Budaya

Wanita tukang urut – Oleh Wira Andika

Cerpen

Riuh rendah dengan jeritan dan pekikan. Semua yang sedang minum di restoran tercengang-cengang. Sambil berlari anak, pelanggan-pelanggan lain di kedai mamak juga keluar melihat apa yang bising itu tadi. Di luar kedai, masing-masing cuma melihat dari jauh sahaja.

Pergaduhan dua orang wanita dalam usia pertengahan 30-an menarik perhatian orang ramai. Kelihatan adegan tarik-menarik rambut sampai ke pakaian yang  jarang-jarang dapat dilihat kini berlaku di depan mata orang ramai.

Kedua-dua tidak melepaskan gengaman, tiada yang mahu mengalah. Cengkaman begitu kejap sehingga menyakiti pihak lawannya, terdengarlah erangan menahan kesakitan dan disulami dengan caci maki yang aku tidak fahami.

Agak pelik, tiada sesiapa pun di antara kami pelanggan kedai yang datang membantu meleraikan perkelahian itu. Namun, beberapa ketika, datang seorang lelaki yang mahu menyudahkan pergelutan itu. Tetapi tidak juga, kudrat si lelaki yang kelihatan gagah ditenggelami oleh kekuatan nafsu amarah wanita-wanita itu.

Sehingga datang lagi beberapa lelaki membantu meleraikan pergaduhan dua wanita itu. Setelah lebih lima belas minit bergelut, akhirnya terlerai juga cengkaman rambut dua wanita yang merah masam muka mereka.

Pelanggan kembali masuk ke dalam ruang kedai yang tadinya ditinggalkan sebentar. Masing- masing mula bercerita tentang drama sebentar tadi. Ia menjadi topik perbualan aku dan teman-teman.

Mentafsir

Seperti lelaki biasa yang punya ego dan bangga diri, aku yang tidak berani berbuat apa-apa sewaktu drama tarik rambut tadi, turut meluahkan teori kedai kopi. Bagi ku, pergaduhan itu terjadi kerana dunia wanita tersebut terlalu kecil, dari penjuru bangunan restoran hinggalah ke hujung bangunan dalam blok yang sama.

Di sinilah tempat mereka mencari makan itu, inilah dunia mereka. Mereka tidak bebas seperti aku dan kawan-kawan yang boleh ke mana sahaja. Bagi aku, jika mereka mempunyai ruang dan dunia yang lebih besar atau luas, munkin drama pergelutan menarik rambut itu tidak akan berlaku di khalayak.

Tuduhan aku munkin kerana perebutan pelanggan di antara dua wanita tersebut yang menjadi pencetus pertelingkahan. Wanita-wanita ini kerjanya menawarkan perkhidmatan mengurut di sebelah atas berdekatan restoran yang sedang aku nikmati teh tarik itu.

Mereka memerlukan ruang yang adil, sumber rezeki mereka adalah dengan mendekati dan memujuk pelanggan untuk khidmat mereka. Kegiatan ekonomi mereka lebih bersifat, siapa cepat dia dapat.

Sambil aku berbual tentang itu, ada kawan yang ketawa.

“Apalah engkau ni, perempuan tarik rambut depan kita, kau nak berfalsafah pula.”

Aku diam, tidak mengendahkannya. Aku tahu dia pun sesekali menjadi pelanggan rumah urut juga. Bukan yang ini tapi di tempat lain. Tapi kerana kawan ku ini tidak pernah menggunakan alasan agama untuk justifikasi apa-apa kegiatan sampingannya, dia tetap kawan aku.

Suasana hening seketika. Hanya dalam hati ku, wajah-wajah wanita yang bergaduh tadi membayangkan mereka juga manusia seperti kita, mencari nafkah. Tidak kiralah apa hukum moral yang ingin kita letakkan buat mereka, tetapi urusan cari makan atau perniagaan mestilah adil dan dilindungi.

Kehendak

Tahukah kita apakah kehendak mereka ini? Adakah kerana mereka memang bercita-cita mahu bekerja di jalan seperti itu? Nasib mereka belum tentu dapat diubah, walau harapan setinggi gunung untuk hidup seperti kita dianggap sebagai kehidupan yang lebih bermoral dan normal ini.

Malah, kadang-kadang aku lihat tidak banyak bezanya wanita tukang urut yang berskirt mini itu dengan ahli-ahli politik dan pelobi mereka yang sanggup berbuat apa sahaja demi wang dan kadangkalanya kuasa.

Pertelingkahan tadi cuma sekecil jari telunjuk dosa yang kita nampak dan perkatakan. Maka kita menjadi hakim, menjatuhkan hukum kepada mereka. Mungkin kerana skirt mereka terlalu pendek, baju mereka terlalu ketat, dan tentunya difikirkan lebih dari sekadar mengurut badan-badan lelaki yang letih dan penat.

Tetapi pernahkah kita bertanya tentang dosa orang yang mengunjungi wanita-wanita itu, terfikirkah dosa kita sendiri yang hanya pandai menuding jari tanpa berbuat apa-apa? Di kala itu, tanpa sedar, aku tunduk sendirian.

Aku dan ramai lagi mereka yang merasakan diri sebagai normal hanya mampu meletakkan dosa dan kesalahan di bahu wanita-wanita ini.

Seperti kita semua, wanita-wanita ini juga mahu kebebasan. Mungkin pekerjaan mereka kerana terpaksa, ada juga yang menjadi pilihan. Tetapi siapakah kita yang mahu berlagak menentukan hidup orang lain? – Roketkini.com