Rencana

Ubah kepada Pakatan Rakyat untuk bersihkan Malaysia

Oleh Lim Guan Eng

14 JANUARI – Sehari sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saya telah mengulangi pendirian parti DAP untuk menyokong penuh Sdr Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri alternatif negara kita. Keyakinan kita terhadap kepimpinan Sdr Anwar masih lagi kukuh jika tidak diperkukuhkan lagi.

Empat tahun lalu, kita telah mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum sebagai tiga parti berasingan. Selepas PRU12, kita telah bergabung menjadi Pakatan Rakyat. Pada mulanya, ramai yang meragui pakatan kita.

Tiada sesiapa pun yang mempercayai bahawa PKR, PAS dan DAP mampu bertahan di bawah satu bumbung. Namun begitu, kita telah membuktikan ketabahan kita. Kita telah menunjukkan kepada Barisan Nasional dan juga rakyat Malaysia bahawa kita mampu bermuafakat dalam pakatan politik yang berasaskan prinsip-prinsip saling hormat-menghormati dan kesetiakawanan.

Sungguh pun BN menyerang bertubi-tubi dengan pelbagai taktik kotor dan memainkan isu-isu agama dan perkauman untuk meretakkan Pakatan Rakyat, kita masih lagi kukuh dan berdiri teguh. Macam-macam yang telah dibuat.

Ketua Pembangkang telah difitnah dan didakwa dalam mahkamah. DAP dituduh ingin menubuhkan negara Kristian, PAS dipikat untuk menyertai BN, wakil-wakil katak diumpan keluar dan sebagainya. Tetapi akhirnya, kita masih lagi bersatu, bersama dan bersepakat dalam perjuangan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada cengkaman BN.

PR mengamalkan CAT, BN mengamalkan rasuah

Sebenarnya, hakikat yang paling digeruni BN adalah kejayaan kita dalam mentadbir 4 buah negeri dengan lebih cekap, akauntabel dan telus. Ini jelas terbukti dalam prestasi kita apabila jumlah pelaburan yang dicatat oleh 4 buah negeri Pakatan Rakyat, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan, bagi tahun 2010 telah melebihi jumlah pelaburan yang berjaya ditarik oleh 9 buah negeri Barisan Nasional.

Empat negeri Pakatan Rakyat telah mengalahkan 9 negeri Barisan Nasional. Sebaliknya, pentadbiran Kerajaan BN terkenal dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang. Makin hari makin banyak skandal kewangan yang dibongkarkan.

Ambil sebagai contoh skandal terbaru “lembu dan kondo”, di mana syarikat National Feedlot Corporation kepunyaan keluarga seorang Menteri Persekutuan telah dianugerahkan pinjaman mudah sebanyak RM250 juta untuk projek penternakan lembu.

Duit pinjaman itu bukan sahaja telah diberikan dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak, tetapi telah digunakan untuk pelbagai aktiviti di luar bidang penternakan, termasuk pembelian kondominium-kondominium mewah di dalam dan di luar negara. Sementara kaum kerabat Menteri berkenaan dilaporkan dibayar gaji berpuluh-puluh ribu sebulan, para penternak lembu di kampung-kampung pula terpaksa terengkeh-rengkeh memikul beban tanpa bantuan daripada kerajaan.

Skandal “lembu dan kondo” ini merupakan salah satu daripada kepincangan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang antara lainnya juga telah melaporkan bahawa jabatan-jabatan kerajaan telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion.

Di samping itu, rakyat Malaysia sudah pun kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram (termasuk wang rasuah) sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000 hingga 2009, mengikut unjuran laporan badan pemerhati kewangan yang berpusat di Washington, iaitu Global Financial Integrity (GFI).

Ketirisan RM1,007 bilion yang amat besar dan tidak bertanggungjawab ini adalah akibat daripada aktiviti-aktiviti kewangan haram seperti rasuah dan penyelewengan wang. Ditambah pula dengan skandal-skandal lain seperti Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), skandal saham Bumi RM52 bilion, “komisyen” setengah bilion untuk pembelian dua kapal selam kelas Scorpene dan lain-lain lagi.

Memang tidak hairanlah mengapa laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 Transparency International (TI) telah menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya di Pulau Pinang, Kerajaan Pakatan Rakyat telah dipuji oleh TI kerana mengamalkan sistem tender terbuka.

Kroni diutamakan, rakyat dibebankan

Inflasi yang kita lihat ini merupakan masalah yang perlu diambil perhatian. 60 peratus golongan terbawah dalam masyarakat kita mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan manakala 40 peratus yang terbawah terpaksa hidup dengan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Yang lebih merunsingkan, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Lebih teruk lagi, hutang persekutuan sudah mencecah RM456 bilion pada akhir tahun lepas, sementara nisbah hutang-kepada-KDNK pula sudah hampir menyentuh siling hutang negara iaitu 55%. Sebaliknya, di Pulau Pinang kita telah mengurangkan hutang sebanyak 95% atau pun RM600 juta daripada RM630 juta pada 8.3.2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 2011. Ini merupakan pengurangan hutang yang paling ketara dalam sejarah mana-mana negeri Malaysia.

