Rencana

Antara kemungkaran dan kebenaran – Oleh Zairil Khir Johari

29 JANUARI – Fenomena penyertaan orang Melayu dari pelbagai kelompok termasuk aktivis kesatuan sekerja, veteran UMNO dan graduan UiTM kepada DAP baru-baru ini mungkin boleh difahami dalam kerangka menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.

Tidak menghairankan bahawa isu ini sedang hangat dibicarakan, terutama sekali di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang seolah-olah teruja dengan sesuatu perkara yang sebenarnya tidaklah luar biasa sangat.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah menyindir bahawa DAP tidak pernah membela kepentingan orang Melayu manakala Ketua Puteri UMNO pula menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menganaktirikan masyarakat Melayu di sana.

Saya merasa kesian ke atas pemimpin-pemimpin UMNO yang hanya mampu melihat dunia melalui lensa perkauman. Akibatnya, mereka sudah rabun dengan kebenaran di depan mata.

Pengorbanan pemimpin DAP tanpa mengira kaum

Lebih sedekad lalu Setiausaha Agung DAP yang kini merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak teragak-agak untuk membela seorang anak gadis Melayu yang tercabul, sehingga beliau sendiri terpaksa meringkuk dalam penjara akibat dimangsakan oleh undang-undang yang berat sebelah.

Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya yang bertaraf Puteri atau Putera, malah Pemuda, tidak tahu atau tidak mengingati akan insiden ini.  Atau pun pemimpin-pemimpin UMNO sengaja tidak mahu ingat kerana yang terlibat itu adalah seorang pemimpin daripada kalangan parti mereka.

Walau bagaimanapun, perjuangan dan pengorbanan Lim Guan Eng serta para pemimpin DAP sejak lebih 45 tahun lalu membuktikan bahawa DAP adalah parti yang membela sesiapa sahaja yang ditindas, tanpa mengira warna kulit atau agama.

Program kebajikan DAP dan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang

Di negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah mengambil macam-macam langkah untuk membantu semua lapisan masyarakat.

Program-program kebajikan sosial yang disasarkan kepada pelbagai golongan seperti warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya, keluarga-keluarga muda serta pelajar-pelajar sekolah dan universiti adalah contoh-contoh dasar yang membantu golongan masyarakat yang paling memerlukannya.

Dasar ini jelas tidak bersifat perkauman. Namun, rata-rata golongan yang paling banyak menerima bantuan adalah masyarakat Melayu yang selama ini dipinggirkan dan disia-siakan oleh Kerajaan UMNO yang kononnya memperjuangkan kepentingan mereka.

Pembangunan Islam di Pulau Pinang

Tambahan pula, sebagai langkah untuk memartabatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menggandakan peruntukan untuk hal-ehwal agama Islam berkali-kali ganda.

Di bawah pemerintahan UMNO-BN, peruntukan untuk hal-ehwal Islam hanya RM12 juta setahun. Di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat pula, jumlah ini telah dinaikkan setiap tahun sehingga peruntukan untuk tahun 2012 sudah pun mencecah RM64 juta, iaitu lima kali ganda lebih.

Peruntukan besar ini merangkumi usaha-usaha untuk, antara lainnya, pembesaran tapak perkuburan Islam, pembangunan Sekolah Agama Rakyat, elaun-elaun untuk pegawai masjid, guru KAFA, para Huffaz serta progam-program sambutan kebesaran Islam (yang mengikut UMNO tidak disambut sama sekali di Pulau Pinang). Tidakkah ini membantu masyarakat Islam yang rata-ratanya orang Melayu?

Tender terbuka untungkan Melayu berkelayakan

Dalam hal ekonomi pula, sistem tender terbuka yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah menampakkan kejayaan kontraktor-kontraktor Melayu yang selama empat tahun sejak perlangsungannya telah memenangi lebih 70 peratus daripada semua tender Kerajaan Negeri.

Lebih penting sekali, mereka telah berjaya secara sah dan tanpa bantuan atau pengaruh politik. Dalam erti kata lain, bukan sahaja usahawan-usahawan Melayu telah berjaya dalam suasana persaingan, mereka juga dimartabatkan kerana berjaya atas daya usaha mereka sendiri.

Sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO merasa bahawa warga Melayu di Pulau Pinang berada dalam keadaan tertindas dan tidak maju, bukankah itu salah kerajaan BN yang telah memerintah selama lebih 50 tahun di Pulau Pinang?

Masalah Melayu berpunca dari pemimpin UMNO

Kini, Kerajaan Pakatan Rakyat sedang giat berusaha untuk menyongsangkan kemelut yang dihadapi masyarakat Melayu, namun hakikatnya kemunduran akibat pemerintahan yang rakus dan tamak selama 50 tahun tidak boleh dibaiki dalam tempoh yang terlalu singkat.

UMNO sudah tidak layak untuk membela nasib orang Melayu. Ini kerana mereka hanya tahu satu jalan penyelesaian, iaitu dalam bentuk skim cepat kaya yakni Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan syarikat-syarikat penjana tenaga elektrik bebas (IPP),  konsesi-konsesi berat sebelah dengan syarikat-syarikat pengendali tol lebuhraya, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarga seorang menteri dan juga penyenaraian Felda Global Ventures yang bakal menguntungkan segelintir kroni elit.

Jika pemimpin-pemimpin UMNO menuduh kononnya masyarakat Melayu di Pulau Pinang seolah-olah dianaktirikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, maka rakyat Melayu di seluruh Malaysia sudah semakin sedar tentang Kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang mengambil kesempatan ke atas mereka untuk kepentingan dan keuntungan diri sendiri.

Kenapa Melayu menyertai DAP?

Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menganaktirikan sesiapa pun. Yang melemahkan orang Melayu adalah pucuk pimpinan UMNO yang mahu mengekalkan kuasa melalui kebergantungan orang Melayu kepada UMNO. Dalam erti kata lain, kuasa UMNO adalah kemudaratan orang Melayu.

Kerana itu, tidak hairanlah kenapa orang Melayu yang makin celik dan sedar akan kemungkaran UMNO tidak akan takut lagi untuk memilih DAP yang mengutamakan rakyat Malaysia dan menawarkan siasah baru yang berteraskan demokrasi, hak asasi dan peluang saksama.

Di antara kemungkaran dan kebenaran, pilihannya senang. – Roketkini.com

Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP