Rencana

Jangan takut momokan UMNO – Oleh Mazir Ibrahim

14 JANUARI – PAS telah berevolusi dengan persekitarannya. Kini, PAS kita lihat bukan lagi sebagai parti yang memperjuangkan slogan seperti UMNO semata-mata, sebaliknya ia sudah menjadi sebuah parti yang mahu melaksanakan isi kandungan dari slogan-slogannya.

Dengan agenda Negara Berkebajikan, maka matlamat perjuangan PAS dengan PKR dan DAP semakin bertemu di satu titik yang sama di mana dasar berkebajikan ini cukup ideal dan boleh disadap oleh pelbagai pihak, baik Islam mahu pun bukan Islam.

Ini merupakan satu sejarah besar dalam politik Malaysia. Malah Negara Berkebajikan telah berjaya meroboh mitos ciptaan UMNO yang memomokkan bahawa PAS dan DAP tidak boleh berjuang atas satu landasan yang sama. Inilah politik pintar PAS.

Salah contoh

Membaca ungkapan Subky Latif dalam rencana “Politik pintar DAP tak letak calon Melayu” dalam Harakahdaily bertarikh 8 Januari 2012,  (http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/7460-politik-pintar-dap-tak-letak-calon-melayu) beliau telah mengulas gaya dan agenda politik DAP. Menarik kerana bernas dan kuat pula hujahnya.

Namun demikian, Subky sebagai wartawan veteran dan mantan pemimpin PAS telah mengambil contoh pengalaman Lee Kuan Yew, mantan Perdana Menteri Singapura, sebagai satu perbandingan yang kita anggap tidak begitu sesuai.

Subky menulis: “Mungkin pengalaman semasa Lee Kuan  Yew menjadi rakyat Malaysia dulu boleh dipelajari. Lee Kuan Yew terlalu cepat menyatakan politiknya untuk menggantikan Perdana Menteri Melayu 20 tahun selepas pembentukan Malaysia.”

Mungkin Subky yang kini sudah melepasi usia 70 tahun bertuah kerana menjadi saksi pergolakan politik tanah air pada 1960-an dahulu tetapi dalam konteks hari ini, Lee Kuan Yew dan PAP itu lebih banyak persamaannya dengan UMNO dari segi politik dominasi kuasa dan kekangan kebebasan serta hak asasi. Lee Kuan Yew dan PAP tidak boleh disamakan dengan DAP hari ini.

Dengan mengukur politik kaum tahun 1960-an, andaian itu perlu diubah sekarang. Seharusnya mana-mana parti politik yang berhasrat untuk mengamalkan politik rentas kaum, yakni parti pelbagai kaum, ia merupakan suatu cita-cita yang murni.

Ia seharusnya didukung dan digalakkan agar fahaman assabiyah dapat dilebur perlahan-lahan. Usaha ini perlu dilakukan bersama-sama, yakni secara jamaah, bukan hanya dari sebelah pihak  sahaja.

Malah bukan sahaja fahaman assabiyah ini akan hilang, sebaliknya semangat persaudaraan itu akan lebih cepat muncul, dibentuk dan disuburkan.

Perihal UMNO memomokkan rakyat bukanlah isu besar yang harus dirisaukan. Sudah lebih setengah abad UMNO memainkan lagu yang sama. Sejak 2008 tohmahan dan fitnah UMNO semakin tidak laku.

Yang menjadi cabaran ialah Pakatan Rakyat sendiri yang harus menunjukkan teladan dengan mengamalkan kepelbagaian dalam mencorak politik dan masa depan bangsa.

Subky turut menulis: “Jika DAP meletakkan calon Melayu di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain, maka dijadikan propaganda oleh UMNO bahawa DAP menyedia Menteri Besarnya di situ  dan Menteri Besar Melayu DAP itu tetap mereka momokkan sebagai kuda lumba DAP.”

Barangkali ramai yang kurang sedar bahawa DAP pada dasarnya tidak terdesak untuk memastikan pemimpinnya (jika ada Melayu) menjadi Menteri Besar atau Perdana Menteri. DAP menerima hakikat politik negara.

Sejak ditubuhkan pada 1966, DAP hanya mahu memastikan wujudnya sebuah kerajaan yang adil dan demokratik, cekap, akauntabel dan telus, serta memastikan setiap warga mempunyai peluang saksama. Sama ada sebagai pembangkang dengan dua, tiga kerusi atau sebagai rakan dalam kerajaan Pakatan, hanya itu sahaja yang diperjuangkan oleh DAP sejak 46 tahun lalu.

Momok UMNO dan hakikat DAP

Mungkin ada segelintir Melayu memasang cita-cita besar dalam DAP. Itu lumrah manusia bergelar politikus dalam mana-mana parti termasuk PAS, PKR, UMNO.

Namun, janganlah lupa – ia tidak semudah itu dalam DAP. Ia melibatkan soal wibawa seseorang; layakkah jadi calon, mampukah menang dan sanggupkah menunaikan amanah kepada rakyat.

Sudah menjadi amalan dan budaya DAP,  iaitu apa jua kerja politik, ia berasaskan merit. Tidak banyak ruang untuk kronisme atau kabel politik. Jadi, Melayu atau apa kaum sekali pun dalam DAP perlu bekerja untuk rakyat, itu kerja asasi mereka.

Momok UMNO tentang DAP parti rasis, komunis dan cauvinis tidak menghairankan kita kerana, kepimpinan parti yang rasis dan assabiyah seperti UMNO itu, pastinya berperwatakan begitu. Buatlah apa pun, sama ada yang pintar atau tidak, para pemimpin UMNO dan konco-konco mereka akan terus menabur fitnah.

Justeru, terlalu membenci UMNO atau takut kepada momok UMNO, kadang kala menjerat diri kita sendiri.

Tsunami politik 2008 membuktikan bahawa politik cara lama, khususnya dari sudut perkauman, semakin tidak relevan.

Untuk benar-benar ubah, untuk jujur dan ikhlas selamatkan Malaysia, dan untuk perkenalkan politik baru yang bersih, adil dan telus, ia memerlukan anjakan paradigma daripada para pemimpin dan ahli komponen Pakatan Rakyat sendiri.

Untuk mematikan momok UMNO sebenarnya mudah sahaja. Pastikan Pakatan Rakyat tidak menari mengikut paluan gendang UMNO. Bergerak atas landasan bahawa rakyat itu adalah “tuan” tanpa mengira kaum dan agama.

Selepas mandat diberi untuk memerintah Malaysia, maka para pemimpin Pakatan Rakyat harus mengamalkan urus tadbir cekap, akauntabel dan telus. Dan apabila amanah diberikan oleh rakyat, jangan pula mahu bergayut dengan jawatan hingga mati.

DAP dengan pegangan Utamakan Rakyat Malaysia melalui Jalan Tengah Malaysia bersama perjuangan PKR bagi Keadilan Untuk Semua, amat padan dengan Negara Berkebajikan PAS. Negara Berkebajikan PAS bukan sahaja tidak lari dari perjuangan Negara Islam, malah melengkapkan lagi agenda parti Islam itu untuk rakyat semua kaum dan agama.

Rakyat Malaysia, termasuk kaum Cina, India, Kadazandusun dan Iban, sudah semakin menerima PAS. Tidak ada sebabnya orang Melayu tidak boleh menerima DAP dan PKR. – Roketkini.com