Berita

KR1M: Najib hanya jaga keuntungan Mydin?

PETALING JAYA, 16 JAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih mengutamakan keuntungan Mydin berbanding kualiti dan keselamatan produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dijual kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Beliau berkata, tindakan Najib menyindir Pakatan Rakyat kerana telah memberi keuntungan kepada Mydin dan KR1M di kawasan Parlimen beliau, iaitu Pekan, Pahang, menunjukkan ketidakperihatinan beliau terhadap kesihatan rakyat di kawasan sendiri.

Menurutnya, sekarang terbukti Najib mengetepikan kesihatan rakyat dan takut untuk menghukum pemilik KR1M yang telah menjual produk-produk yang tidak sihat seperti yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengesahkan bahawa Susu Segar 1Malaysia…telah mengandungi bakteria E Coli yang merupakan punca kepada keracunan makanan boleh membawa kepada kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Najib semalam yang mendakwa bahawa kritikan Pakatan Rakyat terhadap KR1M telah membantu meningkatkan keuntungan syarikat tersebut.

Setakat ini, Najib bukan sahaja tidak pernah meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana KR1M telah menjual barang berbahaya, termasuk yang boleh memberi kesan kepada bayi-bayi, sebaliknya menjadi tukang promosi KR1M yang menjadi monopoli syarikat Mydin.

Justeru Pua membidas kenyataan Najib dengan berkata bahawa kritikan Pakatan bukanlah berkaitan naik turun keuntungan.

“(Persoalan pokok Pakatan) ialah adakah subsidi Kerajaan telah digunakan untuk menguntungkan sesetengah ahli perniagaan yang tidak mementingkan kepentingan pengguna sama ada dengan menggunakan cara menipu sehingga menjejaskan kesihatan,” katanya.

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM40 juta subsidi kepada Mydin untuk membuka cawangan-cawangan KR1M.

Pada 2 Disember lalu, dalam satu dialog tertutup bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Hasan Abdul Rahman mengaku memang ada label dan isi kandungan produk-produk KR1M yang tidak melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985. – Roketkini.com