Berita

Malaysia Airports terdesak, hak awam tergugat

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Pengumuman oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menambah RM598 juta melalui penempatan saham baru mengesahkan lagi bahawa syarikat itu terdesak dan terjejas dengan kos pembinaan Lapangan Terbang Tambang Murah (KLIA2) yang meningkat.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, pengumuman itu dibuat oleh MAHV pada 30 Januari lalu walau pun Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad pernah menyatakan pada 29 November tahun lalu bahawa tiada sebarang dana awam digunakan untuk menampung kenaikan mendadak kos KLIA2.

Katanya, kerajaan dan kepentingan rakyat terlibat secara langsung dengan MAHB melalui pemegang saham seperti Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Berhad (ASB).

“Perlu diingat juga hutang RM3.1 bilion syarikat itu atas peningkatan kos (KLIA2). Apa yang lebih penting, rakyat Malaysia berasa ragu sama ada mampukah MAHB membayar kembali hutang itu tanpa ‘bail out’ dari kerajaan suatu hari nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata ekuiti baru akan diperolehi melalui terbitan 110 juta saham baru yang membentuk 10 peratus daripada modal saham MAHB.

“Tindakan MAHB untuk mengumpul dana tambahan daripada pasaran membuktikan bahawa kepentingan kewangan awam telah terjejas akibat peningkatan RM2.2 bilion kos pembinaan KLIA2,” katanya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP mendesak Kementerian Pengangkutan dan Khazanah yang bertindak sebagai penjaga dana awam serta memunyai kepentingan dalam MAHB menyiasat segera skandal KLIA2 ini.

“(Ini supaya dapat) memastikan bahawa mereka yang telah cuai, sengaja atau sebaliknya, dikenal pasti dan dalam masa sama dapat mencegah lebih ramai pesalah dan penipu wang rakyat,” ujarnya.

Tambah Pua, pemegang-pemegang saham utama MAHB yang secara tidak langsung juga pemegang amanah Kerajaan dan dana awam terpaksa mencairkan pegangan saham mereka sebanyak 10 peratus sebagai kesan kepada peningkatan KLIA2 itu.

Khazanah Bhd yang sebelum ini merupakan pemegang saham utama akan terpaksa mengurangkan pegangannya dari 54 peratus kepada 49.1 peratus.

Katanya, keadaan sama terjadi juga kepada KWSP dan ASB yang mana pegangan mereka dikurangkan kepada 9.4 peratus dan 6.2 peratus dari masing-masing 10.3 peratus dan 6.8 peratus.

“Malah, memo dari MAHB turut menyatakan bahawa dengan ‘menganggap pendapatan bersih Kumpulan MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 tidak berubah, pendapatan sesaham (EPS) Kumpulan MAHB akan dikurangkan secara berkadar dengan peningkatan dalam bilangan saham MAHB’,” tambah beliau. – Roketkini.com