Untuk membantu mengurangkan beban rakyat dalam suasana ekonomi yang meleset, Kerajaan PR Pulau Pinang telah memulakan beberapa program sosial. Kita memberi RM100 setahun kepada warga emas, OKU dan ibu tunggal, serta bayaran “one-off” RM1,000 kepada waris apabila mereka meninggal dunia. Kita juga memberi RM1,000 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan. Tambahan pula, kita juga memberi RM200 untuk setiap bayi baru lahir di Pulau Pinang.

Bagi membantu rakyat untuk menampung kos menyara anak, kita juga memberi RM100 kepada pelajar-pelajar yang memasuki Tahun 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4.

Selain daripada bantuan kewangan kepada golongan-golongan tertentu, kita juga telah menubuhkan Pusat Dialisis CAT di Balik Pulau yang memberi rawatan dialisis yang disubsidi. Tambahan pula, kita juga menyediakan perkhidmatan bas percuma di dalam kota George Town serta untuk pekerja-pekerja yang berulang-alik dari Seberang Jaya ke Bayan Lepas.

Lebih signifikannya, kita juga telah membasmi kemiskinan tegar setahun selepas mengambil alih pucuk pimpinan. Sekarang, kita berhasrat untuk membasmi kemiskinan menjelang 2015. Jika kita boleh melakukannya di Pulau Pinang, kita juga boleh melakukannya untuk seluruh Malaysia.

Hapuskan kapitalisme kroni

Satu lagi masalah besar di negara kita adalah ekonomi kapitalisme kroni yang telah dipupuk oleh Kerajaan BN. Sebagai contoh, subsidi gas berjumlah RM20 bilion setahun diberi kepada syarikat-syarikat Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) dalam perjanjian yang jelas berat sebelah, serta syarikat-syarikat konsesi tol lebuhraya yang juga dibenarkan untuk meningkatkan kadar tol secara berkala sepanjang tempoh konsesi
yang panjang, walaupun kebanyakan daripada mereka sudah pun mengaut keuntungan yang jauh melebihi pelaburan asal.

Setakat 31.12.2010, pengendali tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan NSE tetapi sudah menerima RM24,266 juta dalam kutipan tol dan pampasan kerajaan. Dalam kata lain, pengendali tol NSE telah mencatatkan keuntungan lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat 31.12.2010 berbanding pelaburan asalnya.

Adakah masih perlu pengendali tol NSE untuk meneruskan kutipan tol daripada rakyat, apatah lagi menaikkan kadar tol? Demi kepentingan rakyat, kutipan tol NSE harus dihentikan serta merta kerana pulangannya sudah pun 3 kali ganda melebihi pelaburan asal. Ceritanya sama untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip RM1,859 juta
berbanding pelaburan asal RM944 juta, iaitu keuntungan sebanyak RM924 juta.

Pakatan Rakyat akan menghapuskan tol Lebuhraya Utara-Selatan apabila kita mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Kita juga akan mengkaji semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) yang jelas berat sebelah.

Kerajaan Pakatan Rakyat berjanji untuk memansuhkan ekonomi kapitalisme kroni yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat kroni  dan membebankan rakyat. Sebaliknya, kita akan memperkenalkan dasar ekonomi yang berjiwa rakyat dan memartabatkan rakyat.

Pengalaman pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah contoh paling baik untuk membuktikan kepada kawan-kawan di negeri-negeri lain bahawa kemakmuran dan kesejahteraan boleh dicapai melalui pentadbiran yang cekap, akauntabel dan telus.

Kita bersyukur Anwar dibebaskan tetapi yang lebih penting adalah membebaskan Malaysia daripada cengkaman BN yang kotor, berasuah, tamak dan rakus. Kebebasan Sdr Anwar tambah dengan semangat perjuangan yang jitu dan perpaduan yang kental, kami menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan penuh keyakinan.

Ini tidak bermakna PR pasti menang, tidak jauh sekali tidak kerana BN masih mempunyai kelebihan tetapi kini PR lebih dekat kat Putra Jaya kalau berbanding tiga bulan yang lepas. Itulah sebabnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan pilihanraya akan ditunda lebih lama.

Kita hanya berjaya kalau kita bekerja. Bekerja keras, bekerja dengan beramanah dan bekerja berpasukan barulah kita boleh menang. Marilah kita balik ke kawasan masing-masing untuk bekerja dengan lebih rajin agar kita menjayakan misi bersejarah untuk menggantikan BN.

Marilah Ubah kepada PR demi bersihkan Malaysia dan selamatkan rakyat agar bantuan ditambah, tol Lebuhraya Utara-Selatan dihapuskan, harga minyak diturunkan dan kos sara hidup ditangani.

Ubah Malaysia Ubah! – Roketkini.com

Petikan ucapan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Konvensyen Pakatan

Rakyat Ketiga di Alor Setar pada 14 Januari 2012