Rencana

Jalan sederhana idea Najib? – Oleh Muhammad Zir

18 JANUARI – Selepas ‘hadhari’, istilah ‘wasatiyyah’ pula digunakan oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional untuk menjual imej baru kepada rakyat.

Sesetengah kalangan Melayu begitu taksub dengan perkataan Arab sebagai simbol perlambangan yang hebat untuk dijadikan nama, gelaran, slogan parti atau organisasi. Hakikatnya, bahasa Arab bukanlah bahasa asas budaya Melayu.

Secara kebetulan, bahasa Arab ini juga adalah bahasa kitab suci Quranul Karim. Ia begitu mudah disamakan dengan Islam walau pun kadangkala pelaksanaan manusia terhadap isinya jauh menyimpang dari saranan Quran itu sendiri.

Namun, terpulanglah kerana itu hak mereka. Apa yang kita cuba kita ungkapkan ini amat mudah iaitu, perkataan-perkataan (bahasa) Arab ini seringkali digunakan untuk memberi imej suci untuk menyucikan perbuatan kotor pemerintah. Tidak lebih dari itu, jika makna pada perkataan itu baik, ia sekadar makna yang ditampal – cut and paste.

Dengan wang, pemerintah merasakan ia boleh saja membina masjid yang hebat-hebat dan mahal-mahal, konon mahu menunjuk-nunjuk tanda ajaran dan isi Islam sudah tertegak.

Apa itu wasatiyyah?

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti yang dilaporkan, “inisiatif itu bertujuan menggalakkan kelahiran lebih ramai ilmuwan hebat dan ulama besar seperti Al-Imam Ibnul Qayyim yang dipetik kata-katanya bahawa wasatiyyah, iaitu kesederhanaan atau keseimbangan bermakna tidak terlalu berlembut dan tidak terlalu ekstrem adalah seperti sebuah oasis di antara dua gunung”.

Nada pada ayat ini tidak banyak bezanya dengan ungkapan Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu merencanakan Islam Hadhari suatu masa dahulu. Siap dengan bersyair gurindam nak menyampaikan hasrat hatinya. Tetapi apa terjadi selepas itu, hanyalah sejarah pahit.

Ada beberapa persoalan yang menarik di sini.

Pertama, adakah agenda 1Malaysia yang telah pun wujud, tidak mampu untuk melahirkan insan/manusia berilmu dan moderat, seperti yang diharapkan dengan penubuhan Institut Wasatiyyah ini?

Jika tidak, maka sia-sialah konsep 1Malaysia ini direncanakan, rugilah rakyat kerana sudah berjuta-juta duit cukai kita dibelanjakan untuk logo, lagu, imej dan segala macam lambang 1Malaysia itu.

Kedua, jika kita teliti dalam belanjawan Najib yang lalu, kita tidak mendengar ada peruntukan kewangan bagi penubuhan Institut Wasatiyyah ini.

Justeru kita ingin bertanya secara ikhlas dengan Najib, dari mana dana (wang) untuk menubuhkan insititut ini? Dari mana wang diambil untuk belanja mengurus operasinya? Adakah itu duit dari kantung UMNO? Atau duit dari cukai rakyat?

Apa itu ekstremisme?

Dan ketiga, soalan paling mudah. Benarkah idea penubuhan Institut Wasatiyyah ini bagi menggerakkan usaha kesederhanaan untuk membanteras ekstrimisme?

Najib menambah, “Penubuhan Institut Wasatiyah itu nanti akan berperanan memberi tumpuan terhadap aspek kesederhanaan dan keseimbangan menerusi rasa hormat terhadap demokrasi, peraturan dan undang-undang, pendidikan, maruah dan harga diri seseorang serta keadilan sosial”.

Adakah Najib kenal pada pertubuhan bernama Perkasa? Sudah menjadi rahsia umum bahawa NGO ini begitu ekstrem memperjuangankan ideologi perkaumannya.

Adakah Najib kenal akan parti yang bernama UMNO, MCA, MIC? Semua rakyat tahu bahawa parti ini adalah parti yang berasaskan kaum yang bermain sentimen perkauman sempit yang boleh mengundang perasaan ekstrem pada masyarakat.

Adakah Najib kenal Anwar Ibrahim? Rakyat menjadi saksi bagaimana harga diri dan maruah insan ini diinjak-injak oleh media Utusan, RTM dan TV3 sejak 1998 hinggalah kini. Namun, terbukti tuduhan itu hanyalah fitnah jahat.

Adakah Najib kenal akan manusia bernama Lim Guan Eng? Bukankah media Utusan, RTM dan TV3 telah menfitnah anaknya yang bersekolah dan tidak tahu apa-apa tentang politik hingga budak ini mengalami trauma.

Adakah Najib kenal dengan ribuan nama mereka yang pernah dan sedang ditahan di bawah ISA? Manusia-manusia ini telah tercabut kebebasan hidupnya hanya kerana ‘disyaki’.

Dan, adakah Najib kenal nama anak-anak Malaysia yang ditahan, didakwa dan dipukul oleh polis semata-mata mahukan kebebasan akademik dan memansuhkan AUKU?

Maka jawapannya ialah…

Jawapan kepada semua persoalan di atas amat mudah untuk dijawab, tidak perlu membuang masa, tenaga dan wang ringgit dengan menubuhkan Institut Wasatiyyah untuk melahirkan insan berilmu dan moderat.

Cukuplah dengan membebaskan tahanan ISA atau mendakwa mereka di mahkamah, minta akhbar Utusan dan media-media kawalan UMNO-BN mohon maaf secara terbuka kepada Guan Eng dan keluarganya, hentikan fitnah terhadap Anwar Ibrahim, gubal undang-undang untuk mengekang politik perkauman dan fitnah.

Semua ini adalah halangan paling nyata yang akan menghalang proses kelahiran manusia berilmu dan moderat seperti yang Najib cita-citakan itu. Pelaksanaan kepada semua ini barangkali tidak memerlukan sejumlah dana yang besar. Cukup dengan pelaksanaan kata dan janji-janji anda.

Akhir sekali, benarkah idea moderat ini datang dari Najib? Bukankah DAP yang ditubuhkan pada tahun 1966 adalah berlandasakan idea ini, sederhana, sama-rata dan adil, dan mahu kepada peluang saksama?

Dan DAP itu bukan parti yang berasaskan kaum seperti MCA, MIC dan UMNO.  Sesiapa sahaja yang yakin dan mahu berjuang atas jalan tengah bagi keadilan untuk semua serta peluang saksama, maka DAP menerima mereka tanpa mengira kaum dan agama. – Roketkini.com