Budaya

Hak untuk berbeza pendapat: Mengenali Lim Kit Siang – Oleh Muhammad Nazreen

30 JANUARI – Setelah beberapa ketika cuba menghadam buku ‘Hak Untuk Berbeza Pendapat’ , buku yang merakamkan serba sedikit perjalanan politik Lim Kit Siang, saya terpanggil untuk mengulas beberapa isu yang cuba diterjemahkan sebagai signifikannya beliau ( Lim Kit Siang ) dalam melalui perjalanan yang berliku-liku dalam menegakkan demokrasi di Malaysia melalui jalan politik.

Buku ini ditulis melalui wawancara Dr. Ooi Kee Beng dalam memahami jalur pengalaman beliau dalam selok belok antara veteran politik terpenting di Malaysia, sudahpun begitu, saya kira wawancara ini dilihat terlalu berhati-hati dan diteliti dengan baik sekali supaya tidak memberikan peluang kepada musuh politik beliau menyerangnya.

Pertama sekali, sentuhan wawancara ini dibahagikan kepada tiga bahagian penting yang tidak dipisahkan perjalanannya tetapi lebih senang untuk para pembaca menelusuri ruang sejarah politik beliau sebelum dan selepas peristiwa besar yang sangat berkait rapat dengan kisah hidup beliau.

Isu rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan titian yang terpaksa dihadapi beliau pasca peristiwa itu sekalipun beliau bukanlah watak langsung yang harus dituding bahkan merupakan tokoh yang dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menutup tragedi malang itu.

Zaman remaja dan politik perjuangan rakyat

Bahagian pertama yang terkandung di dalam buku ini lebih dekat untuk membawa para pembaca kepada kisah silam tokoh politik DAP yang sudah lama tersusun dalam perjuangan demokrasi di Malaysia ini untuk memahami sebab dan perjalanan awal politik beliau.

Rangkaian wawancara bahagian pertama ini lebih menunjukkan latar belakang beliau secara peribadi berkenaan kekeluargaan, pendidikan awal dan yang paling penting adalah alasan-alasan beliau untuk sedia menyertai perjuangan politik dan merealisasikan cita-cita bangsa Malaysia yang harmoni dan aman damai.

Bahagian ini juga serba sedikit berkenaan kisah hidup beliau secara peribadi mengenali beberapa tokoh awal dalam DAP misalnya perkenalan beliau dengan C.V Devan Nair (Mantan presiden Republik Singapura) dan seterusnya menjadi Setiausaha Politik kepada Devan Nair ketika beliau masih menyandang jawatan sebagai wakil rakyat di Bangsar.

Selain itu, apa yang menarik untuk kita faham dalam bahagian pertama adalah kerjaya Lim Kit Siang sebagai wartawan yang cukup diketahui sebagai langkah perubahan beliau yang utama untuk menyertai politik. Ini adalah antara sebab kenapa buku ‘Hak Untuk Berbeza Pendapat’ ini penting untuk memahami pemikiran politik Lim Kit Siang pada awal usianya.

Peri pentingnya juga dalam bahagian pertama, perjalanan awal politik Lim Kit Siang dapat dikesan menerusi beberapa pertimbangan berwibawa sehingga beliau dijemput untuk menjadi orang tengah yang menyaksikan perjanjian di antara National Trade Union Congress ( NTUC ) dan Amalgamated Union of Public Employee ( AUPE ) pada 15 Oktober 1965 di antara G.Kandasamy, Setiausaha Agung AUPE dan dan C.V Devan Nair yang ketika itu mewakili Jawatankuasa Pusat ( NTUC ) berikutan beberapa kemelut tentang pekeliling yang dikeluarkan mengganggu gugat persepakatan kedua-dua Kesatuan Sekerja yang terbesar di Singapura ketika itu.

Seterusnya, bahagian kedua di dalam buku ini saya kira merupakan bahagian terpenting untuk memalitkan pegangan politik Lim Kit Siang dan mendekati visi sebenar ‘Malaysian Malaysia’ yang bangun berteraskan intergriti dan semangat perpaduan kaum yang mengimpikan Malaysia yang makmur.

Setelah itu, bahagian ini merupakan kesan penting dalam kehidupan politik beliau yang dimana catatan tragedi 13 Mei 1969 adalah lonjakan perubahan utama dan tekanan politik daripada pihak Perikatan kepada parti pembangkang termasuk DAP menyebabkan beliau ditahan ISA buat kali pertama dan terpaksa meringkuk selama 18 bulan disoal-siasat atas tuduhan menghasut dan mencetuskan kacau bilau atas nama perkauman.

Tetapi isu penting yang cuba diperjuangkan DAP khususnya Lim Kit Siang adalah cita-cita demokrasi sepertimana sambutan kekalahan Perikatan pada 10 Mei 1969 memperlihatkan arus demokrasi di Malaysia di tahap tertinggi tetapi berikutan tragedi malang 13 Mei, Perikatan mengambil langkah deras yang bertentangan dengan aspirasi rakyat atas alasan menghalangi peristiwa malang itu terjadi di masa hadapan.

Berikutan itu, MAGERAN dilancarkan walaupun perbahasan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan 1971 oleh Lim Kit Siang ( Lihat Sisipan 11) menolak tindakan yang langsung tidak demokratik untuk menutup ruang-ruang parti pembangkang mendapat hak politik yang sepatutnya.

Manakala, bahagian terakhir iaitu bahagian ketiga membingkaskan beberapa strategi politik beliau terutamanya sebagai ‘tulang belakang’ DAP dalam catur untuk memperkuatkan parti. Hal yang diperkatakan di dalam bahagian ini lebih berbaur kepada beberapa langkah penting yang diambil DAP dalam menumbangkan Perikatan ( kini: Barisan Nasional) terutamanya pada tahun 1990, dimana Gagasan Rakyat diperkenalkan dan seterusnya tindakan DAP menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah dan langkah meninggalkan Barisan Alternatif selepas kekecewaan pada kekalahan besar pada Pilihan raya Umum 1999 dimana tokoh-tokoh besar dalam DAP seperti beliau sendiri dan Karpal Singh telah kalah dalam beberapa kerusi.

Bahagian ini turut mengupas era DAP pasca 8 Mac 2008 yang lebih dikenali sebagai ‘tsunami politik’ tentang rancangan dan masa depan DAP di dalam Pakatan Rakyat (terbit menerusi kerjasama dominan PAS, PKR dan DAP) setelah berjaya beberapa negeri daripada Barisan Nasional pada PRU- 12 yang lalu.

Wawancara bahagian akhirnya turut menangkap para pembaca untuk memahami perjalanan DAP setelah mereka berjaya mentadbir negeri Pulau Pinang dengan CAT (cekap, akauntabel, telus) dan membuktikan mereka berjaya melaksanakannya.

Tema dan pemikiran yang digagaskan Lim Kit Siang

Sejujurnya, saya menganggap pandangan politik Lim Kit Siang ini adalah beberapa rangkuman dasar yang cuba DAP tawarkan di dalam gelanggang politik tanah air. Jadi, saya menganggap sewajarnya jika kita mahu mendekati pemikiran dan tawaran DAP umumnya, kita harus menggarap tema-tema yang saya kira diperjuangkan oleh Lim Kit Siang sendiri.

Dengan hasil wawancara yang diterbitkan ini, saya menganggap bahawa beberapa hasil sisipan yang dilahirkan menerusi idealisme DAP memperjuangkan sosialisme demokratik terangka dalam pendapat dan keratan artikel yang pernah ditulis Lim Kit Siang sendiri. Secara peribadi, saya berpandangan hasil terbitan ‘Hak untuk Berbeza Pendapat’ sebenarnya memudahkan lagi para pembaca untuk terpaut dengan matlamat asal penubuhan DAP beserta tuntutan awal di dalam manifesto ‘ Deklarasi Setapak 1967’.

Sebagai seorang tokoh yang berdiri teguh menentang corak politik berkutubkan perkauman. Buku ini serba sedikit mengajak rakyat Malaysia mendengar dan menghayati dasar politik baru yang menekankan keabsahan tunjang demokrasi berparlimen dan nilai-nilai keutuhan liberal yang mencakupi konteks yang bertemakan keadilan sosial dan kesaksamaan tanpa mengira agama, kaum mahupun bangsa.

Jadi, dalam mendalami keteguhan Lim Kit Siang dalam menegakkan prinsip kebangsaan sewajarnya diteliti sebagai pejuang nasionalis yang mempunyai iltizam sebenar dalam hala tuju Malaysia yang akan lebih berliku-liku di masa hadapan.

Pandangan menarik Lim Kit Siang tidaklah hanya terpahat dengan kerja politik kepartian semata-mata. Di dalam buku ini, terdapat beberapa teks ucapan terpilih yang menunjukkan bahawa pada masa yang sama selain berkhidmat dalam garisan politik kepartian, Lim Kit Siang terlibat dalam beberapa debat penting yang meneladani isu-isu keperihatinan warga.

Misalnya, ketika wujud pergeseran yang besar terutama dalam isu bahasa kebangsaan dan polemik sastera Malaysia, Lim Kit Siang tampil untuk berdebat dalam satu debat bersejarah yang dirakamkan di Mini Auditorium MARA pada 24 November 1968 yang turut dikenali sebagai ‘Debat Kebudayaan DAP – Gerakan’ di antara beliau dan Dr. Syed Naguib Al-Attas mewakili Gerakan.

Selain memaparkan aspek keintelektualan Lim Kit Siang untuk membicarakan hal-hal yang tersangkut dengan kebudayaan. Buku ini turut memberikan peluang untuk memahami beberapa lagi hal yang saya kira agak dekat dengan mahasiswa dan ruang publik kampus.

Perkara ini boleh diperlihatkan dengan salinan teks ucapan ‘Mahasiswa dan Politik’ yang dianjurkan University of Malaya Students Union ( UMSU ) pada 2 April 1968 yang menegaskan peranan mahasiswa untuk memperjuangkan hak demokratik mereka di dalam negara yang berdaulat ini.

Pasca 13 Mei 1969

Huraian yang tampak ditekankan dalam wawancara bersama Lim Kit Siang ini lebih kelihatan untuk merasakan pengorbanan beliau ditahan di bawah ISA selama dua kali – pada tahun 1969 dan 1987(Operasi Lalang). Kenapa? Saya melihat buku ini serba sedikit menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan terhadap beliau secara khusus dan DAP secara umumnya tentang tragedi yang meragut nyawa rakyat yang tidak berdosa itu.

Jadi, kelihatan wawancara ini dapat memulihkan beberapa tuduhan meliar yang mengatakan Lim Kit Siang adalah di antara dalang yang menaikkan amarah sehingga terjadinya pergeseran dahsyat di antara kaum.

Salah satu, perkara yang ditonjolkan di dalam buku ini menyebut bagaimana berprinsipnya Lim Kit Siang yang sanggup pulang ke tanah air sekalipun dia tahu dia akan ditangkap sekiranya pulang ke Malaysia.

Ini merujuk kepada sidang akhbar pada 13 Mei di Singapura yang menanggapi dan mengutuk peristiwa 13 Mei. Untuk tambahan, semasa kejadian itu terjadi, beliau masih lagi di Kota Kinabalu untuk menghadiri rapat rakyat raksasa berikutan kemenangan mereka pada pilihan raya 10 Mei 1969, jadi peristiwa ini sebenarnya hampir tiada kaitan dengan beliau yang tidak tahu menahu.

Saya merasakan lakaran biografi Lim Kit Siang di dalam ‘ Hak Untuk Berbeza Pendapat ‘ ini dapat membawa pembaca untuk meneliti kisah jerih payah di sebalik tokoh politik yang sering memancarkan senyuman tatkala menghadapi musibah ini.

Sememangnya, beliau diakui sebagai salah satu tokoh yang mempunyai tahap intelektual yang hebat dan sanggup berjuang demi mempertahankan demokrasi di bumi Malaysia. Menerusi buku ini, kita dapat menghayati ehwal dan gagasan demokrasi sosial yang cuba dibawa DAP dan Lim Kit Siang demi kemaslahatan rakyat Malaysia. – Roketkini.com

 

Judul: Hak untuk Berbeza Pendapat

Penulis: Dr Ooi Kee Beng

Harga buku: RM20

Hubungi: