya ahli keluarga mereka menerima projek dan kontrak kerana UMNO, dan bukan kerana kemampuan dan kelayakan mereka sendiri. Malah, ada yang percaya hanya UMNO dapat menjamin mereka mendapat kerja, khususnya dalam perkhidmatan awam dan agensi kerajaan.

Mereka menganggap seolah-olah kehidupan mereka yang selama ini secara relatifnya makmur dan aman mungkin tergoncang dengan pertukaran kerajaan. Mereka sudah lali dengan sistem yang ada walau pun sedar ia bergelumang dengan skandal kewangan, rasuah dan salah guna kuasa.

Golongan ini sebenarnya sedar segala buruk UMNO dan celik tentang isu-isu semasa, namun di atas kesyukuran dan rasa terima kasih kepada UMNO, mereka tidak mahu atau takut untuk berubah.

Golongan bergelapan

Golongan kedua ialah golongan yang mengambil mudah, apa yang mereka tahu ialah apa yang diberitahu kepada mereka oleh media massa kawalan UMNO-BN seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia dan banyak lagi.

Rata-rata pada mereka UMNO-BN itu adalah kerajaan paling maha hebat di dunia manakala Pakatan Rakyat adalah pengkhianat negara, dan DAP adalah parti komunis kaum Cina yang bertujuan menghancurkan Melayu. Itulah fitnah media kawalan UMNO-BN, dan itulah yang menjadi kepercayaan golongan kedua ini.

Mereka percaya jika berlaku perubahan kerajaan, kaum Melayu akan hancur. Kerana itu mereka takut untuk menyokong Pakatan. Sehingga mereka lupa bahawa PAS dan PKR didokongi para pemimpin Melayu, dan mereka tidak sedar bahawa sudah ramai orang Melayu menyertai dan menyokong DAP.

Bukti perubahan membawa kebaikan

Benarkah suasana makmur dan aman dikecapi golongan-golongan UMNO ini akan musnah jika sebuah kerajaan ditukar? Benarkah orang Melayu akan terhapus dari watan tercinta ini jika Pakatan Rakyat memerintah?

Jawapannya ada di hadapan kita. Sudah jelas terbukti dengan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Malah di Perak, Pakatan yang memerintah selama setahun, sebelum dirampas kuasa secara jijik oleh UMNO-BN, juga sempat membuktikan kejayaan yang semata-mata memberi faedah kepada rakyat, termasuk orang Melayu.

Yang jelas di empat negeri ini, kemakmuran negeri bertambah, masyarakat lebih terbela, dan peluang untuk orang ramai, sama ada dari segi perniagaan, kontrak dan pekerjaan, semakin banyak.

Jika dahulu, sesiapa yang inginkan peluang mendapat kontrak dari kerajaan, mereka terpaksa rapat dengan pemimpin parti politik. Siapa yang tidak ‘ngam’ atau tidak bayar ‘yuran’, tidak akan mendapat peluang. Namun dengan ketelusan di bawah Pakatan, semua pihak boleh berdaya saing dan mendapat peluang yang adil.

Adakah nikmat ini dinikmati di negeri-negeri yang ditadbir oleh UMNO-BN sekarang? Para kontraktor dan peniaga kecil di Johor, Melaka, Pahang, Terengganu misalnya lebih mengetahui apa yang sedang berlaku di negeri masing-masing tentang peluang mendapatkan kontrak melalui tender tertutup yang diamalkan.

Satu lagi cara Pakatan Rakyat menambah baik kualiti kehidupan rakyat ialah dengan kemakmuran yang dibawa melalui dasar-dasar yang baik dan kompetetif tanpa rasuah dan kebocoran. Justeru, rakyat tidak dibebankan dengan kos sara hidup.

Lihat sahaja Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Lim Guan Eng. Ia membuktikan bahawa apabila kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang baik dan terbuka, maka penghasilan negeri ditambah dan kemakmuran tersebut dinikmati rakyat.

Kemiskinan tegar berjaya dihapuskan dan tiada pihak terpinggir dari kemakmuran negeri. Bayangkan jika kita boleh menjadikan kejayaan di Pulau Pinang dilaksanakan di seluruh Malaysia.

Tiada lagi golongan miskin tegar, harga barangan tidak perlu dinaikkan, dan rakyat berhak mendapat subsidi, bukannya syarikat kroni-kroni kerajaan. Ini bukan cakap kosong, ia telah pun terbukti mampu dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Mengapa kita mesti ubah bersama

Sedangkan di bawah kerajaan UMNO-BN, penyelewengan, rasuah dan ketirisan terus berlaku saban tahun. Bajet negara setiap tahun adalah defisit dan kadar hutang negara semakin lama semakin bertambah.

Malah, laporan-laporan oleh pakar-pakar ekonomi Malaysia sendiri telah meramalkan bahawa jika kadar hutang negara terus bertambah dengan kadar yang ada pada hari ini, negara kita mungkin bakal menjadi muflis menjelang 2019.

Apabila pemimpin kerajaan menggunakan wang negara seolah-olah ianya milik mereka, maka berlakulah kebocoran dan kehilangan wang negara yang menyebabkan bajet setiap tahun defisit dan hutang juga bertambah.

Apabila ini berlaku, siapa nak ganti duit tersebut? Tentulah kita sebagai rakyat, termasuk semua orang Melayu, sama ada yang menyokong UMNO atau tidak.

Tidak semua ahli dan penyokong UMNO berfahaman assabiyah seperti yang ditonjolkan oleh kebanyakan pemimpin mereka. Ramai ahli dan penyokong UMNO benci rasuah, namun mereka masih terperangkap dengan nostalgia “agama, bangsa dan negara” yang sebenarnya sudah tidak lagi menjadi amalan kepimpinan mereka.

Sebenarnya, orang Melayu, termasuk ahli-ahli UMNO, akan menjadi kaum yang hebat dan dihormati, bersama kaum-kaum lain jika Pakatan Rakyat memerintah. Daya keintelektualan Melayu juga akan bertambah, ekonomi mereka akan diperkasa, peluang lebih banyak untuk mereka di bawah urus tadbir cekap, akauntabel dan telus.

Media massa yang selama dikongkong oleh UMNO-BN akan dibebaskan bagi membentuk pemikiran kritis rakyat, termasuk orang Melayu, manakala kolej dan universiti tempatan yang mendidik anak bangsa juga akan lebih bebas supaya mereka lebih tajam pemikiran, kreatif  dan berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Jika ahli-ahli UMNO masih nostalgia perjuangan zaman dahulu, maka cerminkan semula dengan apa yang ada hari ini. Adakah Pakatan Rakyat yang membawa idealisme asal perjuangan atau UMNO-BN yang semakin bobrok dengan salah guna kuasa, penyelewengan dan perkauman yang semakin menebal?

Jika kita sayangkan negara, hanya perubahan kerajaan merupakan satu-satunya alternatif kita. Hanya perubahan besar politik tanah air sahaja yang akan menjadikan negara dan kehidupan kita lebih baik. – Roketkini.com