Berita

Telus: Harta dan pendapatan Exco Pulau Pinang

Gambar ehsan http://www.facebook.com/buletinmutiara

GEORGE TOWN, 13 JAN: Buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, rakyat dipelawa untuk menyemak sendiri butir-butir pendapatan dan harta Ketua Menteri dan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang.

Maklumat lebih terperinci harta exco-exco itu boleh dimuat turun dan dinilai oleh semua rakyat Malaysia melalui laman web kerajaan negeri Pulau Pinang di  http://www.penang.gov.my atau link di bawah.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan bahawa pengisytiharan harta secara terbuka ini menjelaskan lagi keseriusan dan keterbukaan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Dalam masa sama, beliau berasa kesal kerana media massa, khususnya akhbar harian, TV dan radio, tidak aktif memainkan peranan menyebarkan berita pengisytiharan harta yang dianggap sebagai satu kejayaan besar untuk rakyat yang mahukan ketelusan dan keterbukaan.

“Saya berharap bahawa ini akan diperbetulkan. (Exco) Pulau Pinang yang memegang jawatan dan amanah awam sebulat suara bersetuju bahawa rakyat mempunyai hak untuk menuntut kebertanggungjawaban penjawat-penjawat awam.

“(Oleh itu, Exco-exco) ingin menegaskan bahawa kami tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan yang lain selain daripada elaun awam sebagai penjawat awam dan wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berharap pihak media boleh memainkan peranan aktif menyebarkan maklumat harta exco-exco secara penuh.

Menurutnya, ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia pengisytiharan harta secara terbuka ini dikendalikan oleh sebuah firma audit bebas, dan bukan oleh kerajaan negeri.

Firma audit yang diberi tanggungjawa menilai itu adalah KPMG dan rakan kongsi kanannya, Akauntan Bertauliah Ooi Kok Seng.

Semalam, Exco-exco termasuk ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-Undang Negeri, telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, penyebaran maklumat harta exco-exco Pulau Pinang adalah ekoran daripada Akta Maklumat Bebas yang diperkenalkan tahun lepas, selain sistem tender terbuka yang telah mendapat pujian daripada Transparency International (TI) dan juga Ketua Audit Negara.

Tambah beliau, prinsip kepimpinan yang sebegini rupa adalah berasaskan prinsip cekap, akauntabel dan telus (CAT). – Roketkini.com

Sila klik  http://www.4shared.com/office/i53aGnoi/Pengisytiharan_aset_Ketua_Ment.html untuk maklumat terperinci pengisytiharan aset Ketua Menteri dan Exco-exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang