Berita

Aset NFC dibeku, bisnes NFC berjalan seperti biasa

SIBU, 16 JAN – Bila, siapa, bagaimana, di mana dan apa aset National Feedlot Corporation (NFC) yang dibekukan dan berapakah nilai aset tersebut?

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab semua persoalan itu tanpa cuba memperlekehkan minda rakyat Malaysia yang marah dengan penyalahgunaan kuasa dalam skandal “duit lembu beli kondo” tersebut.

Katanya rakyat Malaysia marah apabila setelah lebih enam bulan dibongkarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, tiada apa-apa dilakukan oleh anggota Kabinet mahu pun NFC sendiri.

“Apakah maksud dan tujuan untuk ‘pembekuan sementara’ aset NFC setelah enam bulan dibongkarkan?

“Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia mengharapkan ‘pembekuan sementara’ bermaksud aset NFC akan dipotong dua pertiga dari gaji bulanan pengerusi, pengarah eksekutif, ketua pegawai eksekutif dan pengarah-pengarah lain NFCorp daripada jumlah gaji bulanan sebanyak RM215, 000 kepada kira-kira RM71,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mahu perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu ini supaya rakyat dapat melihat sendiri sama ada kerajaan Barisan Nasional berani bertanggungjawab dengan penyelewengan wang rakyat itu.

“Menteri manakah yang berani membangkitkan perkara ini?” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif NFCorp Wan Shahinur Izmir Salleh, yang juga anak kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang dipetik sebagai berkata bahawa pelanggan, pekerja dan pembekal tidak perlu risau kerana operasi syarikat akan terus berjalan walaupun aset dibekukan.

Jelas Kit Siang, pengumuman berkenaan menimbulkan lagi banyak persoalan dan kritikan oleh rakyat Malaysia sama ada ‘pembekuan sementara’ hanyalah silap mata untuk memuaskan hati rakyat dan mengurangkan kebencian terhadap UMNO-BN. – Roketkini.com