Berita

Pakatan janji hapuskan kapitalisme kroni

ALOR SETAR, 14 JAN: Kerajaan Pakatan Rakyat berjanji untuk memansuhkan ekonomi kapitalisme kroni yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat kroni  dan membebankan rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sebagai ganti, Pakatan Rakyat akan memperkenalkan dasar ekonomi yang berjiwa rakyat dan memartabatkan rakyat.

“Pakatan Rakyat akan menghapuskan tol Lebuhraya Utara-Selatan apabila kita mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

“Kita juga akan mengkaji semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) yang jelas berat sebelah,” katanya di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di sini hari ini.

Menurutnya, masalah besar akibat ekonomi kapitalisme kroni telah dipupuk oleh kerajaan Barisan Nasional di mana subsidi gas berjumlah RM20 bilion setahun diberi kepada syarikat-syarikat IPP melalui perjanjian berat sebelah.

Begitu juga syarikat-syarikat konsesi tol lebuh raya dibenarkan untuk meningkatkan kadar tol secara berkala sepanjang tempoh konsesi yang panjang, walau pun kebanyakan daripada mereka sudah pun mengaut keuntungan yang jauh melebihi pelaburan asal, tambah beliau.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, setakat 31 Disember 2010, pengendali tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan NSE tetapi sudah menerima RM24,266 juta dalam kutipan tol dan pampasan kerajaan.

“Dalam kata lain, pengendali tol NSE telah mencatatkan keuntungan lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat 31 Disember 2010 berbanding pelaburan asalnya. Adakah masih perlu pengendali tol NSE untuk meneruskan kutipan tol daripada rakyat, apatah lagi menaikkan kadar tol?

“Demi kepentingan rakyat, kutipan tol NSE harus dihentikan serta merta kerana pulangannya sudah pun 3 kali ganda melebihi pelaburan asal. Ceritanya sama untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip RM1,859 juta berbanding pelaburan asal RM944 juta, iaitu keuntungan sebanyak RM924 juta,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pengalaman pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah contoh paling baik untuk membuktikan kepada kawan-kawan di negeri-negeri lain bahawa kemakmuran dan kesejahteraan boleh dicapai melalui pentadbiran yang cekap, akauntabel dan telus.

“Kita bersyukur Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan tetapi yang lebih penting adalah membebaskan Malaysia daripada cengkaman BN yang kotor, berasuah, tamak dan rakus.

“Ini tidak bermakna PR pasti menang, tidak, jauh sekali tidak kerana BN masih mempunyai kelebihan tetapi kini PR lebih dekat dengan Putrajaya kalau berbanding tiga bulan yang lepas.

“Itulah sebabnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pilihan raya akan ditunda lebih lama,” katanya.

Beliau meminta semua pemimpin dan ahli Pakatan gigih bekerja dengan beramanah dan  berpasukan untuk menjayakan misi bersejarah bagi menggantikan BN.

“Marilah Ubah kepada PR demi bersihkan Malaysia dan selamatkan rakyat agar bantuan ditambah, tol Lebuhraya Utara-Selatan dihapuskan, harga minyak diturunkan dan kos sara hidup ditangani,” tambah beliau. – Roketkini.com