Rencana

Di antara hambar dan tidur

Komentar Roketkini

17 JANUARI – Para pemerhati dan pengkritik Pakatan Rakyat, khususnya dari media kawalan UMNO-Barisan Nasional, sekali lagi memuntahkan hujah-hujah lapuk dalam usaha memperlekehkan usaha memartabkan rakyat. Acuan kritikan mereka datangnya dari budaya politik UMNO-BN masa kini.

Mereka yang sudah biasa menyalahgunakan wang rakyat untuk menyewa bas dan membayar “peserta” mengukur prestasi kehadiran perwakilan di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar, Kedah hujung minggu lalu, dengan timbang kati mereka sendiri.

Mereka tidak dapat membezakan jumlah perwakilan konvensyen dengan ceramah perdana. Bagi mereka, kedua-duanya sama sahaja. Yang mereka faham, jumlah menunjukkan kekuatan.

Hambar

Maka perkataan “hambar” digunakan untuk menggambarkan isi kandungan konvensyen yang diadakan buat kali ketiga setelah Pakatan Rakyat mengejutkan UMNO-BN dari lena yang panjang dalam pilihan raya umum 2008.

“Hambar” kerana mungkin para pemerhati tidak berada di dalam dewan konvensyen tempoh hari atau sekadar mengulas dengan membaca propaganda mereka sendiri yang terpapar dalam lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, TV3 dan pelbagai media kawalan UMNO-BN.

“Hambar” juga kerana mereka sudah terlalu biasa dengan budaya menjerit dan memaki-hamun orang lain, termasuk yang sudah banyak kali didengar dalam perhimpunan agung UMNO di mana para penyokong dan ahli DAP pernah digelar “bangsat”.

“Hambar” mungkin turut diperkatakan kerana mereka tidak melihat keris dihunus, tidak mendengar menteri dari parti merteka mempertahankan skandal “duit ternak lembu digunakan beli kondo” dan tidak menyaksikan sendiri pucuk pimpinan mereka mendakwa ekonomi negara masih segar bugar hari ini.

Para pengkritik hanya mampu mengulangi kata-kata basi pemimpin mereka terhadap Pakatan. Selain hambar, “kitar semula” menjadi kosa kata pujaan propagandis UMNO-BN.

Segala ucapan dan kertas kerja pimpinan dan ahli Pakatan dilihat mereka sebagai “kitar semula”. Tajam betul penglihatan mereka melihat kuman di seberang laut. Padahal “kitar semula” pucuk pimpinan mereka, termasuk meniru agenda dan manifesto Pakatan, terserlah bagai gajah di depan mata mereka.

Tidur

Sebagaimana politik UMNO-BN, kewartawanan dan daya penulisan propaganda acuan agenda kaum tidak memerlukan banyak buah fikiran. Sekadar catat sahaja apa yang diludahkan para pemimpin.

Maka kritikan dan kewartawanan “tidur” adalah yang paling mudah untuk dilakukan. Tidak perlu befikir, tidak perlu bersoal jawab, tidak perlu soalan-soalan yang mencengkam fikiran.

Sepanjang Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga itu, empat kertas kerja utama dibentangkan. Ia telah memperincikan empat perkara utama yang menjadi permasalah besar kepada rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa telah membawakan isu penjawat awam dan perkhidmatan awam yang bertujuan mengangkat martabat kakitangan kerajaan supaya menjadi antara yang terbaik di dunia.

Beliau memperincikan tentang sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang tidak adil dan menindas kakitangan yang berpendapatan rendah. Beliau mencadangkan usaha untuk mengatasi masalah itu, termasuk meletakkan para guru pada kedudukan dan kemuliaan profesyen mereka.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke membawakan isu federalisme (persekutuan) yang menggariskan hak-hak negeri yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan pusat UMNO-BN, termasuk cara-cara mengatasi kemelut itu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula memperjelaskan isu anti-monopoli yang mana selama ini hanya kroni-kroni BN mengaut hasil sedangkan rakyat dipinggirkan. Beliau memberi contoh-contoh kejayaan pentadbiran Pakatan di Selangor.

Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal PKR Pusat Suhaimi Said membawakan isu Felda dan penyenaraian Felda Global Ventures yang menimbulkan masalah kepada peneroka tanah rancangan itu serta kesannya kepada ekonomi negara, khususnya tekanan ekonomi yang dihadapi oleh orang Melayu.

Tentunya para pengkritik yang taksub dengan UMNO-BN telah lali dengan perhimpunan parti-parti yang mereka sokong itu di mana mereka lebih selesa “tidur” kerana tiada apa yang penting kepada rakyat yang boleh mereka tela’ah sewaktu persidangan.

Impian dan hakikat

Tidak dinafikan Pakatan Rakyat juga pernah terperangkap dalam acuan persidangan-persidangan sebelum ini yang biasanya bersifat retorika, seolah-olah ia adalah lanjutan daripada ceramah-ceramah perdana. Sesekali sedemikian tidak ada salahnya.

Namun jika semua persidangan atau konvensyen bersifat ceramah, lama-kelamaan para ahli dan pemimpin akan terjerat dengan propaganda ciptaan sendiri.

Justeru, Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga telah berjaya keluar dari perangkap lazim. Daripada empat kertas kerja yang dirumuskan menjadi Tawaran Jingga – juga sebagai lanjutan dan perincian Buku Jingga – ia memulakan langkah ke arah fokus sebenar, yakni demi kepentingan rakyat semata-mata.

Memang suara-suara “menuju Putrajaya” gah berkumandang. Ia hanya seruan semangat. Namun ia dilapik dengan kenyataan bahawa bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan lebih banyak pengorbanan untuk mencapai impian tersebut.

Di sebalik kata-kata semangat itu, sudah terpancar fokus untuk mengatasi kemelut ciptaan UMNO-BN yang sudah terlalu selesa dengan kedudukan di tampuk kuasa sehingga rakyat dipandang enteng demi mengkayakan lagi keluarga, kroni dan konco mereka.

Hanya mereka yang sudah biasa “tidur” nyenyak dengan “kitar semula” UMNO-BN akan melihat Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga sebagai “hambar”. – Roketkini.com