Budaya

Baik bos, beres… – Oleh Asi Dani

Cerpen

Nama ku Osman bin Jalailani, berumur 39 tahun, aku berasal dari daerah ini – Kubang Beruang. Aku mempunyai 5 orang anak halal hasil dari perkongsian hidup ku dengan seorang wanita bernama Asmah Mami, dia suri rumah sepenuh masa, umurnya 44 tahun. Tetapi masih lagi cun seperti Jeniffer Aniston.

Aku bekerja di Majlis Daerah Kubang Beruang, semenjak tahun 1989 lagi, ketika itu aku berjawatan pembantu tadbir atau lebih popular dengan nama kerani. Setelah 20 tahun bekerja, kini aku menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah, Jabatan Kemasyarakatan gred N32.

Syukurlah, dari jawatan yang hanya dipandang sebelah mata, kini aku berjaya mendaki ke puncak jawatan yang lebih penting dan dipandang kedua belah mata oleh masyarakat.

Pengalaman ku

Di sini aku ingin berkongsi sedikit dengan pembaca tentang pengalaman pendakian ku dari budak pejabat hinggalah aku menikmati kedudukan yang mantap hari ini.

Ketika aku diterima bekerja di majlis daerah ini, aku tidak tahu apa-apa. Menaip pun merangkak-rangkak, nak buka komputer pun aku tak tahu, pelik juga bagaimana mereka boleh menerima aku bekerja dijawatan ini. Tetapi lama-kelamaan, berkat kesungguhan dan keselambaan, aku sudah biasa dan mampu menjalankan tanggungjawab sebagai kerani.

Sepanjang 5 tahun pertama aku bekerja sebagai kerani, masa aku hanya dipenuhi dengan belajar selok-belok pentadbiran dan hal-hal pejabat. Dari cara menjawab telefon hinggalah menyususn fail-fail buruk dalam almari. Dalam tempoh itu juga, aku sering dihantar berkursus di setiap program yang dianjurkan oleh pihak swasta, kerajaan negeri atau pusat.

Pergi berkursus pada masa itu ibarat bercuti, isteri ku cukup cemburu jika melihat aku pergi ke sana ke mari berkursus. Aku merasa cukup seronok kerana dapat menginap di tempat orang, makanannya juga sedap-sedap, malah aku dapat berkenalan dengan ramai insan yang senasib dengan ku.

Pulang berkursus biasanya aku hanya melapor diri dengan ketua kerani, dan selepas itu ketua kerani aku akan bertanya jika aku mahu pergi lagi ke kursus-kursus seperti itu. Aku hanya tersenyum tanda suka.

“Osman, nanti saya nak kamu pergi kursus lagi, boleh?” Soal ketua kerani.

“Boleh bos, tapi kalau saya selalu pergi, siapa nak buat kerja-kerja di pejabat, bos?” aku menjawab dengan pertanyaan.

“Kamu pergi saja, kerja di pejabat lain tahun boleh buat. Lagi pun Big Bos nak tengok kerajinan kamu pergi kursus,” dia menerangkan.

“Baik bos,” jawab ku dengan gembira.

Menjadi CC

Selepas 7 tahun sebagai kerani, aku telah dilantik menjadi Ketua Kerani atau dengan panggilan glamour CC (Chief Clerk), menggantikan bos aku yang sudah bersara. Ketika ini aku sudah pandai sikit bergaya, maklumlah sudah ada anak buah, kenalah jaga imej.

Ketika di jawatan ini, banyak sekali selok-belok pengurusan yang aku pelajari. Selepas 1 tahun aku dilantik, aku telah mengambil peluang untuk sambung belajar secara sambilan di salah satu kolej kerajaan. Selepas 2 tahun, aku menerima segulung diploma. Maka tangga gaji aku naik sedikit, aku cukup bangga dan gembira.

Kini aku sudah belajar mengurus fail-fail berkaitan tender dan kewangan. Di sinilah aku mula mengerti serba sedikit dari mana wang gaji aku diperolehi dan siapakah yang telah mendapat tender-tender majlis daerah kami.

Mulalah aku berkenalan dengan beberapa pemilik syarikat yang menjadi klien pejabat kami. Malah, ada di antara mereka yang datang bertemu dengan aku kerana ingin memohon bantuan khususnya untuk menyelitkan surat-surat permohonan kepada Ketua Jabatan aku. Aku membantunya dengan suka rela dan seikhlas hati.

Menolong tauke-tauke

Malah, sering juga aku menolong tauke-tauke ini untuk membuat temujanji dengan Ketua Jabatan ku. Hasil dari pertemuan itu, aku diberi sedikit duit kopi. Syukur Alhamdulillah, sekurang-kurangnya, tauke-tauke ini mengenang jasa-jasa aku yang sedikit ini. Kini aku lebih yakin dengan orang dan masyarakat.

