Rencana

Dua cebis sejarah – Oleh Fairuz Azhan

I. Caligula

Gaius Julius Caesar Germanicus dikatakan lahir pada 31 Ogos tahun 12 Masihi. Beliau diberi nama timangan ‘Caligula’ oleh ayahandanya Gemanicus yang bermaksud ‘kasut kecil’. Germanicus merupakan seorang jeneral terbilang dan juga anak saudara kepada pemerintah Caesar pada zaman tersebut, iaitu Tiberius.

Dari situlah bermulanya sejarah hitam pemerintahan empayar Rom.

Apabila Germanicus meninggal dunia di Antioch pada 19M, isterinya Agripina telah pulang ke Rom bersama enam anaknya. Perkelahian penuh dendam antara Agripina dan Tiberius menyaksikan seluruh keluarganya musnah dan hanya Caligula sahaja yang terselamat. Apabila Tiberius meninggal dunia pada 37M, Caligula mewarisi gelaran ‘Ceasar’ dan menjadi orang paling berkuasa di Rom.

Tindakan pertama Caligula adalah untuk menjadi popular. Lantas, beliau memberikan bonus kepada kesemua askar-askarnya. Juga untuk menjadi popular, beliau kerap mengadakan pertunjukan gladiator. Biar pun ia amat menekan perbendaharaan negara, semuanya dikorbankan untuk menjadi popular.

Rom mengalami krisis kewangan sekitar 38M. Ini ditambah dengan segala projek gemilang, cemerlang, dan terbilang 1Rom, antaranya, ‘Temple of Augustus’, ‘Teater Pompey’ dan trek lumba sarkas Gaius-Nero.

Segala politik wang dan projek mega telah menjahanamkan kewangan kerajaan. Apabila wang sudah tiada, beliau memohon rakyatnya yang kaya supaya memberi pinjaman kepada kerajaan. Dan selepas itu, segala cukai dinaikkan termasuk cukai perkahwinan dan pelacuran. Tidak cukup dengan itu, beliau melelong nyawa para gladiatornya.

Kesemua sanak saudaranya juga dibunuh kerana Caligula tidak percaya kepada sesiapa dan mereka yang dekat dengannya mahu membunuhnya demi merampas kuasa.

Namun akhirnya beliau terbunuh oleh pengawal peribadinya sendiri, walau pun sejarawan berpendapat pembunuhan itu adalah konspirasi dewan senat Rom yang mahu kuasa dikembalikan kepada republik, dan bukan dipegang oleh seorang diktator.

II. Hitler

Penubuhan Parti Pekerja Sosialis Kebangsaan Jerman (Nazi) bermula dengan keadaan yang sangat daif – dengan hanya tujuh orang ahli. Malah, kad keahlian Adolf Hitler dicatatkan nombor 555, bertujuan menipu orang ramai untuk menyangkakan bahawa terdapat lebih 500 ahli semasa parti ditubuhkan. Sebenarnya Hitler adalah ahli nombor 5.

Parti Nazi sekadar menyebarkan risalah-risalah politik di tepi kaki lima dan memberi pidato di jalanan. Sejak awal lagi ia merupakan sebuah parti yang sangat ekstrem dengan dua pegangan – mahukan kuasa secara total dan menyemai kebencian terhadap sesiapa sahaja yang dianggap musuh.

Dalam kata-kata terkenal ketua propaganda mereka Joseph Goebbels, sebuah parti hanya kuat jika pengikutnya semuanya bersifat fanatik, dan fanatisme itu hanya boleh dicipta dengan menyemai kebencian. Mangsa-mangsa kebencian ini ialah golongan Yahudi, Slav, Gypsy, komunis, sosialis, demokrat sosial, kapitalis, golongan LGBT, golongan OKU atau sesiapa jua yang bukan berketurunan Arya (baca:kulit putih Eropah Utara).

Meski pun wawasan Hitler sangat ekstrem dan pada mulanya tidak diterima oleh masyarakat umum, tiada pihak tampil untuk menghalang beliau kerana semua orang menganggap beliau  gila dan tidak mungkin berkuasa.

Kesan kekalahan Perang Dunia Pertama (1914-18) yang menyebabkan Jerman lemah dalam pelbagai segi termasuk ekonomi menjadikan rakyat marah dan tidak puas hati. Kerajaan baru pula tidak stabil. Komunis dan demokrat sosial bermusuhan. Rakyat mula meluat dengan mereka.

Kesempatan ini diambil oleh Hitler dan parti Nazi. Dengan menyalahkan kaum Yahudi warga Jerman, ramai semakin terpengaruh. Bila menderita tekanan hidup, manusia mudah menyalahkan orang lain. Kaum Yahudi adalah sasaran yang mudah bagi mereka.

Apabila cuba merampas kuasa dalam sebuah pub di Munich, Hitler dipenjarakan seketika. Dia masih tidak dianggap ancaman serius. Dalam penjara, beliau menghabiskan masa dengan menulis sebuah buku bernama Mein Kampf (Perjuanganku) yang menjadi kitab utama Parti Nazi.

Selepas dibebaskan, parti Nazi semakin popular tetapi masih di tangga ketiga di belakang parti komunis dan demokrat sosial. Selepas pilihan raya yang membentuk kerajaan campuran, Hitler dilantik sebagai Canselor (sama seperti perdana menteri atau presiden)

Parti komunis dan demokrat sosial menyangka mereka bijak apabila meletakkan syarat bahawa walau pun Hitler menjadi ketua kerajaan, Nazi hanya diberi satu jawatan menteri manakala lainnya dikuasai oleh komunis dan demokrat sosial.

Kebodohan komunis terserlah apabila mereka mematuhi watikah Joseph Stalin selaku pemimpin gerakan komunis antarabangsa pada dekad 1930-an, iaitu parti komunis di Jerman diharamkan bekerjasama dengan demokrat sosial kerana dianggap musuh kepada komunisme.

Dengan ini Hitler telah mengambil peluang untuk menghancurkan kedua-dua parti tersebut. Pelbagai masalah keselamatan dalam negeri diciptanya sehingga membolehkan menggunakan kausa untuk mengisytiharkan undang-undang darurat.

Pada masa itu semua pemimpin dan ahli parlimen komunis serta demokrat sosial ditangkap dan dihumban ke penjara, dan kemudian dihantar ke kem tahanan. Kem tahanan ini menjadi eksperimen yang kemudiannya dihantar pula kaum Yahudi untuk dibunuh secara beramai-ramai.

Pada zaman pancaroba itu, satu pilihan raya diadakan di mana semua jentera kerajaan telah pun dikuasai orang-orang Nazi dan tentunya parti Nazi menang besar. Parlimen Jerman di bawah Nazi meluluskan usul memberi kuasa diktator kepada Adolf Hitler.

Maka bermulalah episod malang pemerintahan Reich Ketiga bagi Jerman dan seluruh dunia di mana pecahnya Perang Dunia Kedua mulai 1939 hingga 1945.

Kebangkitan diktator Nazi berpunca daripada sikap kebanyakan rakyat Jerman sendiri. Walau pun mereka tahu parti itu ekstrem, mereka memandang remeh kerana menganggap idea-idea Hilter terlalu bodoh dan tidak mungkin boleh dilaksanakan.

Kebanyakan mereka juga tidak peduli dengan apa yang Hitler mahu lakukan kepada orang Yahudi kerana kaum itu adalah golongan minoriti. Juga sikap acuh tak acuh rakyat yang memikirkan bahawa politik hanya untuk golongan elit dan berpendidikan menyebabkan mereka tidak sedar apabila hak asasi dan demokrasi mereka dirampas sebegitu rupa.

Mereka khayal dengan dendangan Hitler dan parti Nazi yang mengaku juara ketuanan kaum. Mereka tumpang gembira dengan jaminan Hitler bahawa perjuangan Nazi adalah demi bangsa dan negara.

Mereka terpaksa merelakan diri menerima pemerintahan kuku besi kerana Hitler telah menjanjikan untuk mempertahankan hak kaum kulit putih daripada dirampas oleh kaum-kaum lain, walau pun ada ramai rakyat Jerman sedar bahawa ia hanyalah fitnah dan pembohongan semata-mata.

Sebagaimana kata-kata Benjamin Franklin, “Sesiapa yang mengorbankan kebebasan untuk mendapatkan sedikit jaminan keselamatan, akhirnya akan kehilangan kebebasan dan keselamatan.” – Roketkini.com