Berita

Wahai UMNO, ke mana hilangnya RM1.1 juta untuk warga miskin tegar Pulau Pinang?

GEORGE TOWN, 1 FEB: UMNO Pulau Pinang perlu menjelaskan ke mana hilangnya peruntukan RM1.1 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada 22 keluarga miskin tegar Pulau Pinang.

Sudahkah setiap keluarga tersebut mendapat RM50,000 daripada peruntukan kerajaan itu? Di manakah janji yang ditaburkan oleh UMNO Pulau Pinang pada tahun 2009 itu?

 

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman. telah membuat kenyataan yang disiarkan oleh Berita Harian  bertarikh 26 Februari 2009 bahawa  kementerian itu sedia mengambil alih masalah kemiskinan tegar, kononnya berikutan kegagalan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Katanya, Zainal Abidin telah berjanji bahawa kementerian tersebut akan membantu keluarga berkenaan menerusi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang memperuntukkan dana RM1.1 juta untuk membantu 22 keluarga terbabit.

 

“Exco Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh, telah menulis surat kepada Zainal  pada 7 April dan 12 Mei tahun 2009 untuk mendapatkan maklumat 22 keluarga tersebut serta memohon status program- program khas yang dirancang.

 

“Malangnya tidak ada jawapan daripada Zainal Abidin atau pun maklumat tentang 22 keluarga miskin tegar mana yang menerima RM50,000 setiap keluarga,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, laporan polis telah dibuat pada 31 Julai 2009 oleh Phee bagi membolehkan satu siasatan dilakukan untuk mengetahui ke mana perginya RM1.1 juta yang sepatutnya disalurkan kepada keluarga berkenaan.

“Selepas tiga tahun, demi memastikan wang kebajikan sampai ke tangan keluarga miskin, adalah dikesali kerana Zainal Abidin tidak berani memberi jawapan macam mana dan kepada siapa peruntukan tersebut telah disalurkan.

 

“Juga kita ingin tahu mengapa hanya 22 keluarga ini sahaja yang boleh menerima RM50,000 setiap keluarga dan bukan keluarga miskin tegar yang lain.

 

“Saya mencabar Zainal Abidin untuk menyenaraikan 22 keluarga miskin tegar tersebut. Adakah RM1.1 juta telah masuk dalam poket pihak-pihak tertentu? UMNO dan kerajaan persekutuan perlu bertanggungjawab dan tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan keraguan kepada semua pihak,” tambah beliau.

Menurutnya, sejak kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang memperkenalkan Dasar Pembasmian Kemiskinan Tegar pada Mac 2009 sehingga Disember 2011, sebanyak RM6.32 juta telah disalurkan kepada lebih kurang 700 keluarga setiap bulan.

 

Ini sekali gus menghapuskan miskin tegar di Pulau Pinang, negeri pertama yang berjaya buat begitu di Malaysia, ujarnya.

 

“Kini kerajaan negeri telah bersetuju untuk menambah wang pendapatan bulanan kepada minima RM600 sebulan untuk setiap keluarga. Dengan kata lain, kerajaan negeri akan menambah wang atau top up sehingga RM600 sebulan untuk keluarga yang menerima wang pendapatan kurang daripada RM600.

 

“Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri PR Pulau Pinang untuk membasmi kemiskinan menjelang 2015,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan meneruskan semua program kebajikan yang dilaksanakan dan menyalurkan lebihan belanjawan yang diperolehi untuk dikongsi bersama rakyat selaras dengan urustad bir cekap, akauntabel dan telus (CAT). – Roketkini.com