Kini hidup aku lebih selesa kerana wang gaji, dapat aku selamatkan sedikit untuk menyimpan di tabung haji. Jiran-jiran ku mula nampak perubahan hidup aku apabila kami sekeluarga sering keluar makan angin. Mereka juga semakin mesra dengan aku, barangkali mereka selesa dengan keramahan ku.

Selain daripada membantu tauke-tauke yang ingin memohon projek atau tender dari pejabat kami, ramai juga penduduk dan peniaga kecil datang mengadu pada aku tentang masalah mereka. Hal ini aku cuba adukan kepada Ketua Jabatan aku.

Menurut perintah bos

“Selamat pagi bos, ada masa sikit tak? Saya ada hal sikit nak maklumkan,” aku memberi salam dan bertanya.

“Ya, apa hal? Tauke tu dah dapat cek dia, belum?” soal Ketua Jabatan.

“Oh, bukan tu bos, ini hal lain. Saya dapat maklumat dari persatuan penduduk Lembah Hijau, ada komplen pasal sampah di Bukit Buruk tu. Dah makin tak terkawal katanya, banyak lori luar yang buang sampah di situ juga. Jadi perlu ke kita hantar orang tinjau kawasan tu,” kata aku panjang.

“Oh, yang tu. Kalau mereka tanya lagi, katakan yang kita dah tahu, nanti kita bertindak, tunggu sajalah, kita sini banyak lagi urusan lain, bukan itu saja.

“Kamu pun cakaplah elok-elok dengan mereka. Katakan pada mereka kita dah arahkan kontraktor untuk buat semua tu. Katakan lagi kita sini terlalu sibuk dan banyak staf pergi kursus. Katalah kamu pun nak kena pergi kursus, jadi mereka faham dan tak selalu membising dengan kita”, kata Ketua Jabatan dengan nada kurang senang.

“Oklah bos, beres..” jawab ku ringkas.

Dia diam. Dan aku menyambung lagi.

“Tapi bos, saya terfikir satu hal lagi. Kalau tempat sampah tu bawa penyakit pada penduduk situ, macam mana bos? Sebab hal ni dah lama. Nanti jadi masalah besar, bos. Marah orang-orang kampung situ.”

“ Kamu ni Osman, saya cakap ada saja soalnya. Saya bos ke, mereka bos kamu? Buat sajalah, yang lain-lain tu kemudian,” nada Ketua Jabatan aku semakin meninggi.“

“Boslah bos saya, bukan mereka,” jawab aku akur.

“Satu lagi Man, nanti keluar jangan lupa tanya dengan tauke yang seorang tu, dah dapat cek ke belum? Kalau dah, minta dia call saya. Jangan lupa, keluar tutup pintu tu,” pesan bos meminta aku keluar.

“Ok bos, beres,” aku mengangguk dan berlalu pergi.

Jika mahu naik pangkat

Begitulah yang berlaku, kadangkala sikap aku ini membuatkan bos kurang senang. Rakan sepejabat juga selalu menasihatkan aku supaya jangan banyak menjawab sangat dengan pihak atasan, nanti susah nak dapat laporan kerja yang baik, naik pangkat pun susah.

Jadi aku telah belajar dari semua ini. Aku harus berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada bos aku kerana dialah orang yang bertanggungjawab menaik atau menurunkan pangkat orang seperti aku. Adalah lebih baik aku menurut sahaja, ini lebih mudah.

Aku juga tidak mahu peluang kenaikan pengkat terlepas, rugilah diploma yang aku miliki ini. Lagi pun, sudah menjadi budaya dipejabat, urusan bos mestilah diutamakan dahulu dari hal-hal lain.

Aku cuba memahami kedudukan kami semua. Bos aku sudah tentu dilantik oleh bos-bos besar yang lain. Bos aku pula perlu tunduk dan hormat dengan mereka, dan pegawai-pegawai atasan ku juga berbuat demikian. Maka kerana itulah aku perlu juga berbuat demikian. Yang penting, organisasi kami dan kedudukan aku, kekal utuh.

Hal masyarakat ini perlulah diserahkan kepada pihak swasta yakni kontraktor-kontraktor kerana menurut amalan biasa, merekalah yang bertanggungjawab menjaga keperluan masyarakat, kerana itu mereka dibayar. Jabatan kami tidak begitu, malah kami dilantik oleh pihak atasan, bukan anggota masyarakat, maka tanggungjawab kami hanyalah kepada pihak atasan.

Dengan mengikut prinsip-prinsip inilah maka aku telah berjaya menduduki jawatan yang cukup kukuh hari ini. Semuanya hasil kesetiaan dan dedikasi aku.

Buat teman-teman, ambillah iktibar atas cerita ku ini, moga-moga semua dapat naik pangkat seperti aku. – Roketkini.com