Budaya

Kedai Harapan – Oleh Abdul Rahim Salleh

Cerpen

Petang-petang selepas sekolah, kalau abah tak benarkan keluar dari rumah, tempoh itu akan aku penuhi dengan menghadap luar melalui tingkap nako dari bilik tidurku.

Di luar tingkap, aku dapat menonton kesibukan rakan dan orang-orang sependuduk dengan kampung aku. Maklumlah, rumah abah ini betul-betul menghadap jalan utama, menghadap deretan pasar yang bersambung dengan kedai-kedai yang bersenibinakan citarasa peninggalan penjajah British dahulu.

Tambahan, rumah kami ini disewa melalui seorang pemilik berketurunan Cina. Ianya sebuah rumah kedai, di bawah tuan punya kedai Pak Cik Wong kami gelar dia, menyambung legasi ‘kedai kopi cina’ oleh bapanya sejak entah-bila.

Jadi, setiap kali aku didenda abah dari keluar rumah, itulah rutin harian ku. Melihat telatah orang ramai. Tetapi, dalam banyak-banyak telatah itu, ada suatu perasaan ingin tahu yang kuat dalam diri ini – yakni, kenapa ada sebuah kedai berpapan tanda ‘Kedai Harapan’ yang mana pengunjungnya tidak putus-putus datang.

Di kedai itu, setiap petang, setiap hari ku lihat pelbagai jenis manusia masuk. Anehnya, kesemua yang masuk itu bermuka muram, masam. Lebih pelik sekali ialah, apabila mereka keluar dari Kedai Harapan itu, wajah mereka berseri, senyuman tak lekang, malah ada sesetengah dari mereka yang menjerit kegembiraan.

Persoalan ini membawa kepada ragu-ragu, lalu pada suatu hari ketika aku dan abah menikmati makanan tengah hari disediakan ibu, aku bertanya pada abah.

“Abah, Kedai Harapan tu kedai apa, bah?”

“Apasal, Man?”

“Entah. Man tengok semua yang masuk kedai tu keluar ja dia orang jadi seronok…”

“Kau patut tanya mak kau.”

“Kenapa ya, mak?” soal aku setelah abah pun acuh tak acuh sahaja dengan soalan aku lagi pun.

“Kau tanya abah lah. Mana mak tau.”

*

*

Suatu hari selepas waktu sekolah, sengaja aku tidak pulang ke rumah, sebaliknya aku terus melencong masuk ke Kedai Harapan.

“Eh, adik tak boleh masuk. Tolong keluar,” kata seorang perempuan muda, sebaik melihat aku menjejak kaki ke dalam kedai itu.

“Kenapa?” soal aku.

“Ini bukan untuk budak-budak.”

“Kenapa pula?”

“Ini undang-undang kedai ini, dik. Maaf ya. Tolong keluar ya, dik. Nanti kalau bos akak nampak, dengan adik sekali dia marah.”

Semenjak itu, aku sudah tidak ambil peduli lagi.

*

*

Selepas hampir tujuh tahun meyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian luar negaa, akhirnya aku pulang. Abah dan ibu sudah dimakan usia. Boleh dilihat dengan jelas wajah mereka berdua, kedut-kedut yang ketara itu menakutkan aku. Aku takut mereka meninggalkan aku – satu-satunya anak mereka. Biarlah, kehidupan akan bersilih ganti.

Selepas bersalaman, berdakapan dengan kedua mereka, ibu membawa aku ke bilik lama aku. Bilik itu masih tidak berubah, masih sama seperti mana kali terakhir aku tinggalkan lebih tujuh tahun dahulu. Cadar, langsir, poster-poster kugiran yang aku minat suatu ketika dulu masih ada. Tidak tersentuh.

Malah, komputer pemberian abah waktu hari jadi aku yang ke-15, masih kekal. Yang berubah ialah habuk-habuk tebal. Maklumlah, lebih tujuh tahun tidak jejak kampung.

Sewaktu aku membelek-belek komputer dan mencuci habuk-habuk komputer itu, aku terperasan tingkap nako itu. Ku buka tingkap tersebut dan ku lihat, deretan kedai sudah berubah wajah. Pasar, menurut abah, sudah ditutup kerana tidak jauh dari situ sudah terdiri sebuah pasar raya baru yang lebih canggih dan murah.

Sambil mendengar celoteh abah, aku perhatikan setiap kedai dalam deretan itu. Kedai runcit yang selalu aku beli ‘ice-pop’ sudah ditutup, kedai ubat Cina sebelahnya itu juga.

Dan yang lebih menakjubkan, dalam deretan kedai itu, cuma satu kedai sahaja yang masih buka, malah ketika aku asyik melihat persekitaran, masih ada manusia yang masuk-keluar.

Jenis manusia yang sama, walau berlainan individu, mereka masuk dengan wajah muram durja, dan keluar dengan kegirangan.

Lantas aku tanya abah. Jawap abah, aku yang sepatutnya cari sendiri jawapannya.

Cepat-cepat aku tinggalkan abah dan ibu yang masih tolong aku mengemas bilik untuk turun ke bawah.

Pak Cik Wong tegur, tetapi aku buat tidak heran dengan dia. Setelah bertahun-tahun, persoalan aku yang tak pernah terjawab oleh sesiapa, lebih penting. Pak Cik Wong aku boleh tegur balik sekejap lagi. Tetapi, apa yang terpendam dalam hati ini, sangat-sangat berkehendakkan jawapan pasti.

Dan di depan Kedai Harapan, ku buka pintu, langkah masuk, dan aku lihat kakak penjaga kedai itu sudah berganti dengan seorang lelaki berketurunan India. Badannya besar, gagah, mungkin kerana selalu pergi gym, aku fikir. Biarlah, bukan kerja aku untuk tahu siapa dia.

“Bro, lu nak apa?” soal lelaki itu.

“Saja nak masuk. Dah nama pun kedai,” balasku langsung tidak memerhatikan matanya.

“Ko blah sekarang bro sebelum kau tak nampak pintu masuk,” balasnya.

‘Eh, nak berpantun plak mamat ni. Rilek la. Aku nak tau aja, ini kedai apa,’ kata aku, dalam hati sahajalah. Tak berani aku bersuara dan berbalah dengan lelaki bersuara garau ini.

“Tolong blah!”

Dan itu adalah perkataan terakhir aku dengar sebelum aku undur keluar dari kedai itu.

*

*

Dari seberang jalan, Pak Cik Wong yang sedang duduk minum kopi di kedainya itu, memerhatikan aku.

Aku balas senyumannya, tetapi aku tak pasti sama ada dia nampak aku senyum atau tidak.

“Sorry Uncle, saya nak pergi tengok Kedai Harapan. Sebab itu tak sempat tegur Uncle tadi.”

“Kedai Harapan?” soal Pak Cik Wong sebelum menyambung, “Heh.”

“Kenapa Uncle?” soal aku.

“Man, lebih baik awak jangan masuklah kedai tu.”

“Kenapa Uncle?” soal aku lagi, sedikit membuak-buak. Aku terperasan peluh di dahi sudah jatuh ke mataku.

“Itu kedai jual dadah…” – Roketkini