Berita

Orang Cina perlu bersatu dengan semua kaum untuk ubah kerajaan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mahu semua kaum Cina bersama dengan kaum-kaum di Malaysia untuk membuat perubahan besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam perutusan Tahun Baru Cina, beliau berkata perpaduan di antara kaum Cina dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum akan dapat memenuhi potensi mewujudkan masyarakat yang bersatu, berharmoni, demokratik, adil, makmur dan mampu bersaing.

Katanya masyarakat Cina perlu sedar bahawa mereka tetap menikmati kemakmuran melalui pertumbuhan ekonomi negara walau pun hidup di bawah sistem yang disalah tadbir, korup dan penuh dengan salah guna kuasa oleh UMNO-Barisan Nasional.

“Rakyat Malaysia tidak perlu berterima kasih kepada UMNO dan BN, malah perlu menyalahkan kepimpinan UMNO-BN yang telah melepaskan peluang-peluang keemasan untuk Malaysia menjadi lebih maju, makmur dan mampu bersaing.

“Negara kita sepatutnya lebih bersatu padu dan harmoni tetapi ia tidak begitu kerana kegagalan kepimpinan dan pentadbiran UMNO-BN,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata kaum Cina tidak perlu terpengaruh dengan pujuk rayu atau ugutan UMNO-BN, termasuk amaran daripada Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang mahu mereka supaya tidak “eksperimen” dalam PRU akan datang kerana kononnya BN telah menjadikan mereka makmur.

Menurutnya, kaum Cina perlu bangkit sebaga naga untuk bersama-sama dengan semua kaum di Malaysia bagi mengubah kerajaan dalam PRU akan datang. – Roketkini.com