Berita

Ekonomi bersih dan adil akan makmurkan negara, kata DAP

Gambar ehsan http://www.facebook.com/buletinmutiara

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Hanya dasar ekonomi yang bersih, adil, berdaya saing, meningkatkan taraf hidup rakyat serta membawa pulang pakar-pakar kembali ke tanah air dapat menjayakan transformasi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Tahun Baru Cina kali ini dengan perwatakan naga air adalah masa permulaan yang paling sesuai untuk rakyat Malaysia melakukan perubahan dan trasnformasi besar itu.

“Amalan sekarang yang korup, lapuk tanpa tender terbuka dan hanya menguntungkan kroni akan merudumkan Malaysia,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina 2012.

Menurutnya, kegagalan Malaysia bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa dibebankan lagi dengan penghijaran pakar-pakar dan tenaga kerja tempatan ke luar negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata pihak kerajaan UMNO-Barisan Nasional sendiri telah mengakui bahawa lebih 2 juta rakyat Malaysia telah meninggalkan negara sejak Merdeka.

“Malah ramai rakyat Malaysia yang mempunyai status pemastautin tetap (PR – permanent resident) di negara-negara asing termasuk menteri dan bekas-bekas menteri kita,” tambah beliau.

Beliau menjelaskan tiada siapa yang menyalahkan dua juta rakyat yang telah berhijrah ini kerana dasar-dasar yang telah dan sedang dilaksanakan oleh UMNO-BN lebih menekankan kepada politik pecah-belah dan politik benci, dan bukannya berteraskan prestasi yang mencipta hasil dan kejayaan.

Beliau turut memberi contoh bagaimana guru-guru sementara sekolah rendah jenis kebangsaan Cina yang dikurangkan faedah mereka tanpa sebarang rundingan.

Katanya jika kerajaan UMNO-BN menambah atau sekurang-kurangnya mengekalkan faedah yang mereka terima selama ini, peruntukannya tidak akan mencecah RM250 juta seperti mana yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFC) untuk menternak lembu tetapi sebaliknya wang digunakan bagi membeli kondominium mewah.

“Mengapa membenarkan segelintir kroni mendapat untung besar luar biasa sedangkan 28 juta rakyat Malaysia merana?

“Sebagai contoh, untuk membina Lebuhraya Utara-Selatan memakan belanja RM6 bilion. Tetapi syarikat pengendali tol sudah mengutip RM24.3 bilion pada 31 Disember 2010 dan dibenarkan untuk terus mengutip tol sehingga tahun 2038, dan menaikkan tol setiap tahun!” katanya.

Seperti yang dijelaskannya sebelum ini, beliau menyatakan bahawa oleh kerana syarikat pengendali tol telah membuat keuntungan RM18. 3 bilion, tidak ada sebab mengapa tol tidak boleh dimansuhkan sama sekali.

Guan Eng yang juga Adun Air Putih berkata lebih ramai rakyat Malaysia akan meninggalkan negara jika kerajaan pusat UMNO-BN terus menyalahkan kaum Cina khususnya apabila dasar-dasar dan program-program mereka gagal serta menjadikan kaum Cina sebagai kambing hitam untuk menakutkan orang Melayu.

“Bagaimana orang Cina Malaysia boleh menjadi ancaman kepada orang Melayu apabila semua sektor-sektor penting ekonomi masa kini seperti perbankan, insurans, pelabuhan, konsesi tol dan infrastruktur lebuh raya, industri kenderaan, pengeluar tenaga bebas (IPP), gula, beras, tepung, hasil-hasil perladangan, minyak dan gas semuanya sudah didominasi oleh (korporat) Melayu?

“Kita mesti membesar dengan yakin kepada kebolehan kita sendiri, saling percaya-mempercayai dan bertekad bahawa sebagai rakyat Malaysia, kaum Melayu dan bukan Melayu, sama-masa boleh menjadi jaguh dunia.

“Anak-anak Melayu dan bukan Melayu mesti membesar dalam suasana di mana mereka saling hormat-menghormati antara satu sama lain, dan hanya membenci korupsi,” ujarnya.- Roketkini.com